Showing posts with label artikel. Show all posts
Showing posts with label artikel. Show all posts

Monday, March 1, 2010

GADIS
http://www.karangkraf.com.my/e-majalah/Maskulin

Tiz Zaqyah
Tidak suka Lelaki Muda



Meletup namanya setelah memegang watak gadis alim dalam drama Nur Kasih. Lakonannya yang berkesan itu bagai memukau setiap penonton. Memulakan langkah awal kerana minat dan sekadar mahu mencuba, dia hadir ke uji bakat untuk menjadi pelakon setelah tamat persekolahan. Tidak sangka terpilih dengan watak kecil dalam sebuah drama bersiri, sehinggalah berjaya dengan tawaran demi tawaran yang mendatang. Kini dia semakin dikenali ramai. Itulah Siti Zaqyah Abd. Razak atau lebih dikenali dengan nama Tiz Zaqyah. Hadir ke sesi fotografi baru-baru ini bersama seorang teman biasa, nyata dia seorang yang mudah bekerjasama. Mari kita lihat pula pandangannya tentang lelaki…

Pandangan tentang lelaki kini?
Saya berpendapat lelaki kini berfikiran sangat terbuka, mudah diajak berbincang, mempunyai wawasan dan bersemangat tinggi. Ini menjadikan mereka lebih matang untuk memimpin diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Sifat lelaki yang anda sukai?
Sudah pasti seorang yang simple, boleh memimpin, mempunyai karakter yang positif dan saya menyukai lelaki yang agak konvensional dan tradisional.

Lelaki yang bagaimana anda tidak gemari?
Seorang yang tidak berpendirian dan tiada pegangan hidup bukan lelaki yang menjadi pilihan saya. Mereka perlu berani dan bertanggunjawab!

Tarikan fizikal pada lelaki?
(Sambil tersenyum) Saya suka lelaki yang berwajah manis, mempunyai bentuk tubuh yang mantap, sawo matang, tinggi dan botak. Saya tidak suka lelaki berambut panjang.

Fesyen lelaki pilihan?
Saya suka lelaki dengan t-shirt, jeans,sneakers dan gaya ranggi.



Komen anda memilih lelaki yang lebih muda sebagai teman hidup?
Lelaki yang lebih muda bukanlah pilihan jika saya ingin mencari teman hidup. Ini adalah kerana saya menggemari seorang yang lebih matang. Bagi diri ini, saya perlukan seorang yang boleh menjadi pemimpin dan bukan saya yang perlu menguruskan segala hal. Setidaknya, lelaki itu perlulah bezanya dari dua hingga lima tahun dari saya. Tidak terlalu tua..

Warna seksi bagi anda dan lelaki?
Saya menggemari warna hitam kerana ia kelihatan seksi dan elegan. Kelab Bola Sepak kegemaran?
Saya merupakan penyokong utama Chelsea!

Jika tiada penggambaran drama apa yang anda lakukan?
Saya lebih suka duduk di rumah, membaca novel dan menonton TV. Saya juga gemar melukis wajah potret wanita dan kini sedang berlatih menambahkan kemahiran untuk melukis wajah lelaki pula.

Kereta idaman anda?
Saya masih belum mempunyai lesen memandu kereta tapi saya mengidam untuk memiliki sebuah BMW M6.

Destinasi percutian idaman anda?
Setelah ke Perancis, Itali dan Jordan saya teringin sekali ke New York. Saya ingin melihat dengan lebih dekat gaya hidup di kota metropolitan itu. Juga mahu mengenali budaya dan masyarakat di sana. Malah saya juga cukup teruja dengan fesyen dan butik-butik pakaian paling terkini semuanya terdapat di sana. Saya juga suka tempat-tempat yang bersejarah dan yang penting boleh membeli-belah!

Thursday, February 18, 2010

DUNIA MASKULIN

http://www.karangkraf.com.my/e-majalah/Maskulin


TEKNIK CUKURAN HEBAT
WAJAHMU LEBIH BERSIH, LICIN DAN SEGAR




Bercukur dengan teknik yang betul, produk berkualiti dan penjagaan wajah selepas bercukur akan membantu anda mendapatkan hasil cukuran yang sempurna, selain mengelak terjadinya razor burn atau razor bumps. Cukuran yang kemas dan sempurna diikuti dengan pencuci wajah dan produk pelembap after shave yang sesuai. Agar kulit anda sentiasa sihat dan segar, dan ia menjadi rutin kebanyakan lelaki setiap pagi. Sempena tahun baru ini, tampillah dengan wajah yang lebih bersih, segar dan sihat. Pasti ramai gadis mula terpikat denganmu.

7 TIP BERCUKUR PERLU TAHU
Sebelum memulakan cukuran setiap pagi, pastikan anda ketahui beberapa tip atau panduan bercukur dengan betul. Cukuran lebih licin dan kulit menjadi lembut. Cuba amalkan selalu.

1.Scrub wajah anda dengan lembut mengggunakan losyen scrub wajah. Scrub ini membantu menanggalkan sel kulit mati, mengeluarkan ingrown hairs dan dapat mengurangkan razor burn.

2.Bercukurlah selepas mandi atau selepas wajah dicuci dengan air suam. Air suam dan stim membantu melembutkan kulit serta rerambut. Tunggu 20 minit sebelum bercukur. Selain waktu pagi, selepas bersenam juga waktu sesuai untuk bercukur. Peluh yang keluar membuka liang roma dan lembutkan rerambut.

3.Gunakan mata pisau cukur yang baru dan tajam. Jika anda menggunakan pencukur elektrik, pastikan anda membersihkannya dengan kerap. Sebelum memulakan cukuran, basahkan kulit pada bahagian yang ingin dicukur dengan krim atau gel pencukur. Pastikan krim atau gel itu meresap ke dalam kulit untuk beberapa minit sebelum bercukur. Cara ini dapat melembutkan rerambut dan mengurangkan keradangan kulit.

4.Pastikan juga anda bercukur mengikut arah rerambut tumbuh dan bukan secara berlawanan. Bercukur berlawan arah boleh menyebabkan keradangan kulit, ingrown hair dan kulit menjadi gatal.

5.Bilas pisau cukur setiap kali selepas cukuran. Apabila pisau cukur dipenuhi dengan rerambut, cukuran menjadi tidak begitu licin dan risiko untuk mendapat masalah keradangan kulit lebih tinggi.

6.Cuci wajah hingga bersih dengan air sejuk selepas anda selesai bercukur bagi membuang lebihan krim atau gel pencukur. Ini bertujuan untuk mengelak penutupan liang pori dan mengurangkan keradangan kulit.

7.Sapukan pelembap wajah atau losyen aftershave untuk membantu melembutkan kulit dan mengurangkan kemunculan razor burn pada kulit. Biasanya jenis kulit berbeza akan bertindakbalas pada resapan gel, losyen,krim, balm dan aftershave. Pelembap yang mengandungi Aloe Vera berkesan pada apa jua jenis kulit.

Thursday, February 26, 2009

Menjamin visual normal

Terlalu muda untuk mengetahui sama ada apa yang dilihatnya itu normal atau sebaliknya, kanak-kanak lazimnya gagal mengesan apa yang tidak kena dengan mata mereka. Jadi, kepekaan ibu bapa amat penting bagi memastikan sebarang masalah boleh dikesan dan dirawat pada peringkat awal usia.



SI kecil anda mungkin dilahirkan normal, tanpa sebarang kecacatan fizikal. Tetapi, itu tidak bermakna ibu bapa atau penjaga boleh berasa lega.

Justeru, ibu bapa tidak harus memandang remeh kerana salah satu organ deria anak yang perlu diberi perhatian adalah mata. Sebarang gangguan atau kerosakan visual mampu memberi kesan kepada perkembangan pembelajaran anak.

Bak kata orang, mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Jika terdapat sejarah keluarga tentang keperluan ibu atau bapa menggunakan cermin mata sejak awal usia mereka, maka si kecil mereka juga harus disyor untuk mendapatkan pemeriksaan awal.

Menurut Pakar Penglihatan Terhad dari Jabatan Optometri, Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu (FSKB), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) , Dr. Rokiah Omar, simptom-simptom gangguan visual seseorang anak boleh hadir dalam bentuk yang sangat ringkas.

Mungkin ada ibu bapa yang pernah mendengar keluhan anak yang berbunyi: "Mak, kaburlah apa yang saya lihat ini" atau "Mak, saya tak boleh nampak."

Apa yang dikeluhkan itu sudah memadai untuk memberi petunjuk kepada penjaga atau ibu bapa tentang tahap penglihatan si anak. Malangnya, sepanjang kerjaya Dr. Rokiah, beliau jarang menemui kanak-kanak dalam lingkungan usia empat hingga enam tahun, termasuk yang sudah berada di sekolah rendah bijak menyuarakan masalah penglihatan mereka kepada ibu bapa.

Sebabnya, anak-anak itu terlalu muda dan hanya menganggap apa yang dilihat itu betul. Namun, menerusi kepekaan ibu bapa atau penjaga, mereka boleh mengenal pasti gerak-geri anak yang mempunyai masalah penglihatan.


KANAK-KANAK prasekolah masih terlalu muda untuk menyuarakan rasa tidak normal pada mata mereka. - Gambar hiasan

"Misalnya, anak mungkin melihat dalam keadaan mata juling atau dengan kepala senget sebelah sewaktu menonton televisyen.

"Ataupun, semasa membaca, anak sangat cenderung merapatkan buku pada muka. Inilah antara petanda mudah yang boleh ibu bapa perhatikan," jelasnya kepada Kosmo! di ibu negara baru-baru ini.

Begitu juga dengan kesilapan ketika menyalin kerja-kerja sekolah. Lebih-lebih lagi dalam kalangan kanak-kanak yang sudah memasuki kelas tadika.

Sewaktu lahir, mata manusia hanya 70 peratus matang. Itu bermakna, terdapat 30 peratus ruang lagi untuk mata berkembang menjadi satu organ deria yang normal.

Oleh itu, peringkat usia baru lahir hingga tujuh tahun disifatkan sebagai tempoh mata belum matang sepenuhnya. Jadi, tempoh tersebut amat kritikal untuk memastikan cahaya masuk dan merangsang bahagian fovea mata.

Masalah juling juga boleh berpunca daripada gangguan visual. Mata juling dalam kalangan kanak-kanak yang tidak diperbetulkan akan menjurus kepada masalah ambliopia atau mata malas.


PEMERIKSAAN mata boleh dilakukan secara menyeluruh di semua Klinik Optometri di seluruh negara. - Gambar hiasan

"Keadaan ini berlaku apabila sebelah mata menjadi satu-satunya mata yang melihat. Manakala mata yang sebelah lagi gagal melihat dengan baik.

"Akibatnya, keupayaan penglihatan di dalam mata malas akan terencat. Jika keadaan ini dibiarkan berlarutan, masalah ambliopia berpotensi menjadi kekal. Kesannya, penglihatan di sebelah mata mungkin kurang bagus sepanjang hayat," ujarnya.

Atas sebab itu, diagnosis awal untuk gangguan visual dalam kalangan kanak-kanak prasekolah penting agar rawatan atau intervensi boleh disyorkan oleh pakar mata.

Sebabnya mudah. Jika gangguan visual dikenal pasti seawal mungkin, itu bermakna lebih banyak peluang wujud untuk mengatasi masalah tersebut.


IBU BAPA harus lebih peka terhadap kesihatan mata si kecil. - Gambar hiasan

Sepanjang Januari hingga Oktober 2007, pakar-pakar optometri dari UKM telah menjalankan satu kajian gangguan visual ke atas 479 kanak-kanak dari 21 buah tadika di Sitiawan, Perak. Kajian itu diketuai oleh Dr. Rokiah.

Kajian yang diluluskan oleh Jawatankuasa Penyelidikan dan Etika Penyelidikan Perubatan, Fakulti Perubatan UKM itu mendapati sejumlah 32 orang (6.7 peratus) kanak-kanak dalam lingkungan usia empat hingga enam tahun telah disahkan mengalami gangguan visual.

Sebanyak 5.8 peratus kanak-kanak itu didapati mengalami ralat refraksi yang menjadi dalang utama kepada gangguan visual. Jenis-jenis ralat refraksi yang ditemui termasuk miopia (rabun jauh), hiperopia (rabun dekat) dan emetropia (keadaan pembiasan mata yang normal).

Sekitar 35 peratus kanak-kanak berusia lima tahun pula didapati mengalami masalah miopia. Peratusan itu juga didapati meningkat kepada 50 peratus apabila usia mereka mencecah enam tahun.

Dalam kebanyakan masa, kanak-kanak prasekolah tidak mampu membezakan penglihatan yang normal dengan tidak normal. Ini amat difahami memandangkan si anak mungkin menganggap apa yang dilihat itu adalah normal. Ia sekali gus membuatkan kanak-kanak tidak berupaya memberitahu ibu bapa mereka.


KESIHATAN mata yang tidak dijaga boleh menjejaskan tahap penglihatan dalam jangka masa panjang. - Gambar hiasan

Bercerita lanjut, Dr. Rokiah memberitahu, terdapat beberapa cara untuk mengesan ciri-ciri mata normal yang boleh dijadikan petunjuk untuk ibu bapa.

Pertama, kedudukan mata yang selari sewaktu melihat. Kedua, semasa sesuatu objek digerakkan, semua mata kanak-kanak normal seharusnya bergerak mengikut pergerakan objek itu. Apabila objek tersebut didekatkan, mata si anak sepatutnya mampu memberi fokus.

Tambahnya, ciri-ciri mata normal pada seseorang anak boleh dikesan oleh ibu bapa atau penjaga seawal usia sebulan.



Sewaktu lahir, bayi hanya melihat dalam keadaan ton kelabu. Dalam tempoh itu, penglihatan bayi agak kabur memandangkan jarak fokus bayi baru lahir adalah sekitar 20.3 sentimeter hingga 30.5 sentimeter jauhnya.

Dalam perkembangan penglihatan seorang anak yang normal, seseorang bayi mampu mengikut pergerakan objek atau manusia dengan mata sepanjang tempoh usia lapan hingga 12 minggu.

Pada awalnya, pergerakan bayi itu bermula dengan mengerakkan seluruh kepala sebelum mampu menggerakkan mata secara berdikari menjelang usia dua hingga empat bulan. Warna juga semakin jelas pada masa itu.

Selain ibu bapa, adik-beradik yang lebih dewasa, datuk dan nenek mahupun guru boleh memainkan peranan dalam aspek itu.

"Pemeriksaan mata yang menyeluruh harus dijadikan satu ujian wajib supaya lebih mudah untuk merawat mereka pada awal usia," tegasnya.

Sunday, February 22, 2009

Hadkan tempoh pertunangan

Tempoh bertunang bukan untuk mengenali hati budi masing-masing, tetapi sebenarnya ia satu persediaan dalam aspek mental, fizikal dan kewangan sebelum melangkah ke alam perkahwinan.


TEMPOH pertunangan yang pendek lebih selamat untuk dilalui. - Gambar hiasan

WAKTU bercinta adalah saat paling indah pernah dilalui oleh setiap pasangan yang memadu kasih. Janji untuk sehidup semati dan setia dengan pasangan akan dipahat di lubuk hati masing-masing.

Selepas melalui proses mengenali hati budi, pasangan akan mengambil keputusan untuk mengikat tali pertunangan, sebelum mendirikan rumah tangga yang diharap berkekalan hingga ke hembusan nafas terakhir.

Apabila menyentuh tentang alam pertunangan, ia sememangnya dipenuhi dengan kemanisan. Apatah lagi ikatan pertunangan juga boleh dianggap satu langkah akhir sebelum dua jiwa disatukan dalam hubungan suci perkahwinan.

Namun, di sebalik kemanisan itu, jangan lupa bahawa sepanjang tempoh itu juga mungkin terdapat 'hempedu' yang boleh muncul untuk menggugat hubungan tersebut.

Satu perkara paling penting yang harus diingat, alam pertunangan turut disertai dengan pelbagai dugaan untuk menguji sejauh mana bukti cinta dan kasih sayang yang diungkapkan sebelum ini.

Biasanya, tempoh pertunangan akan ditetapkan selama enam bulan atau setahun. Tetapi ada juga pasangan yang bertunang selama dua hingga empat tahun sebelum akhirnya membuat kata putus untuk berkahwin.

Kebanyakan yang berbuat demikian menganggap diri masih belum bersedia untuk terikat dengan komitmen dalam melayari bahtera kehidupan rumah tangga yang pasti ada pasang surutnya.

Selain itu, ada juga mengakui masalah kewangan untuk memenuhi jumlah hantaran yang ditetapkan pihak keluarga perempuan menjadi punca utama sesuatu perkahwinan tertangguh untuk tempoh masa yang panjang.

Ironinya, tempoh pertunangan yang diikat terlalu lama seringkali mengundang masalah. Ia boleh menyebabkan tali pertunangan antara pasangan yang sebelum itu asyik memadu kasih mungkin terlerai.


SETIAP pasangan perlu sepakat untuk mengehadkan tempoh pertunangan agar tidak terlalu lama. - Gambar hiasan

Alasannya, hubungan sewaktu alam pertunangan lebih banyak membawa kepada perselisihan, walaupun disebabkan perkara yang remeh-temeh.

Justeru, setelah keserasian yang dicari dalam tempoh pertunangan itu tidak ditemui, cara terbaik adalah memutuskan ikatan tersebut.

Itu adalah senario negatif yang banyak berlaku bukan sahaja di Malaysia, tetapi di negara-negara membangun yang lain.

Bagaimanapun, masalah itu sebenarnya boleh diatasi seandainya setiap pasangan sepakat untuk mengehadkan tempoh pertunangan agar tidak terlalu lama.

Apa yang penting, setiap pasangan yang ingin bertunang, pastikan diri anda telah bersedia dalam aspek mental, fizikal dan kewangan. Persediaan yang cukup akan membolehkan tempoh waktu bertunang dipendekkan.

Cara itu sekali gus mampu mengelakkan kejadian tidak diingini seperti putus tunang. Sebaliknya, hubungan yang terjalin akan kekal bahagia sehingga ke gerbang perkahwinan.

Tidak lupa juga, panjatkan doa ke hadrat Ilahi agar memelihara hubungan sepanjang tempoh pertunangan dan siram ia dengan limpahan kasih sayang yang suci. Akhir sekali bertawakal kepada Allah s.w.t kerana hanya Dia yang berhak menentukan segala-galanya.