Showing posts with label keluarga. Show all posts
Showing posts with label keluarga. Show all posts

Sunday, January 31, 2010

Awas suami curang



Tuntutan fasakh oleh isteri kini selesai lebih cepat.



MASTURA BAKAR, 24, sah bergelar janda pada 28 Januari lalu setelah tuntutan fasakh terhadap suaminya, seorang ahli politik yang juga tokoh perniagaan berusia 54 tahun, diluluskan Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur.

Ibu kepada tiga puteri yang berumur antara dua hingga lima tahun itu sekadar tersenyum hambar ketika keputusan itu dibacakan Hakim Syarie, Mohd. Yunus Mohamad Zin. Mastura memfailkan tuntutan fasakh pada April tahun lalu.

Kes Mastura mendapat perhatian ramai kerana bekas madu penyanyi Noraniza Idris itu mendakwa suaminya seorang yang gila seks dan tidak bertanggungjawab.

Mengikut fakta kes, Mastura mendakwa beliau hanya mengetahui dirinya isteri keempat kepada suaminya itu hanya selepas melahirkan anak sulung. Suaminya itu kemudian mengaku bahawa dia telah berkahwin dengan Noraniza dan dua wanita lain.




Lelaki itu juga didakwa gemar berfoya-foya dan pernah memiliki lebih 10 orang teman wanita yang ditiduri dalam satu-satu masa walaupun telah beristeri empat.

Kahwin muda

Bertubuh kecil dan berkulit putih gebu, Mastura mengakui beliau tidak dapat menjangka bagaimana rasanya hidup sebagai seorang ibu tunggal.

“Saya sendiri tidak tahu apa yang patut saya rasa. Saya berasa amat penat. Lagipun sekarang saya sudah kembali bekerja,” balasnya yang kini bertugas di bahagian pentadbiran sebuah firma seni bina di Cheras, Kuala Lumpur.

Anak ketujuh daripada sembilan adik-beradik itu kelihatan lesu ketika ditemui di sebuah restoran di Kuala Lumpur Jumaat lalu. Menatap wajahnya, terasa ada kecamuk dalam fikirannya.

“Sekarang fikiran saya ialah tentang meneruskan hidup bersama anak-anak. Tetapi disebabkan pengalaman daripada perkahwinan itu, saya berasa keadaan masih tidak selamat untuk kami.

“Dia pernah melarikan anak kami satu ketika dulu dalam satu pergaduhan besar, melanggar saya dengan kereta dan saya ada menerima pesanan ringkas (SMS) yang berbaur ugutan susulan daripada tuntutan fasakh ini. Saya masih belum berani hendak membawa anak-anak bermain di taman permainan,” luah Mastura.

Jika ada yang berpendapat Mastura menerima padah atas silapnya sendiri menikahi lelaki berusia yang berpangkat dan berharta, nampaknya pemikiran itu jauh tersasar.

“Kami berkahwin bukan atas dasar cinta. Ia lebih kepada pilihan ibu dan ayah saya. Kami berkenalan tidak lama, iaitu kira-kira enam bulan.

“Itu pun melalui teman-teman. Kali pertama ibu melihatnya bersolat dan mengaji al-Quran di rumah di kampung, ibu menangis kegembiraan.

“Setelah dia berjumpa ibu dan ayah buat kali kedua, dia terus masuk meminang dan lamaran itu diterima. Kami bernikah pada 3 Jun 2005 di Masjid Pengkalan Hulu, Perak.

“Pada waktu itu saya baru berumur 18 tahun. Ketika kami berkahwin, dia masih belum bergelar Datuk,” kongsinya.

Segalanya, kata Mastura, berlaku terlalu pantas. Perasaan sayang kepada suaminya hanya wujud selepas mereka berkahwin.

“Pada awalnya dia sering mengajak saya solat berjemaah, mengaji al-Quran dan melakukan kerja rumah bersama. Dia juga baik terhadap saya.

“Tetapi semua itu sekejap saja. Lama-kelamaan dia lebih banyak membiarkan saya solat dan melakukan segala-galanya bersendirian,” dedahnya.

Mastura mengakui bekas suaminya itu mempunyai ilmu agama yang baik.


KES tuntutan cerai Aida Melly Tan Mutalib pada tahun 2002 yang berlarutan selama tujuh tahun menyebabkan pelbagai kritikan dilemparkan terhadap mahkamah syariah.


“Pengetahuan agamanya agak tinggi. Mungkin kerana latar belakang dan kerjaya keluarganya yang sememangnya menjurus ke arah keagamaan.

“Entah di mana silapnya, dia menjadi seorang lelaki yang gemar berfoya-foya,” kata Mastura.

Sebenarnya, ujar Mastura, beliau dan suami tidak banyak masalah. Cuma lelaki itu dikatakan banyak helah.

Kes Aida Melly

“Sebelum ini saya sudah dua kali hendak membuat tuntutan fasakh. Kali pertama saya batalkan kerana sedang hamil anak kedua. Kali kedua, Noraniza sendiri memujuk saya dan meminta saya memikirkan masa depan anak-anak. Walaupun kami tidak pernah berjumpa, kami tidak ada masalah.

“Tentang dakwaan bahawa dia mahu menyaman saya, saya percaya ia tidak akan berlaku kerana saya percaya dia membuat kenyataan itu kerana tertekan,” ujarnya.

Selepas melalui kehidupan berumah tangga yang banyak onarnya, justeru perceraian menerusi kaedah fasakh itu umpama satu titik perubahan yang besar dalam hidup Mastura.

“Saya mendapat sokongan yang kukuh daripada madu dan bekas madu yang lain selain memiliki bahan-bahan rakaman yang berkaitan dengan kecurangan dan aktiviti berfoya-foyanya.

“Mungkin itu banyak membantu mempercepatkan kes ini. Lagipun bekas suami tidak pernah datang ke mahkamah untuk membuat sebarang bantahan,” jelas Mastura tentang kesnya yang dapat diselesaikan agak cepat.

Kes tuntutan perceraian oleh isteri seperti fasakh yang berlarutan lama pernah menjadi polemik pada awal abad ini. Pasti ramai yang masih ingat kes Aida Melly Tan Mutalib pada tahun 2002 yang terpaksa menderita selama tujuh tahun untuk bebas daripada ‘gantungan yang tak bertali’: Sudah berpisah atau masih isteri yang sah?

Meraih liputan meluas media seiring hujanan kritikan, kes itu juga bagai menjadi titik tolak kepada perubahan landskap pentadbiran mahkamah syariah berhubung isu perceraian khasnya.

Jika sebelum itu banyak rungutan oleh para isteri mengenai kes permohonan cerai atau fasakh mereka yang lambat diputuskan, namun tahun demi tahun kemudian, rungutan dan keluhan seumpamanya makin kurang kedengaran.

Kes terbaru Mastura itu, misalnya, dapat diselesaikan dalam tempoh tidak sampai setahun.

“Dahulu memang ketara kelewatannya. Secara umumnya, boleh dikatakan, kes-kes permohonan cerai oleh isteri seperti fasakh dan rayuan kini telah dapat diselesaikan dengan cepat.

“Berdasarkan pengalaman saya, kes fasakh lazim dapat diselesaikan antara enam bulan hingga setahun. Paling cepat, hanya dalam tempoh sebulan.

“Proses yang mengambil masa dua tahun pun sudah dianggap sebagai tempoh yang lama,” kata peguam syarie, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Zain ketika ditemu bual Jurnal baru-baru ini.


MEMILIKI bukti kukuh ialah antara punca kes fasakh Mastura dapat diselesaikan dengan segera.

Katanya, ini banyak disumbangkan oleh beberapa pindaan pada enakmen-enakmen undang-undang keluarga Islam di negeri-negeri bermula pada tahun 2003.

“Antaranya ialah penyeragaman peruntukan mengenai fasakh antara negeri-negeri dan membenarkan memulakan tuntutan fasakh di mahkamah yang lebih tinggi bagi mengurangkan tempoh penangguhan sekiranya pihak menentang, lazimnya suami, mahu melakukan rayuan dan sebagainya,” katanya.

Tertangguh

Tidak dinafikan memang masih kedapatan kes tuntutan fasakh yang berlarutan lama selepas tahun 2002, tetapi ia hanyalah kes terpencil.

Zaidi menerangkan, sesuatu proses permohonan fasakh itu dapat dipercepatkan jika plaintif atau isteri yang mengemukakan tuntutan itu mempunyai persediaan yang lengkap.

“Dalam kes fasakh, beban pembuktian adalah terletak pada pihak plaintif iaitu isteri yang memohon. Kukuhnya bukti yang dikemukakan akan mempercepatkan pihak mahkamah membuat keputusan. Air mata sahaja tidak boleh menjadi bukti,” katanya.

Jika dahulu, kelewatan atau penangguhan banyak disumbangkan kerana suami yang tidak muncul-muncul ke mahkamah, kini, mahkamah syariah mengambil sikap meneruskan prosiding dan boleh mengeluarkan arahan cerai walaupun tanpa kehadiran suami seperti yang diperuntukkan dalam undang-undang.

Kes Mastura ialah salah satu kes yang menunjukkan prosiding tanpa kehadiran suami atau prosiding sebelah pihak sudah boleh diterima.

“Jika mahkamah berpuas hati bahawa saman telah disampaikan dengan sempurna kepada pihak suami, namun mereka masih tidak muncul, mahkamah boleh meneruskannya dan mengeluarkan arahan cerai walaupun tanpa persetujuan suami.

“Lagipun fasakh itu sendiri ialah tuntutan cerai tanpa lafaz talak diperlukan. Kuasa fasakh ialah kuasa hakim.

“Prosiding sebelah pihak biasanya lebih cepat berbanding suami hadir dan mengemukakan pembelaannya,” katanya sambil menjelaskan perbicaraan akan diteruskan setelah dua kali sebutan kes.

Tuesday, February 24, 2009

http://www.karangkraf.com.my

Lelaki & Perhubungan
Bercuti sebagai satu budaya - Pengarah Tourism Selangor


Usianya menjelang 40 tahun. Wajahnya di hiasi kum is nipis dan bertubuh tinggi, berpotongan rambut pendek, terlihat lebih muda dari usianya. Tanggungjawab kerja yang dipikul tidak sesekali menampakkan keletihan atau kelayuan. Sebaliknya, dia kelihatan segar, bersemangat dan mudah mesra sekali saat penulis menyapa khabar di pejabatnya.

Perjalanan kerjaya yang dibina sejak empat belas tahun lalu telah menghantarnya sampai ke posisi puncak sebagai Pengarah Tourism Selangor. Mohd Nor, anak jati Selangor petah berbicara mengenai peranannya dalam meningkatkan industri pelancongan Negeri Selangor

“Saya memulakan kerjaya dalam bidang kewangan dan kemudian menyertai sektor Kerajaan di bahagian Research Division Department Tourism. Pengalaman sepanjang kerjaya ini, saya kutip dan dijadikan panduan dalam tugasan saya hari ini.

Saya sentiasa memenuhi keperluan diri dengan segala pengetahuan teknologi dan creative thinking.” “Saya sentiasa membuka peluang untuk setiap kakitangan dari semua lapisan untuk memberi pendapat dan kritikan, bagi memperbaiki setiap kelemahan yang ada. Malah kerjaya saya sekarang bukan hanya duduk selesa di kerusi hempuk, sebaliknya perlu turut serta aktif turun padang bersama semua kakitangan. Bagi saya kejayaan sesebuah institusi itu semuanya terletak pada kerjasama, bukannya kerana saya seorang. None head better than one,” ujar Mohd Nor yang senantiasa mengharapkan kejayaan antara kerjaya dan keluarga tercintanya. “Saya dilantik sebagai Pengarah Tourism Selangor baru setahun dan banyak perkara yang harus dilaksanakan terutama dari segi mempromosikan Selangor dan putrajaya sebagai lokasi terbaik untuk percutian dalam negara, selain ianya terkenal sebagai kawasan perindustrian dan perniagaan,” jelas nya lagi yang senantiasa mengharapkan kejayaan kerjaya dan keluraga tercinta.

Tetapi sejak empat tahun lalu, Dreams telah membuka lima buah butik di sekitar Lembah Klang antaranya di Giants Batu Caves, Carefour Wangsa maju, Giant Kota Damansara, Mydin USJ dan Giant Kelana Jaya, dan kini Dreams juga .masih lagi dalam perancangan untuk membuka sekurang-kurangnya 20 cawangan di seluruh negara.. “Dengan keluasan antara 1000-1500 kaki persegi, saya rasa, ia cukup untuk mempamirkan pelbagai koleksi dari syarikat kami. Bukan sahaja berkualiti tinggi, malahan anda boleh mendapatkannya dengan harga serendah RM0.90 dan ianya 100% cotton. Hari-hari ada sahaja orang yang akan datang ke pasaraya besar seperti Giants. Tidak mungkin mereka tidak memerlukan perhiasan rumah. Untuk table cloth, kami hanya menjualnya sekitar RM19-RM19.00. Saya pasti, mereka tidak sesekali dapat harga sebegini rendah di luar sana. Jika bedsheet pula, kami tawarkan harga RM15 untuk single dan RM25.00 untuk katil bersaiz queen.Jadi, kami mahu, pengguna dapat menikmati pelbagai kelengkapan rumah dengan harga yang murah dan berkualiti tinggi.” Terang Gul apabila membicarakan tentang Dreams

Selangor merupakan pintu masuk utama negara Malaysia, “Dari KLIA, Selangor membawa anda menyusuri Putrajaya dan Cyberjaya seterusnya ke Kuala Lumpur kota utama Malaysia. Bermula dari sinilah, pelancong luar mula menjelajah ke destinasi percutian ke negeri lain. Selangor merupakan destinasi percutian leisure, lokasi utama pembangunan ekonomi untuk tujuan perniagaan, melaksanakan kursus, seminar dan ekspo perindustrian.

“Kini usaha kami untuk meningkat promosi lokasi menarik di Selangor seperti Sunway Lagoon, Batu Caves, Litar Sepang F1, FRIM Kepong, Galeri Diraja Klang, Masjid Negeri Shah Alam, Taman Alam/Bukit Melawati, Kelip-kelip Kuala Selangor, Pulau Carey dan Zoo Negara. Selain dari lambakan hotel-hotel mewah bertaraf bintang, kita juga memberi tumpuan kepada penginapan Homestays. Dalam menyusuri arus kemodenan, saya rasakan Homestays mampu menarik perhatian pelancong menikmati budaya masyarakat kita biarpun di tengah bandar.”

Sunday, February 22, 2009

Hadkan tempoh pertunangan

Tempoh bertunang bukan untuk mengenali hati budi masing-masing, tetapi sebenarnya ia satu persediaan dalam aspek mental, fizikal dan kewangan sebelum melangkah ke alam perkahwinan.


TEMPOH pertunangan yang pendek lebih selamat untuk dilalui. - Gambar hiasan

WAKTU bercinta adalah saat paling indah pernah dilalui oleh setiap pasangan yang memadu kasih. Janji untuk sehidup semati dan setia dengan pasangan akan dipahat di lubuk hati masing-masing.

Selepas melalui proses mengenali hati budi, pasangan akan mengambil keputusan untuk mengikat tali pertunangan, sebelum mendirikan rumah tangga yang diharap berkekalan hingga ke hembusan nafas terakhir.

Apabila menyentuh tentang alam pertunangan, ia sememangnya dipenuhi dengan kemanisan. Apatah lagi ikatan pertunangan juga boleh dianggap satu langkah akhir sebelum dua jiwa disatukan dalam hubungan suci perkahwinan.

Namun, di sebalik kemanisan itu, jangan lupa bahawa sepanjang tempoh itu juga mungkin terdapat 'hempedu' yang boleh muncul untuk menggugat hubungan tersebut.

Satu perkara paling penting yang harus diingat, alam pertunangan turut disertai dengan pelbagai dugaan untuk menguji sejauh mana bukti cinta dan kasih sayang yang diungkapkan sebelum ini.

Biasanya, tempoh pertunangan akan ditetapkan selama enam bulan atau setahun. Tetapi ada juga pasangan yang bertunang selama dua hingga empat tahun sebelum akhirnya membuat kata putus untuk berkahwin.

Kebanyakan yang berbuat demikian menganggap diri masih belum bersedia untuk terikat dengan komitmen dalam melayari bahtera kehidupan rumah tangga yang pasti ada pasang surutnya.

Selain itu, ada juga mengakui masalah kewangan untuk memenuhi jumlah hantaran yang ditetapkan pihak keluarga perempuan menjadi punca utama sesuatu perkahwinan tertangguh untuk tempoh masa yang panjang.

Ironinya, tempoh pertunangan yang diikat terlalu lama seringkali mengundang masalah. Ia boleh menyebabkan tali pertunangan antara pasangan yang sebelum itu asyik memadu kasih mungkin terlerai.


SETIAP pasangan perlu sepakat untuk mengehadkan tempoh pertunangan agar tidak terlalu lama. - Gambar hiasan

Alasannya, hubungan sewaktu alam pertunangan lebih banyak membawa kepada perselisihan, walaupun disebabkan perkara yang remeh-temeh.

Justeru, setelah keserasian yang dicari dalam tempoh pertunangan itu tidak ditemui, cara terbaik adalah memutuskan ikatan tersebut.

Itu adalah senario negatif yang banyak berlaku bukan sahaja di Malaysia, tetapi di negara-negara membangun yang lain.

Bagaimanapun, masalah itu sebenarnya boleh diatasi seandainya setiap pasangan sepakat untuk mengehadkan tempoh pertunangan agar tidak terlalu lama.

Apa yang penting, setiap pasangan yang ingin bertunang, pastikan diri anda telah bersedia dalam aspek mental, fizikal dan kewangan. Persediaan yang cukup akan membolehkan tempoh waktu bertunang dipendekkan.

Cara itu sekali gus mampu mengelakkan kejadian tidak diingini seperti putus tunang. Sebaliknya, hubungan yang terjalin akan kekal bahagia sehingga ke gerbang perkahwinan.

Tidak lupa juga, panjatkan doa ke hadrat Ilahi agar memelihara hubungan sepanjang tempoh pertunangan dan siram ia dengan limpahan kasih sayang yang suci. Akhir sekali bertawakal kepada Allah s.w.t kerana hanya Dia yang berhak menentukan segala-galanya.