Showing posts with label alam. Show all posts
Showing posts with label alam. Show all posts

Thursday, January 7, 2010

Muzium mini Peter Wee

Lelaki ini telah menumpahkan seluruh jiwa dan raganya untuk mempertahankan legasi Baba dan Nyonya di Singapura.



"JEMPUTLAH duduk di sofa itu. Di situlah Tun Endon Mahmood (Allahyarham) pernah duduk ketika kunjungannya beberapa tahun lalu," kata pemilik galeri Katong Antique House, Katong, Singapura, Peter Wee mengalukan kehadiran sekumpulan wartawan dari Malaysia. Bicara lelaki tua berkulit cerah itu ramah dan santun.

Ketika masing-masing terpegun menyaksikan barangan antik warisan Baba dan Nyonya di segenap ruang, Wee, 63, atau mesra disapa Baba Peter Wee membuka daun pintu almari berisi kain-kain batik.

"Nak tengok kain sarung warna apa? Cakap sahaja warnanya, saya keluarkan," ujarnya dalam bahasa Inggeris biarpun dia amat fasih berbahasa Melayu.

Sungguh menarik apabila beliau dapat mengeluarkan kesemua warna yang disebutkan termasuk kain batik berwarna kuning terang, merah jambu dan putih.

"Warna-warna ini turut menjadi kegemaran kaum Nyonya. Memang susah sikit hendak jumpa warna-warna macam ini sebab kain batik yang popular biasanya berwarna coklat dan berona lebih gelap.

"Penggunaan batik lukis berbanding batik cetak juga bercirikan kaum Cina. Motif flora kerap menjadi pilihan," terangnya.

Meminta salah seorang daripada pengunjung wanita menjadi model, Wee kemudian menunjukkan cara memakai kain batik lepas yang sememangnya tidak berjahit.


GAMBAR RAJAH kebaya nyonya dan aneka alatan tradisi Baba Nyonya.

Wee tidak kekok menunjuk ajar langkah-langkah memakainya dan nada suaranya sentiasa teruja untuk berkongsi pengetahuan tentang budaya Baba dan Nyonya.

Hakikatnya, memang itulah yang Wee lakukan sejak dulu lagi. Wee berusaha mengumpulkan elemen warisan Baba dan Nyonya, lalu menyampaikan pengetahuannya kepada khalayak.

Koleksinya diperoleh daripada warisan keluarganya dan keluarga Baba dan Nyonya yang lain. Ada juga yang dibeli, misalnya daripada lelongan dan ada pula yang 'dipungut' daripada mereka yang tidak memerlukannya lagi.

Luar biasa

Muzium mini Katong Antique House yang merupakan rumah kedai dua tingkat menjadi saksi kepada kesungguhannya menyimpan khazanah budaya Baba dan Nyonya.

Di segenap ceruk termasuk anak-anak tangga sekalipun, terdapat barangan Baba dan Nyonya yang melatari pandangan sehingga kaki perlu berhati-hati semasa memijak anak tangga.

Tingkat bawah rumah dipenuhi dengan pelbagai barangan seperti tembikar, bingkai gambar lama, kebaya Nyonya dan perabot antik. Sementara tingkat dua pula terdapat koleksi kain batik, kasut sulaman manik dan mangkuk tingkat variasi rupa.

Minat Wee untuk mengumpul barangan antik Baba dan Nyonya terbit sebelum memiliki Katong Antique House pada tahun 1979 lagi. Wee berkata, menyimpan warisan budaya ini ialah minat dan keghairahannya.

Beliau sendiri mengakui tidak pernah menghitung berapa banyak koleksi yang dimilikinya. Kini, setelah usianya melewati enam dekad, gelora kasihnya masih tertumpah pada warisan budaya asal-usulnya itu.


HOTEL Le Peranakan yang terletak di East Coast Road, Singapura menawarkan pengalaman yang unik. KANAN: ANEKA kasut manik.

"Saya terlalu sibuk mengumpul barangan, menulis tentang Baba dan Nyonya serta mengkajinya. Saya bukan sekadar mengumpul barang sebaliknya cerita di sebalik barang itu. Ia benar-benar memotivasikan saya.

"Jika anda melihat sepasang kasut manik, ia turut menceritakan tentang Nyonya atau bibik yang menyulam kasut itu. Saya bukan sekadar pengumpul, saya juga penglipurlara!" katanya yang tidak berkahwin.

Sesekali, Wee yang pernah disifatkan 'extraordinaire' oleh majalah The Peranakan pada tahun 1998 dek kejituan minatnya terhadap kebudayaan Baba dan Nyonya mengelus rambutnya yang memutih.

"Ya, ia boleh dianggap sebagai pengorbanan demi budaya. Hari-hari saya berada di galeri ini. Saya boleh dikatakan seperti 'berkahwin' dengan budaya," kata generasi kelima Baba dan Nyonya di Singapura itu.


BEBERAPA mangkuk tingkat tradisi kelihatan di atas sebuah almari di Katong Antique House, Singapura.

Namun, Wee tetap ingat asal keturunannya adalah dari Melaka.

Baba dan Nyonya atau Peranakan merupakan kaum yang unik kerana ia terbentuk daripada asimilasi budaya. Kaum Cina dari negara China yang datang ke Melaka pada kurun ke-15, kebanyakannya pedagang, menetap di situ dan menyerap budaya masyarakat setempat khususnya Melayu.

Pulut inti

Wee menjelaskan, kaum Baba dan Nyonya bukanlah satu percampuran darah sebaliknya adaptasi budaya.

Pembukaan Negeri-Negeri Selat bermula pada hujung 1700-an oleh British antara faktor mendorong penghijrahan kaum Baba dan Nyonya ke Pulau Pinang dan Singapura. Katong misalnya merupakan antara kawasan utama komuniti Baba dan Nyonya di Singapura.

Wee merupakan anak bongsu kepada pasangan Wee Guan Hong dan Josephine Tan Pin Neo. Pin Neo merupakan anak tunggal Tan Cheng Kee, salah seorang daripada empat orang anak lelaki kepada ahli perniagaan kaya dari Melaka.

Cheng Kee mempunyai pertalian darah dengan pengasas MCA, Tun Tan Cheng Lock.

Wee menyifatkan, gaya hidup masyarakat Baba dan Nyonya terdiri daripada 80 peratus budaya Cina dan 20 peratus Melayu, Portugis, Belanda dan British.

Pertuturan mereka adalah gabungan bahasa Hokkien, Melayu dan Inggeris. Mereka berdondang sayang, berjoget dan makan sirih.



"Bukan sahaja dalam pertuturan, dan kehidupan seharian, bahkan adat perkahwinan juga.

"Menurut adat perkahwinan tradisi Baba dan Nyonya, ia dilaksanakan selama 12 hari dan pada hari terakhir, tetamu disajikan dengan nasi lemak.

"Seperti konsep yin dan yang, nasi melambangkan lelaki dan sambal melambangkan perempuan," ujar Naib Presiden I Persatuan Peranakan Singapura itu.

Dalam kunjungan pihak media, Wee turut menjamu kami dengan sajian pulut inti yang dibuat sendiri. Berwarna biru, pulut inti dibuat menggunakan bunga telang yang lazim digunakan untuk membuat nasi kerabu di Pantai Timur.

Wee turut bercerita tentang ibunya, Pin Neo, 96, yang sehingga hari ini masih selalu memakai kebaya.


PETER WEE (kanan) menunjukkan cara memakai kain batik lepas.

Namun, Wee sedar yang gaya hidup dan adat Baba dan Nyonya kini sudah terlalu kurang dipraktikkan oleh generasi muda dan amat sukar untuk melihat anak-anak gadis berkebaya di jalanan.

"Jangankan pakaian atau bahasa pertuturan, adat berteriak pun susah untuk diamalkan.

"Macam mana hendak berteriak panggil? Bapa mari makan, ibu mari makan, nenek mari makan, adik mari makan, abang mari makan.

"Kalau masing-masing hendak keluar rumah pun main keluar sahaja tanpa beritahu," katanya sambil menerangkan ramai juga antara kaum Baba dan Nyonya di Singapura yang telah berhijrah ke Australia.

Namun, Wee mengamalkan peribahasa berpijak di bumi nyata. Beliau tidak berhajat untuk menentang masa kerana sedar pemodenan dan budaya Barat kian meresapi dunia.

Hotel butik

"Secupak tidak boleh jadi segantang. Dunia dan zaman berevolusi. Yang tradisional akan berubah menjadi moden.

"Saya cuma tidak mahu apa yang pernah dimiliki hilang. Menjadi tanggungjawab untuk yang tua menyimpan dan menceritakan kepada yang muda," ujarnya yang baru sahaja menghasilkan buku A Peranakan Legacy terbitan Marshall Cavendish.

Sekurang-kurangnya pada masa ini, Wee boleh tersenyum sedikit apabila ada beberapa pasangan muda berkahwin berminat menyewa pakaian daripadanya.


MASAKAN pulut inti yang menggunakan bunga telang.

Siri televisyen Singapura mengenai kaum Baba dan Nyonya, Little Nyonya juga mendapat sambutan hangat sehingga ke negara-negara jiran malah sudah disiarkan di Amerika Syarikat.

Pembukaan hotel baru, Le Peranakan di East Coast Road, Singapura turut membuat Wee tersenyum gembira. Hotel butik yang diuruskan oleh Radiance Hospitality Group itu mempunyai dekorasi berasaskan budaya Baba dan Nyonya yang mampu memberikan pengalaman yang berbeza.

"Ia satu perkembangan yang menggembirakan. Saya suka apabila nama Peranakan terus 'dipanjangkan'," ujarnya sambil memberitahu Persatuan Peranakan Singapura kini dianggotai kira-kira 1,900 ahli. Persatuan itu turut mempunyai hubungan yang akrab dengan Persatuan Peranakan Melaka, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Selangor.

Saat ditanya apakah pesanan terakhirnya buat generasi muda, Wee yang amat meminati lagu-lagu irama asli seperti joget dan keroncong memberi amaran:

"Jangan sesekali ubah lagu asli. Janganlah rosakkannya."

Tuesday, January 5, 2010

Qat jaringan sosial di Yaman


QAT dipercayai menyebabkan Yaman kehilangan 20 juta jam waktu bekerja kerana sikap rakyatnya yang pulang awal untuk ritual mengunyah daun tersebut.

BAGI masyarakat Yaman, daun qat adalah sebahagian daripada kehidupan sosial mereka terutamanya selepas makan malam di negara-negara Barat. Qat merupakan sejenis dadah ringan yang berasal daripada sejenis tumbuhan. Masalahnya kini ialah tumbuhan itu hanya tumbuh di zon peperangan.

Mohammed Ahmed Ghanem membuka gerai yang menjual qat pasar Kuwait di bandar Yaman.

Dia memberitahu pada waktu tengah hari harga daun itu boleh mencecah antara RM6.8 hingga RM343 bergantung pada kualiti.

Namun daun yang dikenali sebagai Shami tidak lagi dijual di gerai Ghanem.

Ia bermula pada bulan Ogos lalu ekoran kerajaan Yaman berhadapan konflik dengan pemberontakan Shiite di pergunungan tha far utara. Ia berkaitan dengan sekatan dan pengedaran tanaman tersebut di pasar Sanaa.

Sekatan

Shami merupakan salah satu tumbuhan organik yang kini ditanam dengan banyak kerana mampu memberikan kepuasan kepada masyarakat negara itu.

"Sekiranya saya tidak mengambil qat saya akan terputus hubungan dengan kawan-kawan dan saudara-mara," ujar seorang pengguna sebaik saja duduk di kusyen di dalam salon di Saana. Pipinya kelihatan menonjol ketika mengunyah daun-daun qat.

Qat tidak diharamkan di Yaman tetapi kebanyakan pengguna tidak mahu nama mereka disiarkan di dalam akhbar.

Qat bagaimanapun diharamkan di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah. Malah, di Yaman sendiri pihak berkuasa berusaha menyekat pengambilannya terutamanya di pejabat-pejabat kerajaan.

"Saya tahu tentang ekonomi dan kos sosial tetapi saya tidak boleh hidup tanpanya," jelas salah seorang pengguna.

Pada setiap waktu tengah hari dia akan keluar pejabat pada waktu kerja dan menuju ke pasar Kuwait untuk membeli stok tersebut. Jus istimewa itu dikeluarkan daripada daun apabila mengunyah dalam jangka masa yang lama. Jadi amat penting mendapatkan daun-daun qat yang segar.

Sebaik sahaja memasuki salon, dia membuka baju moden stail Barat dan meninggalkan busana tradisional masyarakat Yaman tanpa lengan dan bertali pinggang yang menyelitkan pisau belati. Kemudian, dia terus duduk di dalam salon. "Wah, inilah momen terbaik untuk hari ini."


MASYARAKAT Yaman merasakan mereka akan hilang jaringan sosial jika tidak menyertai atau mengunyah daun qat bersama rakan-rakan atau saudara-mara.

Bagi golongan lelaki Yaman, sesi menikmati qat merupakan peluang untuk mereka bersosial dan berkumpul bersama teman-teman. Pada waktu itulah mereka akan berdebat dan membincangkan pelbagai isu serta hal-hal negara. Dalam pada itu pengambilan qat dalam kalangan wanita dan kumpulan remaja turut menunjukkan peningkatan.

Semaian

Jualan qat di Yaman dianggarkan mencecah RM2,739.60 setahun. Ia suatu jumlah yang tinggi dalam negara yang menduduki tempat ke-138 (iktiraf dalam rangking AS) di dunia dari segi pembangunan kemanusiaan bersama produk domestik kurang daripada RM3,424 seorang.

Di bandar Yaman qat yang diambil bersama tembakau merupakan hasil pendapatan isi rumah yang terbesar.

Keistimewaan qat berjaya menarik minat peladang. Menurut kenyataan yang dikeluarkan dari kementerian pertanian, qat mampu menghasilkan empat kali musim semaian dalam setahun. Kira-kira penanam qat mampu memperoleh RM42,806 sehektar iaitu tiga kali ganda daripada hasil tanaman yang lain.

"Jika tanaman lain mengambi masa selama lima tahun untuk mendapat hasil tuaian dari pokok buah-buahan tetapi qat hanya dalam beberapa bulan saja," ujar pengeluar dadah qat di pasar Kuwait, Hani Saleh.

Penanaman pokok-pokok qat yang rendah itu telah memenuhi kira-kira tiga suku tanah di Yaman.

Terbaru, kajian yang dijalankan oleh Akademi Yaman Fethi Sakkaf mendapati sebanyak 85 peratus masyarakat Yaman menanam qat.

Dalam kajian yang sama dianggarkan di Yaman sebanyak 20 juta jam waktu bekerja telah hilang setiap hari. Ia berpunca daripada sikap para pekerja yang pulang awal bagi menyertai aktiviti ritual menghidu qat pada waktu tengah hari. -AFP

Thursday, November 5, 2009

ALAM DAMAI

http://www.kosmo.com.my


Tinggalan Loke Chow Kit



MASIH kukuh berdiri dan kekal dengan fizikal asalnya, bangunan ini pada mulanya merupakan milik Loke Chow Kit.

BANGUNAN yang didiami Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) di Jalan Tangsi, Kuala Lumpur, pada hari ini pada asalnya merupakan rumah agam orang kaya Kuala Lumpur, Loke Chow Kit.

Dibina pada 1907 di kawasan perumahan mewah warga Inggeris ketika era penjajahan British, bangunan dua tingkat yang pernah dikenali sebagai Dewan Loke itu dikatakan satu-satunya bangunan milik warga tempatan di kawasan yang dikenali sebagai European Quarter itu.

"Inilah satu-satunya rumah milik orang tempatan di kawasan ini. Selebihnya ialah milik warga Inggeris.

"Bukan saja untuk didiami, rumah ini juga dijadikan pejabat untuk kerja-kerja perusahaan bijih timah.

"Bagaimanapun, Loke menjual rumah ini pada tahun 1909 dan kemudian ia dijadikan Hotel Empire diikuti Hotel Peninsular," kongsi Pengerusi Jawatankuasa Warisan dan Konservasi PAM, Ar. Mohd. Zulhemlee An.

PAM menjadi penghuni keempat bangunan itu sejak 1973.

"PAM memilih untuk 'mendiami' bangunan ini kerana reka bentuknya yang unik, yang tidak dapat dihasilkan semula dalam era lain.

Tambahan ia terletak di kawasan utama. Faktor itu membuatkannya sesuai dijadikan bangunan rujukan untuk ilmu seni bina," jelas Zulhemlee.


TERSERLAH gaya Inggeris atau Eropah.

Dilengkapi dengan laman terbuka di tengah-tengah bangunan, kata Zulhemlee, ciri ketara seperti itu kini juga hanya dapat dilihat pada rumah-rumah lama Melaka dan Rumah Agam Cheong Fatt Ze di Pulau Pinang.

"Rumah-rumah lama di China juga menerapkan konsep laman terbuka seperti ini.

"Jadi kita tidak dapat menetapkan sama ada idea rekaan seperti ini datang dari negara tertentu," ujarnya.

Tidak mustahil, kata Zulhemlee, rekabentuk baluster atau susur tangan pada pagar di sekeliling laman terbuka di aras atas bangunan itu datang dari kedua-dua negara, China dan Eropah, kerana rekabentuk yang sama turut dapat ditemui di Eropah.

"Malah, rumah ini dibina selepas Loke pulang dari melawat negara-negara Eropah bersama usahawan ternama, Wong Loke Yew," jelas Zulhemlee.

Kepala tiangnya yang berkerawang jelas sekali menunjukkan pengaruh Eropah, begitu juga gable end atau tebar layar pada bahagian hujung bumbungnya.

Biarpun sudah mengalami tiga kali perubahan fizikal kerana empat kali bertukar penghuni, struktur dan kebanyakan bahagian utama asal bangunan itu masih kekal.

"Kebanyakan bahagian bangunan yang diperbuat daripada kayu terpaksa kami ganti dengan material lain kerana ia diserang anai-anai dengan teruk sekali.

"Tetapi yang masih terselamat, kami kekalkan," katanya yang mendedahkan lantai kayu di aras atas sebahagian besarnya digantikan kepingan besi tebal.


AMAN terbuka yang unik di tengah-tengah bangunan binaan 1907 ini


Ciri tradisional Melayu, kongsi Zulhemlee, dapat dikesan pada bahagian depan rumah itu. Dari pintu pagar, satu set anak tangga membawa tetamu ke 'anjung' sebelum sampai ke pintu utama rumah.

Darjah perbezaan antara seni bina lama dengan baru sangat ketara dari segi reka bentuk sesebuah bangunan.

Namun, siapa sangka, teori pembinaannya juga ada kelainan?

Dinding jauh lebih tebal

"Rumah-rumah sekarang ditampung beratnya oleh tiang dan rasuk, sedangkan rumah dahulukala ditampung oleh dindingnya.

"Disebabkan itulah dinding rumah lama jauh lebih tebal berbanding dinding rumah sekarang.

"Dinding yang diperbuat pada zaman dahulu juga bersifat menyerap dan melepaskan lembapan ke ruang dalaman, membuatkan rumah tidak panas.

"Cat yang digunakan juga daripada jenis yang membolehkan dinding bernafas (breathable)," terangnya.

Namun, dengan penggunaan pendingin hawa, cat yang digunakan pada hari ini bukan lagi daripada jenis itu.

"Cat 'boleh bernafas' masih lagi dihasilkan tetapi sudah tidak ramai yang menggunakannya kerana penggunaan pendingin hawa memerlukan tiada pengaliran udara keluar dan masuk.

"Tetapi penggunaan cat tidak boleh bernafaslah yang menyebabkan pembentukan kulat pada dinding bangunan lama yang serupa kerana lembapan dalam dinding tidak dapat keluar dengan baik," tambah Zulhemlee.


MASIH yang asal. Kebanyakan bahagian yang dibina daripada kayu terpaksa dirombak dan digantikan dengan kepingan besi kecuali tangga ini.


Impian PAM kini ialah untuk mendapatkan hak milik ke atas bangunan itu daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sepenuhnya.

"Disebabkan kami sekadar bertindak sebagai penjaga bangunan ini, pergerakan kami untuk melakukan sebarang pengubahsuaian pada bangunan ini sangat terhad.

"Sedangkan sebagai sebuah pertubuhan yang menghimpunkan arkitek bertauliah dari seluruh negara, kami mempunyai banyak aktiviti untuk dilakukan seperti seminar, mesyuarat dan sebagainya," ujarnya.

Bangunan seluas 1,588 meter persegi itu kini menempatkan sebuah pusat sumber tentang seni bina yang turut dibuka kepada orang awam dan menjadi pusat rujukan kepada 1,600 arkitek berdaftar.

PAM juga, kata Zulhemlee, berhasrat untuk mengembalikan bentuk asal bangunan yang masih berdiri teguh bersetentang dengan Bank Rakyat di Jalan Parlimen itu.

"Kami telah mencalonkan bangunan ini kepada Jabatan Warisan Negara agar ia dapat digazetkan supaya terus dipelihara sebagai tinggalan sejarah negara.

"Kita memerlukan sekurang-kurangnya satu bangunan untuk rujukan daripada setiap zaman dan Loke Chow Kit bukan nama asing lagi di negara kita," kata Zulhemlee.

Wednesday, October 28, 2009

PEMBERSIH PAIP MESRA ALAM



sekarang nih....dalam hidup manusia semua nak kembali kepada alam....bagus la ader kesedaran dalam diri manusia masa kini dlalam menjaga alam sekitar....-duniakita


Sistem pembersihan saluran paip mesra alam Dr. Pipe berkesan, selamat, cepat dan memberi penjimatan kos dalam jangka masa yang panjang.




SALURAN paip air bukan sekadar alat yang mengalirkan air untuk ke kediaman, bahkan ia juga indikasi yang memberi maklumat tentang sesuatu tempat seperti kediaman atau pejabat itu dibuka.

Saluran paip juga terdedah kepada karat, mendapan, gris dan lain-lain bahan berbahaya yang penuh dengan bahan-bahan pengoksidaan.

Justeru, semakin bertambah usia paip tersebut semakin banyak bahan bahaya yang terbentuk.

Tanpa disedari, bahan-bahan asing itu mengalir bersama menerusi bekalan air kita sehingga ke paip yang menyalur air ke rumah kita. Saban hari, kita akan menggunakan air tersebut untuk mandi, mencuci dan memasak.

Kita sebenarnya terdedah kepada pelbagai bahan asing dan tercemar yang terdapat di dalam air itu.


PENTINGNYA proses pembersihan paip bagi menjaga kesihatan setiap isi rumah.


"Beberapa jenis mendapan seperti tembaga, plumbum dan arsenik yang terdapat dalam air boleh menyebabkan alahan pada kulit.

"Dalam kes-kes yang ekstrem ia boleh menyebabkan kanser, kerosakan otak dan penyakit jantung," jelas Ketua Pegawai Eksekutif E-Dr. Pipe Sales & Services Sdn. Bhd. Malaysia, Melvin Lim ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Jenis paip

Kajian menunjukkan jenis-jenis paip yang digunakan di dalam rumah dan bangunan komersial terdiri daripada paip-paip besi galvani (GI), polyvinyl chloride (PVC), acrylonitrile butadiene styrene (ABS) dan paip-paip polimer.

Kita mungkin tidak mengetahui bahawa paip-paip air yang berusia lebih setahun berkemungkinan besar mempunyai mendapan bahan asing.

Sehubungan itu, paip-paip air itu perlu dibersih dan diselenggarakan melalui satu sistem pembersihan yang berkesan bagi memastikan air yang keluar daripada paip selamat untuk digunakan.

Kini, setiap isi rumah tidak lagi perlu risau dengan adanya perkhidmatan Dr. Pipe. Segala masalah dan kegusaran terhadap tahap kualiti air di kediaman anda akan menemui jalan penyelesaian.


PERALATAN yang digunakan Dr. Pipe cukup ringkas malah tidak memerlukan ruang yang luas.


Dr. Pipe yang ditubuhkan pada tahun lalu merupakan pakar pembersihan paip mesra alam yang pertama di Asia Tenggara.

Kehadiran Dr. Pipe yang bergerak secara kumpulan dengan memakai pakaian seragam berwarna hijau telah menawarkan khidmat pembersihan paip kepada pelbagai peringkat pelanggan termasuklah industri, perdagangan dan perumahan.

"Dr. Pipe merupakan syarikat pertama di Malaysia yang menyediakan khidmat pembersihan paip. Sebelum ini ia digunakan hanya di dua buah negara iaitu Taiwan dan Jepun.

"Tetapi kali ini Dr. Pipe mencari inisiatif untuk menghasilkan produk sendiri, memandangkan rakyat kita masih kurang kesedaran berhubung bahaya menggunakan air yang tidak bersih," ulas Lim.


JURUTEKNIK Dr. Pipe menunjukkan perbezaan air setelah proses pembersihan dijalankan.


Menggunakan kaedah pembersihan hidro-dinamik yang canggih, sistem pembersihan Eco-wash Dr. Pipe merupakan teknologi terbaru bagi industri pembersihan paip.

Penggunaan peralatan seperti kompresor memberikan alternatif yang lebih berkesan, bersih dan mesra alam berbanding kaedah pembersihan biasa yang menggunakan bahan kimia berbahaya.


KEKOTORAN yang ada di setiap saluran paip akan dibuang.


"Sistem pencucian Eco-wash Dr.Pipe memberikan keberkesanan yang tinggi dalam menanggalkan mendapan pepejal sehingga 96 peratus di dalam sebatang paip," beritahu Melvin.

Memeriksa

Juruteknik terlatih Dr. Pipe akan terlebih dahulu memeriksa dan menilai keadaan kepala paip, injap paip dan keseluruhan sistem saluran paip sebelum dibersihkan.

Biasanya, pemeriksaan itu dijalankan bagi mengenal pasti jika terdapat kebocoran yang serius pada mana-mana saluran paip.


PAIP utama diperiksa terlebih dahulu bagi memastikan tiada kebocoran.


"Kami bukannya terus membersih paip itu. Sebaliknya mengambil masa sedikit untuk memeriksa keadaan paip pelanggan. Sekiranya terdapat kebocoran, kami akan meminta mereka untuk membaik pulih sistem paip terlebih dahulu," jelas Melvin.

Seteleh meneliti secara keseluruhan kedudukan paip yang ingin dibersihkan, barulah sistem Eco-Wash Dr. Pipe disambungkan kepada saluran paip utama untuk proses pembersihan.

Apabila mesin dipasang, ia akan mengeluarkan mampatan udara berfrekuensi tinggi untuk menghasilkan beberapa tahap momentum bersama-sama aliran air di dalam saluran paip.




Proses itu bertujuan melerai dan mengeluarkan bahan-bahan asing pejal dan mendap.

"Menariknya proses ini langsung tidak menggunakan sebarang cecair kimia untuk membunuh kuman di dalam setiap batang paip.

"Anda juga tidak perlu bimbang sekiranya saluran paip yang berkarat atau rosak akan menjadi lebih teruk. Ini kerana proses tekanan udara yang digunakan itu bergerak mengikut arah berputar," ulasnya.

Penapis air

Proses pembersihan mengambil masa kira-kira dua hingga tiga jam bagi kediaman biasa. Kemudian, paip akan diperiksa satu persatu sehingga air yang keluar benar-benar jernih.

Selain itu, bagi mendapatkan kualiti air yang lebih bersih, pengguna boleh menggunakan penapis air seperti yang sering digunakan oleh orang ramai.

"Awalnya, air yang keluar daripada mana-mana injap paip pastinya berwarna karat. Setelah proses ini dilakukan perbezaan kualiti air dapat dilihat dengan jelas," katanya yang menyarankan orang ramai melakukan pembersihan itu sekurang-kurangnya sekali setahun.

Premis yang menggunakan perkhidmatan Dr. Pipe akan diperiksa supaya tidak timbul sebarang kerosakan dan memastikan peredaran air berjalan lancar seperti biasa.


sumber:kosmo.com.my