Friday, June 18, 2010

Obses kosmetik di Iran


DENGAN populasi 74 juta, Iran kini berada di tangga kedua sebagai pasaran terbesar kosmetik di Asia Barat.


SELEPAS diharamkan sewaktu Revolusi Islam 1979, kini kosmetik seperti lipstik dan pengilat kuku mula 'membanjiri' pasaran negara Iran sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Malah, Iran merupakan pasaran kedua terbesar produk kecantikan di Asia Barat.

Berikutan revolusi tersebut, anggota polis yang melakukan rondaan di jalanan akan mendenda atau mungkin menahan wanita yang melanggar arahan tersebut sehinggalah peraturan itu dilonggarkan selepas peperangan Iran-Iraq antara tahun 1980 hingga 1988.

Apa yang pasti, kebanyakan wanita Iran mula menggilai alat-alat solek selepas pemerintah membenarkan produk kecantikan diimport pada pertengahan 1990-an.

Lantaran itu, ramai wanita terutama golongan muda yang hidup dalam suasana serba moden berhias cantik apabila keluar dari rumah tanpa sebarang rasa takut atau bersalah.

Produk kosmetik seludup

Berdasarkan satu tinjauan terbaru, rakyat Iran dianggar membelanjakan kira-kira dua bilion dolar (RM6.65 bilion) setahun untuk membeli produk kosmetik.

Jumlah tersebut menunjukkan sekitar 29 peratus kuasa membeli dalam pasaran kosmetik Asia Barat disumbangkan oleh Iran dengan majoritinya didominasi oleh Arab Saudi. Iran memiliki sejumlah 74 juta orang penduduk.

Kebanyakan produk kecantikan kini diimport atau diseludup ke Iran memandangkan negara itu hanya menghasilkan sedikit alat solek sendiri.


WANITA muda menjadi kelompok utama yang menggerakkan trend kecantikan di Iran.


Hampir semua jenama antarabangsa popular seperti Yves Saint Laurent, Guerlain, L'Oreal dan Bourjois boleh didapati di pusat beli-belah moden dan pasar raya dalam bandar-bandar besar.

"Dianggarkan kira-kira AS$700 juta (RM2 bilion) hingga AS$750 juta (RM2.5 bilion) nilai produk kosmetik diimport ke Iran secara haram," kata Abbas Najafi, Ketua Biro Penyeludupan Iran.

Vista Bavar yang mempromosikan pelancaran produk Eropah jenama Caprice di Iran mempunyai pendapat serupa, sambil menegaskan bahawa banyak produk kecantikan telah diseludup ke Iran.

"Kementerian Kesihatan sangat teliti mengenai kriteria yang dikehendaki sebelum satu-satu produk dipasarkan ke Iran. Bagaimanapun, ia sebenarnya satu peraturan yang bagus untuk pengguna sekali gus mereka dapat mengetahui kualiti barangan yang dibeli," ujar Bavar.

Individu yang terlibat dalam perniagaan produk kecantikan mengakui bahawa produk yang diseludup cenderung untuk mempunyai kualiti yang rendah.

"Sejak beberapa tahun lalu, pasaran dibanjiri dengan produk berkualiti rendah dari China yang tidak memenuhi standard yang ditetapkan," jelas seorang pengimport utama produk kosmetik yang tidak mahu dikenali.

Bagaimanapun, produk China merangkumi kira-kira 30 peratus barangan import haram dan ia mempunyai pasaran tersendiri di kawasan pedalaman serta di kalangan penduduk yang berpendapatan rendah.


DUA orang wanita Iran sedang memilih haruman di sebuah kedai.


Menurut tinjauan yang dilakukan oleh TMBA, sebuah institut penyelidikan ekonomi di Iran, kira-kira 14 juta wanita urban negara itu yang berusia antara 15 hingga 45 tahun secara purata membelanjakan AS$7 (RM23.20) sebulan untuk barangan kosmetik.

Dengan gaji minimum di Iran bermula antara AS$300 (RM998) dan purata pendapatan bulan antara 600 (RM1,996) hingga 700 dolar (RM2,329), ia dianggap jumlah yang logik.

TMBA mengatakan rakyat Iran berbelanja untuk kosmetik mungkin disebabkan kebanyakan populasi kini terdiri daripada golongan muda dan urban. Setengah daripada populasi penduduk adalah mereka yang berusia di bawah 30 tahun dan 65 peratus lagi penduduk bandar.

Wanita yang bekerja dengan pemerintah bagaimanapun masih tidak boleh memakai alat solek di tempat kerja.

"Disebabkan kod pemakaian yang telah ditetapkan, golongan muda di Iran terpaksa memberi perhatian yang lebih terhadap wajah mereka," ungkap Mina yang menjual produk kosmetik di Tehran.

"Sesetengah anak gadis menghabiskan masa berjam-jam di depan cermin untuk bersiap. Jika fesyen di Eropah hanya untuk tampil semula jadi tanpa sebarang solekan, di Iran mereka lebih gemar memakai alat solek." - AFP

Friday, June 11, 2010

Cergas pada usia emas




SEPERTI lazimnya, dia akan bangun seawal pukul 5.30 pagi untuk menghirup udara segar sambil memanjat kesyukuran kerana masih bernafas untuk meneruskan kehidupan.

Meskipun rutinnya agak ketat, dua keping roti serat disapu mentega dan sebiji pisang pasti akan dijamahnya sebagai sarapan pagi.

"Jika tidak pun saya akan makan biskut gandum dan minum secawan kopi. Semua ini menjadi kemestian bagi saya untuk memulakan hari dengan penuh tenaga," ujar penyanyi dan penghibur terkenal, Anita Sarawak.

Anak kepada pasangan seniman S. Roomai Noor dan Siput Sarawak yang mesra disapa sebagai Kak Nita itu telah menjangkau umur 58 tahun. Membiasakan rutin harian yang sibuk sejak karier seninya bermula ketika dia berumur 15 tahun, Anita mendakwa itu telah menjadikannya individu yang berdisiplin.

Penyanyi yang pernah popular dengan lagu Dengar Ini Cerita tidak menafikan setiap manusia mendambakan kesempurnaan, kecantikan dan hidup sihat.

"Apabila kita menjangkau umur 50-an kita akan sentiasa risau. Idea penuaan mula membelenggu kita. Namun, sudah menjadi tradisi dan realiti bahawa setiap manusia tidak mampu lari daripada kitaran tersebut. Sekiranya bijak, kita mampu melambatkan proses tersebut," katanya.

Kalau ditanya apakah rahsia Anita yang kelihatan jauh lebih muda daripada usia sebenarnya, Anita menjawab, selain mengambil pendekatan menjaga kesihatan dalaman dan luaran, dia juga sering berfikiran positif.

Hakikatnya, tekanan dan rutin harian tidak pernah padam dalam kehidupan setiap orang. Tekanan membuatkan seseorang letih dan tidak bermaya.

"Maka, terapkan diri dengan kegembiraan. Ia bergantung kepada diri sendiri dan cara anda mengawalnya," terang Anita yang suka bercucuk tanam.




Dalam diet sehariannya, penyanyi tersebut lebih menggemari makanan yang dibakar dan dikukus. Seminggu dalam sebulan dia akan mengamalkan diet sayur-sayuran.

Makanan yang mengandungi protein pula lebih banyak diambilnya berbanding karbohidrat. Pada masa yang sama, Anita jarang menyentuh menu daging.

Sebagai langkah menjaga pengambilan makanannya, Anita memberitahu bahawa dia tidak akan menjamah makanan selepas pukul 8 malam. Dia juga mengamalkan minum lapan hingga lima belas botol air mineral sehari dan memastikan sekurang-kurangnya terdapat sebotol air kosong di tepi sudut katilnya sebelum tidur.

"Untuk mencapai stamina semasa menjayakan persembahan, saya akan menghabiskan masa di antara 20 hingga 30 minit setiap hari menggunakan mesin kardiovaskular," ujarnya.

Melakukan aktiviti fizikal dan berpeluh amat penting kerana ia dapat menyingkirkan toksik dalam tubuh.

Bagi Anita, melakukan kerja rumah seperti menyapu atau mengemop lantai, mengemas rumah dan menaiki tangga juga adalah aktiviti yang menyihatkan daripada langsung tidak berbuat apa-apa.

Tambah Anita: "Setiap enam bulan sekali, saya akan menjalani pemeriksaan kesihatan. Kita hanya berjumpa doktor apabila kita sakit. Bukankah lebih baik jika kita dapat mencegahnya terlebih dahulu?"

Daya ingatan

Melihat dari perspektif figura lain, mungkin ramai yang ingin mengetahui rahsia sejarawan negara, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim mengasah daya ingatan yang kuat pada usia 73 tahun.


PEMAKANAN yang sihat dan seimbang mengikut kawalan tertentu adalah antara kunci kesihatan warga emas.


"Sebenarnya, saya tiada jawapan kerana saya hanya membaca setiap hari. Dengan membaca, kita bukan sahaja mendapat banyak maklumat malah dapat menjana pemikiran.

"Otak akan bertindak menyimpan maklumat apabila ia membabitkan pemikiran kritis. Apa yang perlu adalah menfokuskan kepada sesuatu," katanya yang mahir dalam bidang sejarah selama enam dekad.

Kay Kim berpendapat, mengkaji dan menghayati sejarah itu mampu menambah kecerdasan seseorang. Akal seseorang akan menjadi semakin tajam, berpandangan jauh, cekap dan sentiasa memikirkan kesan jangka panjang bagi setiap tindakan, isu dan peristiwa.

"Otak kanan yang terlibat dengan imaginasi dan pemikiran kreatif mampu diasah dengan fakta sejarah. Ia juga membantu meningkatkan penggunaan kuasa otak sepenuhnya," kata Kay Kim.

Bahan bacaan sejarah juga membantu meningkatkan kemahiran menganalisis, membanding, meramal dan membuat kesimpulan. Secara tidak langsung, ia membantu meningkatkan kemahiran logik dan kreativiti.

Rasional dalam menentukan atau menyingkap rahsia panjang umur sukar untuk didefinisikan memandangkan sifatnya yang subjektif. Namun, amalan pemakanan sihat antara penyumbang atau faktor ke arah matlamat tersebut.

Diet sihat

"Pemakanan yang mengikut konsep piramid makanan hakikatnya memenuhi keperluan diet sihat manusia. Pada masa yang sama, ia mengelakkan kekurangan atau pengambilan zat berlebihan yang boleh menyumbang kepada risiko penyakit," kata Pakar Kesihatan Usia Pusat Perubatan Pantai, Dr. Rajbans Singh.

Apakah makanan yang sesuai untuk warga emas? Golongan tersebut, kata Rajbans, seharusnya mengambil pelbagai jenis makanan kerana tiada satu jenis makanan pun yang boleh membekalkan kesemua zat keperluan tubuh.

"Makanan yang mengandungi kanji seperti nasi, roti, mi dan ubi dapat membekalkan tenaga. Pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan pula dapat membekalkan vitamin, mineral dan serat bagi mencegah masalah seperti sembelit.

"Apabila usia meningkat, tulang mudah reput. Jadi makanan yang tinggi kalsium seperti susu rendah lemak, ikan bilis, tauhu, tempe dan sayuran berdaun hijau perlu diambil. Pada masa yang sama, nasihat daripada pakar pemakanan masih diperlukan dalam menentukan corak diet tersebut," terangnya.


ANITA (kanan) masih menunjukkan persembahan dan aksi yang bertenaga, sama seperti gandingannya, Sheila Majid, mengalahkan artis-artis lain yang jauh lebih muda daripadanya.


Sayur-sayuran bertindak sebagai antioksida dan merupakan zat penting yang dapat mengurangkan kesan negatif radikal bebas. Radikal bebas itu bertindak sebagai bahan reaktif yang berupaya memusnahkan sel membran, tisu dan organ.

Selain itu, pengambilan multivitamin boleh membantu kita menjalani kehidupan dengan lebih yakin.

"Bagi memastikan tubuh menjalankan fungsinya dengan betul, kita digalakkan mengambil suplemen dalam bentuk multivitamin. Apabila umur menjangkau 50 tahun, pengambilan nutrisi perlu selaras dengan gaya hidup," ulas Rajbans.

Perubahan gaya hidup turut mempengaruhi motivasi seseorang untuk bersenam. Meskipun begitu, masih belum terlambat bagi mereka yang berumur lebih 50 tahun untuk mengekalkan kecergasan mereka dengan melakukan aktiviti yang sesuai dengan usia mereka.

"Pada peringkat permulaan, aktiviti berjalan kaki dan melakukan aerobik (berintensiti rendah) di antara 10 hingga 15 minit sudah memadai," kata Ahli Fisioterapi Persekutuan Bola Sepak Malaysia, Mohd. Nasrul Ahmad Tajuddin.

Walaupun senaman penting untuk kesihatan, seseorang perlu tahu keupayaan badan dan tidak perlu terburu-buru untuk mencapai kecergasan yang maksimum terutama apabila sudah berusia.

Secara ringkasnya, manfaat daripada bersenam adalah sebagai pelengkap rawatan dan menjadi agen pengawal semua penyakit gaya hidup.

"Selain melancarkan aliran darah, mengawal tekanan dan paras gula dalam darah, senaman juga mampu meningkatkan daya ingatan dan membuatkan seseorang itu kelihatan awet muda," tambahnya.