Tuesday, December 29, 2009


PUISI KUATRAIN NOSTRADAMUS




Nostradamus atau nama sebenarnya, Michel de Nostredame adalah seorang pengamal perubatan di Perancis. Nostradamus terkenal kerana kumpulan puisinya yang telah diterbitkan di Lyon pada tahun 1555 yang terdiri dalam kelompok-kelompok seratus kuatrain (syair empat baris). Kumpulan puisi ini menjadi perhatian kerana ia sebenarnya adalah ramalan-ramalan tentang apa yang terjadi di dunia dan malah untuk menjadikannya lebih menghairankan sebahagian ramalan tersebut betul-betul terjadi, contohnya kemunculan Napoleon, kebangkitan Hitler, Perang Dunia I dan II dan yang paling popular adalah peristiwa 911.

Bagaimana Nostradamus mengetahui masa depan?Atau darimana beliau mendapat semua maklumat tentang masa depan?Hakikat sebenarnya ialah beliau mendapat semua maklumat ini berdasarkan manuskrip-manuskrip lama yang asli ataupun yang telah diterjemahkan dari manuskrip asal, yang bersumber dari dunia Islam; semua ini akhirnya berpunca dari percakapan Nabi Muhammad s.a.w kepada para Sahabatnya tentang peristiwa akhir zaman. Sebenarnya terdapat sekelompok hadis Nabi yang semuanya berkaitan peristiwa yang terjadi pada masa depan atau lebih dikenali sebagai Hadis Akhir Zaman ataupun Hadis Fitan.

Antara sarjana Islam yang terkenal membicarakan Hadis Akhir Zaman ini adalah Ibnu Kathir. Hadis-hadis ini kurang mendapat perhatian kecuali segilintir darinya yang kebanyakan kita telah maklum iaitu yang membicarakan tentang persoalan TANDA-TANDA KIAMAT seperti kemunculan Dajal, turunnya Nabi Isa dan Padang Mahsyar. Kebanyakan hadis-hadis ini adalah masih bersifat rahsia dan hanya dapat ditemui di dalam kelompok manuskrip atau karya-karya ulama-ulama dahulukala. Kitab-kitab mereka pun digelar kitab-kitab Fitan. Sebenarnya sabda-sabda Rasullullah s.a.w adalah terlalu banyak;melampaui beribu-ribu hadis, maklumlah segala percakapan, perbuatan dan keputusan dari manusia teragung ini akan segera diambil tahu, dicatat dan direkod oleh para Sahabat selama baginda masih hidup di dunia ini. Tidak semua hadis nabi ini dimasukkan di dalam apa yang dikenali sebagai Enam Kitab Hadis Utama iaitu riwayat al-Bukhari, riwayat Muslim, riwayat Ibnu Majah, riwayat at-Tirmizi, riwayat Abu Dawud dan riwayat an-Nasa'i. Masih ada hadis-hadis lain yang sebagiannya adalah percakapan spontan nabi; bukannya di dalam majlis-majlis rasmi atau pertemuan dengan para Sahabat mahupun khutbah-khutbah baginda.

Masalah terbesar dalam menentukan kesahihan hadis-hadis ini adalah percampurannya dengan hadis-hadis palsu, maudhu' atau lemah, berbanding dengan hadis-hadis dari enam riwayat utama itu di mana setiap ulama hadis memilih hadis-hadis yang terbaik sahaja dari segi riwayat, nasab dan pelbagai lagi tapisan yang semua ini terdapat dalam disiplin ilmu hadis. Tetapi mujurlah terdapat ulama-ulama Islam dahulukala yang terkenal contohnya Ibnu Kathir ini yang tidak diragukan taraf keilmuannya, mengkaji dan mengumpulkan hadis-hadis akhir zaman ini. Salah seorang Sahabat nabi terkenal mengetahui rahsia-rahsia akhir zaman adalah Huzaifah Ibnu Yaman r.a iaitu Penjaga Rahsia Nabi. Pada hari-hari akhir Huzaifah Ibnu Yaman r.a, beliau telah berkata, "Saya adalah orang yang lebih tahu akan semua fitnah yang akan berlaku sehingga hari kiamat. Baginda tidak merahsiakan sedikitpun tentang hal itu yang tidak diceritakan kepada sesiapa pun melainkan aku. Akan tetapi Rasullullah s.a.w telah menceritakan di dalam suatu majlis, di mana baginda telah sampaikan kepada mereka tentang fitnah yang akan terjadi; diantaranya terdapat fitnah besar dan fitnah yang kecil. Kumpulan manusia itu semuanya pergi kecuali aku."

Beliau berkata lagi,"Semua pembawa fitnah yang bilangan mereka mencapai tiga ratus orang, kalau aku mahu dapat kuberikan NAMA-NAMAnya, NAMA BAPAnya mahupun KEDIAMANnya sehingga hari kiamat. Kesemuanya diajarkan Rasullullah s.a.w kepadaku. Sesungguhnya kamu bertanyakan kepada Rasullullah s.a.w perkara-perkara yang baik, sedangkan aku bertanyakan yang buruk, kamu bertanyakan kepada baginda perkara yang telah berlaku, manakala aku bertanyakan PERKARA YANG AKAN BERLAKU"

Manakala Ali bin Abu Talib karamallahuwajhah berkata pula,"Tanya oleh kamu akan daku, demi Allah kamu tidak menanyakan aku tentang segolongan yang keluar memerangi ratusan atau menunjuki ratusan orang kecuali aku ceritakan kepada kamu siapa PENGANJURnya, KETUAnya dan PENCETUS atau PEBGGERAKnya, di ANTARA kamu dan MASA terjadinya hari kiamat"

Sememangnya terdapat hadis-hadis ini yang ditemui nama seperti Hitler, Saddam atau Napoleon, cuma ia ditulis dalam loghat atau lenggok Arab ketika itu. Saya sendiri pernah membaca hadis-hadis ini cuma pada masa yang lain saya akan cuba menurunkan satu dua hadis seperti ini.

Berbalik kepada Nostradamus, tembelangnya pecah apabila para pesakitnya melaporkan ketika Nostradamus mengubati mereka, beliau telah mengucapkan sesuatu dalam bahasa yang dikenal mereka sebagai bahasa Arab malah kesemua ubat-ubatannya datangnya dari negara-negara Arab. Semua kata-kata pengubatan atau jampi-jampinya adalah dalam bahasa Arab (tidak diceritakan pula adakah jampi-jampi itu berasal dari al-Quran yang mulia). Kemudian ditemui pula satu manuskrip yang berisi pengakuan dari Nostradamus sendiri yang menceritakan kisah hidupnya, di antaranya terdapat rahsia yang amat besar ertinya kepada kita umat Islam; Nostradamus telah mengaku bahawa datuknya telah mencuri sejumlah manuskrip Baitulmaqdis dan turut juga terlibat bapanya melarikan manuskrip-manuskrip yang sangat berharga dari Baghdad, Mesir dan negara-negara Arab yang lain, dan mereka pun berhijrah ke Perancis (perlu diingatkan bahawa Nostradamus berketurunan Yahudi dan keluarganya berasal dari Jerusalem (BaitulMaqdis) dan datuknya berkawan rapat dengan orang-orang Arab di sana) dan semua rahsia sulit ini diajarkan kepada Nostradamus selaku cucu dan anak mereka, kesemuanya di dalam BAHASA ARAB! Jadi apalah hendak dihairankan dengan semua ramalan Nostradamus ini, jika akhirnya ia berbalik juga kepada sumber Islam yang kita selaku umat Islam telah pun tahu bahawa ia adalah kebenaran.

Tidak timbul soal ramalan-ramalannya menjadi benar kerana ia bersumber dari kata-kata nabi yang sememangnya benar!Jika anda ingin tahu lebih lanjut, pergilah ke kedai-kedai buku dan cuba hayati ramalan Nostradamus ini, anda akan temui beberapa ramalan akhir zaman yang menyerupai dengan apa yang kita dengar sebelum ini; dari ustaz mahupun ustazah, dari kitab hadis mahupun ceramah-ceramah agama. Terdapat beberapa kuatrain yang menceritakan penaklukan Islam ke atas negara-negara Barat yang diketuai oleh seorang penakluk yang agung!Yang saya hairankan buku puisi Nostradamus ini semuanya diterbitkan atau diimport dari Barat (ketika itu saya membacanya di kedai buku Popular) dan ditulis dalam bahasa Inggeris yang fasih; di dalam terjemahan dari kuatrain Nostradamus yang ditulis dalam bahasa Perancis, terang-terang terjemahan Inggeris itu menyatakan bahawa tentera Islam akan menakluk dunia, walaupun di dalam kuatrain itu tidak dituliskan perkataan Islam atau Arab!Mereka sudah tahu akan hal ini namun masih angkuh dan ego dan tetap mahu mengubah sejarah.

Dan kita selaku umat Islam. Saya masih sedih dengan segilintir umat Islam yang tidak mengambil peduli langsung tentang hadis-hadis nabi malah al-Quran yang agung. Bukan sahaja tidak mempedulikan langsung, malah ada juga yang tergamak berangan-rangan mahu keluar dari Islam (di antaranya di atas nama CINTA suci..huhu..) Orang-orang Barat berlumba-lumba mengkaji hadis dan manuskrip-manuskrip berharga dari dunia Islam. Malah mereka juga semestinya wajib mengkaji al-Quran yang penuh rahsia dan hikmah, di mana sejak kebelakangan ini al-Quran menjadi medium paling saintifik kerana membicarakan tentang Big Bang, Nebula, awan-awan hidrogen mahupun daya-daya nuklear. Di mana?Terdapat banyak sumber jika anda ingin cari dan insya Allah saya akan ungkapkan juga dalam artikel-artikel saya yang akan datang. Cukuplah surah al-Anbiya' yang menceritakan tentang Big Bang. Dan Surah Yasin yang kita baca setiap malam Khamis, majlis kematian ataupun majlis-majlis lain tu sebenarnya ada mengungkap perihal bananapi petroleum!

Ada kisah tentang seorang menteri berbangsa India (opps maaf, harapnya ini bukan kenyataan berbau sentimen perkauman, cuma kesedaran untuk umat Islam) yang saya tidak boleh sebutkan namanya dan kawasan parlimennya, beliau telah membuat satu lawatan ke satu kawasan di mana beliau telah memberikan ucapannya. Di dalam ucapannya beliau telah menyentuh tentang al-Quran yang tidak ada ada dalamnya perihal jalan raya, lampu jalan mahupun jambatan!!Saya tidak pasti bagaimana mulanya ucapan beliau itu, mungkin mahu menangkis kenyataan-kenyataan dari satu parti orang-orang Melayu yang berorientasikan Islamik. Namun yang sedihnya, orang-orang Melayu disitu yang semestinya beragama Islam terangguk-angguk tersenyum atau ketawa dengan 'jenaka' yang ditimbulkan oleh menteri tersebut. Jika menteri itu tahu (atau sengaja buat tak tahu) atau orang-orang Melayu Islam di situ tahu akan betapa agung, hebat, tepat dan besarnya al-Quran sebagaimana sebahagian sarjana Timur mahupun Barat mengagumi dan membenarkannya, sudah tentu ucapan, senyum mahupun ketawa bodoh yang tersangat cetek tahap pemikiran sebegitu tidak berlaku.

Tetapi biasalah, dunia ini penuh dengan politik....

SUMBER:http://mistisfiles.blogspot.com

Sunday, December 27, 2009

Indahnya dunia makhluk biru



SELEPAS menjalankan produksi selama empat tahun, Avatar, sebuah karya sarat dengan kesan khas generasi baru menawarkan revolusi teknologi membuatkan ia menjadi sebuah naskhah hebat dan indah di layar perak.

Ia mengambil latar belakang tahun 2154 di mana manusia memasuki planet makhluk asing bernama Pandora untuk mendapatkan galian unobtainium yang berharga jutaan dolar sekilogram. Namun, pencerobohan itu tidaklah mudah kerana syarikat korporat yang membuat penerokaan ke Pandora itu perlu berunding dengan makhluk pribumi di situ.

Ini kerana galian unobtainium yang berharga itu lebih banyak terdapat di bawah sebuah pohon raksasa yang menjadi tempat tinggal puak asli bernama Na'vi.


JAKE SULLY akhirnya jatuh cinta kepada Nyetiri dan dunia Pandora.

Syarikat tersebut turut menjalankan kajian dan eksperimen diketuai Dr. Grace yang berjaya menghasilkan klon tubuh orang Na'vi melalui program yang dinamakan Avatar.

Ketika itu seorang bekas tentera laut yang lumpuh, Jake Sully mendapat peluang mengemudi Avatar selepas adik kembarnya yang merupakan salah seorang saintis di bawah Dr. Grace mati dalam satu kejadian jenayah di bumi.

Jake terpilih kerana Avatar adik kembarnya itu hanya boleh dihidupkan oleh individu yang mempunyai genetik yang sama.

Pada awalnya Jake hanya ditugaskan sebagai pembantu keselamatan dalam operasi di Pandora, sebelum dia tiba-tiba sesat dan hampir dibunuh seorang gadis Na'vi, Nyetiri.


NYETIRI gadis puak Na'vi yang menjadi tonggak perjuangan mempertahankan hutan Pandora.

Diterima dalam puak Na'vi, misi Jake kemudian ditukar untuk memujuk puak Na'vi. Mempunyai masa tiga bulan bagaimanapun Jake akhirnya bukan sahaja jatuh cinta dengan kehijauan Pandora yang indah tetapi juga terpaut hati dengan Nyetiri.

Selepas itu, Jake berjuang habis-habisan untuk mempertahankan hutan Pandora daripada ditarah syarikat korporat. Akhirnya dengan menjadi Turok Macto iaitu penunggang sejenis haiwan yang paling digeruni di Pandora, Jake berjaya mengumpulkan ribuan orang Asli untuk berjuang mempertahankan planet itu.

Mencipta Pandora

Memandangkan Pandora menjadi lokasi utama filem ini, setiap benda atau manusia telah dilakar terlebih dahulu. Pandora bagi pengarahnya, James Cameron ialah Garden of Eden yang mempunyai 'gigi' dan 'kuku tajam'.

Pasukan pereka mengambil masa dua tahun untuk mereka cipta sebelum memulakan penggambaran filem. James telah memilih pereka kelas A untuk mencipta setiap watak, makhluk, tumbuh-tumbuhan, kostum, senjata, kenderaan serta yang utama persekitaran Pandora.

Mereka mencipta bukan satu budaya tetapi dua - koloni manusia yang berteknologi tinggi dan masyarakat Na'vi yang hidup dalam hutan. Seperti yang dilakukan ke atas Na'vi, Pandora dicipta dengan eksotik serta klasik.


MAMPUKAH Avatar menyaingi kehebatan Titanic?

"Kami tidak mahu manusia serta flora yang boleh didapati di muka bumi tetapi pada masa yang sama ia dekat dengan hati penonton. Pokok dengan ketinggian lebih 300 meter dan gunung yang seakan-akan terapung adalah antara rekaan ikonik menjangkaui pemikiran manusia biasa tetapi pada masa yang sama tidak terlalu asing," katanya James.

Menilai Avatar sememangnya ramai yang memuji kehebatan filem itu. Walaupun hakikatnya jika dibuang dunia Pandora dan digantikan dengan Bumi ia tidak lebih sekadar perjuangan orang Asli, orang kampung atau pencinta alam yang mahu menyelamatkan hutan. Namun imaginasi James menyebabkan Avatar berakhir dengan sebuah kisah luar biasa.

Filem itu mengambil durasi dua jam 43 minit, namun dalam satu bahagian di mana James memperkenalkan dunia Pandora, ia agak panjang dan mendatar membuatkan kita seperti sedang menonton sebuah dokumentari.


PENGGAMBARAN filem ini dijalankan di Los Angeles dan New Zealand selama dua bulan.

Mujur panorama Pandora begitu indah dan berjaya menyingkir sedikit rasa bosan. Hanya selepas timbul konflik dan peperangan puak Na'vi dengan tentera syarikat korporat, dinamik Avatar kembali memuncak.

Pujian seharusnya diberikan kepada pelakon Zoe Saldana yang memegang watak Nyetiri kerana berjaya mempamerkan pergerakan tubuh dan mimik muka yang sangat berkesan.

Tidak dapat lari daripada stereotaip bahawa kemenangan akan sentiasa berpihak kepada mereka yang ditindas dan baik, namun mesej hijau James menjadi satu lagi token menambahkan pujian buat Avatar.

Biarpun ada yang menyatakan 2012 adalah filem blockbuster wajib tonton tahun ini, hakikatnya Avatar juga seharusnya berada dalam catatan diari hujung tahun anda.

Sudah ramai yang jatuh cinta dengan keindahan Avatar, bagaimana pula dengan anda?


MERENTAS GALAKSI


"berbalam-balam pada halaju yang tak bisa ku kejari dia pada frekuensi yang tak tercapai maksud cinta"

-ritzail
sajak Kaki Langit
E-sastera.com




Adakah mungkin untuk menyeberangi ruang yang teramat luas; menyeberangi jarak-jarak pengembaraan antarabintang tanpa memiliki sekurang-kurangnya kelajuan cahaya?
Bagaimana anda dapat menyeberangi jarak di antara dua titik di mana memiliki nilai berjuta-juta kilometer dan dikira dalam bentuk tahun cahaya; dengan masa yang munasabah dan cara yang ekonomik?

Sekarang cuba anda bayangkan, bahawa kelajuan cahaya adalah 186000 batu sesaat, yang mana ditukarkan secara kasarnya kepada 669 juta batu sejam. Sebagai perbandingan, Proxima Centauri iaitu sistem bintang yang paling terdekat dengan kita akan mengambil masa 4 tahun cahaya untuk mencapainya jika anda membuat perjalanan dengan kelajuan cahaya, yang mana kita tidaklah mampu. Sebagai contoh,satu dari prob Pioneer telah meninggalkan sistem solar kita dan menuju ke arah Proxima Centauri dan tidak akan dapat berada di sana sehingga selepas tahun 28000 Masihi! Jadi anda sudah faham maksud kami? Inilah dia topik yang ingin dibincangkan di dalam artikel ini.Jadi sehingga sekarang, ketika kita telah menguji keperluan untuk mengembara di dalam jarak sebegini, kita perlu menimbangkan masalah-masalah yang timbul apabila membuat perjalanan dalam kelajuan mendekati kelajuan cahaya. Masalah-masalah itu sepertilah tenaga penggerak, sistem pemanduan, bahan api dan apa saja yang anda boleh bayangkan akan memberi kesan kepada kenderaan hatta kepada diri kita apabila memecut di dalam kelajuan cahaya dan membelah ruang masa, yang mana termasuklah 'pembesaran masa', peningkatan jisim, panjang penyusutan dan seluruh perubahan yang lain, yang menyaksikan membuat perjalanan seperti ini memerlukan satu tahap teknologi yang manusia hari ini belum lagi dapat mencapainya. Hakikatnya membuat perjalanan seperti ini memerlukan teknologi yang teramat-amat canggih, diluar kemampuan manusia pada hari ini, bahkan tiada apa yang dapat dilakukan jika kita mampu, sekalipun, mengembara sepantas cahaya.

Kita tahu yang jarak terdekat di antara dua titik adalah garis lurus, jadi di dalam dunia kita ini bolehlah kita menganggap cara yang paling pantas untuk pergi dari titik A ke titik B adalah dengan berjalan sepantas cahaya dalam garisan lurus di antara dua titik itu. Jika jarak titik A ke titik B adalah dari Bumi ke matahari, mungkin kita boleh sampai ke matahari dalam beberapa saat sahaja apatah lagi jika kita mahu balik kampung dari Kuala Lumpur ke Tapah; sebagai contoh. Tetapi bayangkan jika jarak A dan B tadi adalah sejauh Bumi ke galaksi lain yang mengambil jarak berdekalion-dekalion kilometer!Inilah masalah yang ditimbulkan di atas tadi. Jadi bagaimana? Mustahil? Sebenarnya, terdapat satu cara lain dimana kita dapat pergi diantara kedua titik itu, malah lebih pantas lagi!

Apabila anda berurusan dengan ruang masa dan anda memiliki kemampuan untuk menjana medan graviti yang kuat, cara yang terpantas untuk pergi dari titik A ke titik B ialah dengan menyimpang atau membengkok atau melengkungkan seterusnya memampatkan ruang masa antara kedua titik tadi; membawa kedua titik tadi lebih dekat bersama. Teorinya, lebih kuat medan graviti yang anda jana, lebih besar pembengkokan dan pemampatan ruang masa seterusnya lebih dekat pula jarak kedua-dua titik itu!

Banyak di antara kita memikirkan ruang masa adalah kosong ataupun tidak mengandungi apa-apa material tetapi ingat, ia tidaklah terlalu lama apabila manusia menimbangkan udara di dalam atmosfera adalah kosong atau hampa belaka. Lama kelamaan kita mulai sedar tentang komponen dan sifat-sifat yang ujud di dalam atmosfera kita. Sesungguhnya, ruang masa adalah satu entiti di mana satu daripada sifatnya ialah ia dapat dibengkok atau dilengkungkan oleh medan graviti.

Kita tahu yang graviti membengkok/melengkungkan ruang dan cahaya berdasarkan fakta yang kita mampu untuk melihat bintang-bintang yang mana kita tahu ia dihalang dari pandangan kita oleh saiz matahari. Kita menggunakan radio dan teleskop optikal untuk memetakan bintang-bintang dan jasad-jasad langit yang lain ketika bumi mengorbit mengelilingi matahari, jadi kita tahu dimana jasad-jasad langit ini berada. Ketika matahari berada di antara kita dan bintang, banyak kali para pengkaji melihat bintang-bintang ini berada di posisi berlainan.
Kita tahu yang graviti melengkungkan masa dengan fakta yang apabila kita meletakkan dua alat (biasanya jam atom yang paling tepat) yang mana dapat mengukur variasi minit dalam sesuatu masa, dan kita letakkan satu di suatu tempat pada paras laut dan satu lagi pada tempat yang mempunyai altitud yang tinggi sebagai contoh gunung Kinabalu, dan apabila kita membandingkan kedua-duanya, di sana menunjukkan masa-masa yang berbeza!Perbezaan dalam bacaan masa ini disebabkan fakta bahawa medan graviti adalah lemah apabila semakin jauh dari puncanya, dimana dalam kes ini punca graviti adalah bumi. Jadi jam atom yang diletakkan di gunung Kinabalu terdedah kepada kuasa graviti yang kurang berbanding jam atom yang di letakkan di paras laut. Jam atom biasanya digunakan untuk ujikaji ini dan jam atom yang terkini dikatakan tidak merubah lebih daripada 1 saat di dalam setiap 1 juta tahun!Betapa unggul dan tepat, sekadar untuk kita berfikir. Jadi, kesan medan graviti pada ruangmasa adalah sesuatu yang kita telah pun saksikan tetapi tidak bereksperimen dengannya. Ini adalah kerana kita tidak mampu menjana walau satu pun medan graviti sendiri (dengan selama ini dimanjakan dengan graviti bumi).

Sehingga sekarang ini, jisim-jisim besar seperti sebutir bintang, planet atau bulan menjadi punca yang terhad untuk menyedari kehadiran medan graviti. Oleh itu, sebagaimana medan graviti yang mengelilingi jisim-jisim besar seperti planet, bintang dan lainnya akan melengkungkan ruangmasa, apa saja medan graviti, sama ada secara semula jadinya wujud atau dijana, akan melengkungkan ruangmasa di dalam cara yang sama. Ini dapat dibuat dengan menjana satu medan graviti yang kuat dan menggunakan medan ini untuk membengkok/melengkungkan ruangmasa, membawa dari punca medan ke sesuatu destinasi dan membenarkan anda melintasi bertahun-tahun cahaya jarak ruangmasa dalam masa yang singkat dan sudah pasti tidak payah memecut sepantas-pantasnya seperti cahaya!Menariknya, anda bukan sahaja boleh menghidupkan ruang perjalanan luarbiasa ini malah boleh mematikan (ON/OFF) sepertimana jika anda mahu menjana atau tidak sesuatu medan itu. Kita boleh melengkung/membengkuk ruangmasa dan berada sesuatu jarak di antara dua titik dimana kita berada dan titik destinasi. Kemudian kita boleh meletakkan posisi kita di mana-mana yang kita mahu dan berhenti menjana medan graviti...membenarkan ruangmasa berada dalam bentuknya yang asal. Berdasarkan cara ini, kita dapat mengembara pada jarak-jarak yang tersangat jauh dengan sedikit pergerakan linear dan ini adalah bagaimana pembengkokkan ruangmasa dapat memendekkan jarak. Sehingga setakat ini, kami menggunakan istilah 'menjana' untuk menerangkan kemampuan untuk menghasilkan medan graviti, tetapi apabila kami tidak sedar apa jua cara untuk mencipta medan graviti daripada tiada, istilah yang lebih tepat ialah 'mencapai dan menguatkan' satu medan graviti. Dan ini adalah apa yang saya maksudkan apabila menggunakan istilah 'menjana'. Untuk memahami bagaimana graviti dijana atau 'dicapai dan dikuatkan', anda mesti tahu dahulu apakah dia graviti sebenarnya. Di sana terdapat dua teori utama berkaitan graviti. Teori Gelombang yang mana menyatakan graviti adalah sejenis gelombang dan teori yang lain adalah satu teori yang menyatakan penglibatan 'graviton', iaitu partikel sub-atom yang membentuk graviti, yang mana seakan-akan tidak masuk akal. Fakta yang menyatakan graviti adalah gelombang disebabkan saintis arus perdana menduga banyak partikel sub-atom yang tidak benar-benar wujud dan ini disebabkan kepayahan dan kekeliruan yang besar di dalam pengajian fizik partikel. Walau apapun, graviti adalah gelombang dan di sana ada dua jenis graviti. Omniplytikphening2lalat dan zcherritukulyntahapaapantah, hahahaha!Maafkan kami,sekadar gurauan untuk menghilang tekanan. Sebenarnya mudah saja. Graviti A dan Graviti B.

Graviti A bekerja di dalam skala kecil atau skala mikro. Manakala graviti B pula dalam skala besar. Kita sudah biasa dengan graviti B, yang mana ia adalah graviti yang membuatkan kita melekat ke bumi, membuatkan planet-planet mengorbit matahari dan satelit manusia mengorbit bumi. Kita tidak begitu biasa dengan graviti A. Ia adalah satu gelombang graviti kecil yang mana menjadi penyumbang besar dalam daya yang melekatkan 'jisim' yang membentuk semua proton dan neutron.

Anda mesti ada sekurang-kurangnya satu atom bahan untuk menjadi apa yang dikatakan sebagai 'benda'. Sekurang-kurangnya satu proton dan satu elektron dan satu neutron. Apa saja sub-atom seperti upquark dan downquark yang mana membentuk proton dan neutron atau proton-proton atau neutron-neutron atau elektron-elektron...huh...secara individunya bolehlah dipertimbangkan sebagai jisim dan belum lagi sebagai benda sehingga mereka membentuk satu atom. Jadi, itulah mengapa kami katakan yang graviti A memegang bersama 'jisim' atau 'bahan' yang membentuk proton dan neutron. Sekali saja satu atom terbentuk, daya elektromagnet juga satu faktor yang kukuh.

Graviti A adalah apa yang dilabel sebagai 'daya nuklear kuat' di dalam dunia Fizik semasa dan graviti A adalah gelombang yang anda perlukan untuk 'mencapai dan menguat' bagi membolehkan anda menyebabkan ruangmasa membengkok/melengkung sebagai keperluan perjalanan superjauh antarabintang. Untuk lebih jelas, ingat bahawa graviti A bekerja pada skala 'A"tomik atau sebenarnya sub'A'tomik dan graviti B adalah gelombang graviti 'B'esar yang bekerja pada jasad-jasad besar. Walau bagaimanapun, jangan membuat kesilapan pada anggapan saiz gelombang dengan kekuatannya, kerana graviti A adalah lebih kuat dayanya daripada graviti B. Anda dapat memecahkan graviti B dengan mudah dengam melompat-lompat terkinja-kinja seperti beruk dapat bunga. Huhuhu...jadi ini bukanlah satu medan graviti yang kuat.

Mencari graviti A tidak menjadi masalah kerana ia dapat ditemui di dalam nukleus setiap atom dari setiap benda dalam dunia ini, baju yang anda pakai, seluar, handphone baru anda, komputer ini, nasi goreng di dalam perut anda, apa saja, malah kucing anda sekalipun mempunyai sumber graviti A ini untuk memungkinkan perjalanan antarabintang anda. Akan tetapi...tetapi lagi...ya tetapi, mencapai graviti A di dalam element semulajadi di bumi adalah satu MASALAH yang BESAR. Serta, secara faktanya, kami tidak sedar terhadap apa saja jalan untuk mencapai gelombang graviti A menggunakan apa saja element-element di bumi, sama ada secara semulajadi atau secara sintesis dan disini mengapa...kita telahpun belajar bahawa graviti A adalah daya yang besar, yang memegang bersama jisim yang membentuk proton dan neutron dan partikel sub-atom yang lain. Ini bermakna yang graviti A dimana kita cuba untuk mencapainya adalah sebenarnya tidak boleh dicapai kerana ia terletak di dalam benda, atau sekurang-kurangnya di dalam benda di dalam dunia kita hari ini.

Huhuhu...adakah impian kita untuk melancong ke galaksi Andromeda (sebagai contoh) terkubur? Nanti dulu...bumi bukanlah mewakili apa jua benda dalam semesta raya ini. Zat yang berbaki selepas penciptaan satu sistem solar adalah bergantung kepada penyumbangan faktor-faktor yang hadir ketika penciptaan sistem solar. Ini adalah benar sama ada anda percaya yang asal-usul alam semesta adalah satu situasi evolusi atau disebabkan satu kuasa lain (Tuhan sebagai contoh). Dua faktor penting yang mana menentukan apa jua zat berbaki selepas penciptaan suatu sistem solar: jumlah tenaga elektromagnet dan jumlah jisim semasa ketika penciptaan sistem solar. Sistem solar kita mempunyai satu bintang, ia adalah matahari. Tetapi majoriti sistem solar di dalam galaksi bimasakti kita adalah berpasangan dan sistem bintang yang berganda-ganda yang mana memiliki lebih dari satu matahari.

Secara faktanya, banyak sistem solar tunggal mempunyai bintang-bintang yang lebih besar dari matahari kita. Dan ingat, ia seharusnya ternyata memang besar, sistem bintang tunggal, sistem bintang berpasangan atau sistem bintang berganda mempunyai lebih dari jisim yang diperlukan dan tenaga elektromagnet semasa ketika penciptaannya. Saintis mempunyai teori yang berjela-jela di mana di sana mempunyai potensi kombinasi proton-proton dan neutron-neutron yang mana menyediakan element yang stabil dengan nombor atom yang amat besar daripada apa yang muncul dalam Jadual Berkala kita, walaupun tidak satu pun element-element berat ini terjadi secara semulajadi di dalam bumi. Sesetengah element lebih berat daripada uranium terjadi di dalam bumi di dalam jumlah yang dapat dikira, tetapi untuk bahagian yang besar, saintis mensintesis element berat ini di dalam makmal. Secara amnya, kestabilan element sistesis ini, element berat ini, berkurang sebagaimana nombor atom mereka bertambah. Walau bagaimanapun, ujikaji makmal untuk kajian ion berat di Jerman menunjukkan ini adalah benar pada titik tertentu sebagai separuh hayat untuk element 109 lebih lama dari element 108. Ini menunjukkan yang mereka mungkin menjadi satu kehadiran 'pulau kestabilan' dalam Jadual Berkala. Hujahnya ialah fakta yang pemerhatian dan teori kita adalah tepat dan fakta yang mana element stabil yang lebih berat dengan nombor atom lebih besar, lebih banyak proton, neutron dan elektron daripada apa jua element bumi yang wujud.

Sehingga setakat ini dalam sejarah, tiada saksi fizikal untuk membuktikan ini...kecuali beberapa organisasi rahsia dan operasi sulit beberapa negara.

Hubungan yang paling penting bagi element stabil dan lebih berat ini adalah gelombang graviti A amat melimpah-ruah di mana sebenarnya melebar melepasi perimeter atom tersebut. Element ini mempunyai graviti A nya yang tersendiri meliputi sekelilingnya, sebagai tambahan kepada gravity B yang sememangnya meliputi setiap benda. Tiada atom yang terjadi secara semulajadi di bumi mempunyai cukup proton dan neutron setakat ini untuk tumpukan graviti A melepasi perimeter atom jadi kita dapat mencapai ia. Walaupun jarak gelombang gravity A melepasi perimeter sesuatu atom adalah tidak terbatas, ia boleh dicapai dan mempunyai amplitud, panjang gelombang dan frekuensi, sama seperti gelombang-gelombang yang lain contohnya ombak di Pantai Cinta Berahi (opps..Pantai Cahaya Bulan...sudah tukar daa) atau lebih tepat di dalam spektrum elektromagnetik. Sekali anda dapat mencapai/mengakses gelombang graviti A, anda akan dapat menguatnya sama seperti gelombang elektromagnet yang lain.

Dan apa yang dikatakan oleh Albert Einstein tentang kelajuan cahaya tidak semestinya betul.


"bukan di luarmu
tetapi mereka di dalam mindamu"

-ritzail
sajak Relativiti
E-sastera.com

SUMBER:http://mistisfiles.blogspot.com

Thursday, December 24, 2009


Hubungan kelamin ketika isteri hamil



DOKTOR SAKIT TUAN bersama Dr.Ismail Thamby

JIKA anda menghadapi masalah kesihatan berkaitan perkara sulit yang sukar diselesaikan, Pakar Sakit Tuan, Dr Ismail Thamby sedia membantu. Hantarkan masalah anda lengkap dengan nama, alamat penuh dan nombor telefon kepada :

Pengelola Ruangan Sakit Tuan, Harian Metro, 31, Balai Berita Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur.
Faksimili:03-22848390
E-mel: sakittuan@hmetro.com.my


SOALAN

SAYA mendirikan rumah tangga enam bulan lalu dan kini isteri saya disahkan hamil dua bulan. Soalan saya, bolehkah kami melakukan hubungan kelamin untuk hari seterusnya? Apakah kesan yang timbul nanti?, terutama jika saya melepaskan air mani ke dalam farajnya?


EZAM
Sungai Buloh


JAWAPAN


Tahniah kerana isteri anda berbadan dua dalam masa yang cepat. Anda perlu tahu yang kehamilan itu biasa dan wanita yang hamil tidak perlu buat apa-apa perkara khusus semata-mata untuk menjaga kehamilannya.

Anda boleh melakukannya mengikut keselesaan isteri. Jika berlaku pendarahan atau tompok coklat keluar daripada faraj, itu petanda gangguan kepada janin dan anda perlu berhenti melakukan hubungan kelamin untuk sementara waktu dan meneruskannya selepas doktor sahkan janin dalam kandungan itu selamat.

Anda perlu bawa isteri ke klinik atau hospital untuk menjalani pemeriksaan. Sebenarnya ia jarang berlaku dan tidak semua suami tahu cara mengendalikannya.

Pernah terdengar suami tidak bertimbang rasa yang masih melakukan hubungan seks dengan isteri walaupun isteri ada tanda coklat atau darah keluar dari faraj selepas melakukan seks.

Ada juga isteri yang kesudahannya mengalami pendarahan yang banyak dan mengalami keguguran janin. Seperti yang saya nyatakan tadi, ini jarang berlaku.

Anda boleh melakukan hubungan seks sampai isteri sarat melahirkan bayi dan itu pun ikut keadaan kesihatannya dan juga keselesaannya!

Wednesday, December 23, 2009

Dulu pemandu trak, kini pengarah agung

Selepas Titanic mencipta fenomena luar biasa, nama James Cameron tidak pernah lekang daripada ingati oleh sesiapa sahaja yang mencintai dunia perfileman. Hari ini James menambah satu lagi koleksi filem luar biasa air tangannya berjudul Avatar.




LEBIH sedekad lalu, pengarah terkenal, James Cameron mencipta sejarah dengan pembikinan filem paling berjaya dari segi kutipan sepanjang zaman, Titanic. Tahun 2009, pengarah berusia 55 tahun itu menutup tirai dengan sebuah lagi karya agung yang bakal melakar momen tersendiri, Avatar.

James sebenarnya mula membenih impian untuk menghasilkan filem itu 15 tahun lalu tetapi visinya terlalu sukar untuk dicapai ketika itu. Dia telah menulis skrip Avatar sebanyak 114 muka surat pada tahun 1994 dengan menggunakan inspirasi daripada setiap buku sains fiksyen yang dibacanya semasa kecil.

Pada Ogos 1996, selepas James menghabiskan penggambaran Titanic, dia mengumumkan permulaan produksi Avatar yang sepatutnya siap pada 1999. Ini kerana sejak 1995 lagi, pengarah itu telah meramalkan kecanggihan CGI pada masa akan datang. Itu yang membuatkan dia begitu bervisi untuk menulis Avatar.

Cuma apabila pendekatan itu diluahkan oleh James kepada pakar CGI, dia sedar teknologi yang diperlukan masih terlalu jauh untuk direalisasikan. Maka, projek itu dihentikan selama 10 tahun ditambah dengan bajet AS$400 juta (RM1.4 bilion), tiada studio filem yang mahu menajanya.

Kini dengan kos AS$237 juta (RM814 juta), filem cereka pertama James selepas Titanic (1997) itu membuktikan segala kritikan pengamal media serta filem adalah salah. Hanya beberapa hari selepas ditayangkan kepada dunia, Avatar yang merupakan filem termahal setakat ini berjaya mengutip AS$242 (RM830 juta) di seluruh dunia (sehingga 21 Disember 2009).


JAMES bersama Gabenor California, Arnold Schwarzenegger dan aktres, Sigourney Wearer di Hollywood Walk Of Fame.


"Avatar merupakan filem paling mencabar pernah saya hasilkan. Saya mahu menghasilkan pengembaraan isu yang sama tetapi pada persekitaran yang tidak pernah diterokai, satu dunia asing. Telah lama saya mengidamkan filem sebegini yang menawarkan elemen bahaya dalam keindahan.

"Sejak di bangku sekolah lagi saya suka melukis makhluk asing semasa kelas Matematik. Dengan Avatar, akhirnya saya mendapat peluang," jelas James yang mahu menghasilkan dua sekuel jika percubaan pertama ini berjaya.

Siapa sangka pelajar dalam jurusan Fizik dan Inggeris itu akan mengecapi kejayaan seperti hari ini. Tidak menghabiskan pengajian tinggi di Kolej Fullerton, Kanada, James turut pernah bekerja sebagai pemandu trak.

Pada masa lapang, dia banyak menggunakan masa untuk menulis. Hanya selepas menyaksikan filem Star Wars pada tahun 1977, James membuat keputusan untuk berhenti memandu trak untuk menembusi dunia perfileman.

"Ramai orang menimba ilmu di sekolah perfileman tetapi saya bekerja sebagai mekanik dan pemandu trak. Saya merupakan penonton filem yang bertuah untuk beranjak ke sisi lain untuk membikin filem," kata James.

Tidak seperti pengarah lain yang kerap bekerja, James sepanjang kariernya yang sudah menghampiri tiga dekad hanya mempunyai lapan filem cereka komersial. Namun, filem Titanic yang pada mulanya dikritik tidak akan berjaya telah meletakkan James di mata dunia selain memenangi 11 anugerah Academy pada tahun 1998.

Mendiamkan diri selama 12 tahun tanpa sebarang projek, James suka menghadiahkan hasil yang difikirkan mustahil oleh kebanyakan orang. "Ramai yang berkata karier perfileman adalah seperti membunuh diri.


HOS Josh Horowitz ketika menemubual James, Zoe dan Sam mengenai filem terbaru mereka, Avatar dalam sebuah rancangan di California.


"Jika filem pertama anda bagus, mereka akan menghargai filem seterusnya. Jika ia tidak diterima ramai, filem anda akan dibandingkan. Tapi saya membikin filem kerana saya suka melihat hasil kerja sendiri."

Karya pertama tulisan James adalah Xenogenesis (1978) yang mempunyai durasi 10 minit. Bersama kawannya, mereka mengumpul wang untuk menyewa kamera, lensa, studio dan filem untuk memulakan penggambaran.

"Saya tidak mempunyai sebarang ilmu dalam filem. Saya bersama kawan saya telah menghabiskan setengah hari hanya untuk mempelajari bagaimana kamera berfungsi," tambah James.

Banyak mempelajari menerusi produksi berbajet rendah, James akhirnya berpeluang untuk menjadi pengarah seni dalam filem sains fiksyen, Battle Beyond the Stars (1980).

Peluang untuk James menyinar datang semasa dia diupah untuk menjadi pengarah kesan khas filem Piranha II: The Spawning (1981). "Pengarah filem itu meninggalkan projek tersebut dan penerbitnya telah mengupah saya untuk menjadi pengarah buat kali pertama.

"Filem itu diterbitkan di Jamaica tetapi kemudian saya sedar bahawa situasi kewangan produksi itu tidak stabil. Ketika itu, saya mempunyai mimpi ngeri mengenai satu robot yang dihantar ke masa depan untuk membunuh saya. Dari situlah saya mendapat idea untuk filem pertama saya, The Terminator (1984)."

Kejayaan filem pertamanya telah meyakinkan pengarah itu untuk terus mencuba terutama dalam membikin filem eksperimental efek khas. James juga terkenal sebagai pengarah yang mengutamakan kesempurnaan.

Sifatnya itu turut dibenci dan digeruni ramai pihak terutama pelakon yang pernah bekerjasama dengannya. Malah Kate Winslet sendiri telah membuat keputusan untuk tidak bekerja di bawah pimpinan James.

Akui Kate: "James seorang lelaki yang baik tetapi panas baran. Saya tidak akan bekerja dengannya lagi kecuali filem itu menjanjikan keuntungan besar."

Ramai pihak termasuk studio filem takut untuk berganding dengan James kerana dia juga sering ketinggalan jauh daripada jadual dan menggunakan wang melebihi bajet.

Namun, tidak kira apa yang dikatakan oleh orang, James yang pernah mengarahkan dua dokumentari, Ghosts of the Abyss dan Aliens of the Deep serta beberapa siri TV termasuk Dark Angel dan Entourage mempunyai nilai harganya tersendiri.


JAMES gemar mencuba teknologi baru dalam filemnya. Kerana itu dia sanggup menunggu 10 tahun sebelum memulakan penggambaran Avatar.


"Saya mahu penonton berpuas hati dengan apa yang mereka saksikan. Saya berharap mereka akan keluar daripada pawagam dan berkata, 'Saya tidak menonton filem. Saya menyelami sebuah filem'," kata James yang baru dianugerahkan bintang di Hollywood Walk of Fame baru-baru ini.

Revolusi efek khas

Dalam filem Titanic, James menggunakan efek khas untuk membuatkan audiens berasa seperti sebahagian daripada sejarah. Avatar pula menggunakan teknologi baru untuk mengangkut penonton ke masa depan dalam dunia berbeza.

Merangkumi 40 peratus pergerakan pelakon sebenar dan 60 peratus CGI foto-realistik, Avatar dibintangi Sam Worthington, Zoe Saldana, Michelle Rodriguez dan Sigourney Weaver.




Dengan cara rakaman pergerakan pelakon, kesan yang dikehendaki mampu dicapai. Ia dapat menghasilkan fizikal puak Na'vi yang matanya dua kali ganda lebih besar berbanding manusia dan berkedudukan lebih jauh. Mereka lebih kurus, leher panjang, struktur tulang dan otot berbeza.

James kali ini juga tidak berminat untuk menggunakan bantuan solekan untuk mencipta spesies makhluk asing yang resipi ini telah digunakan sekian lama sejak tahun 1950-an. Penggunaan getah pada permukaan pelakon turut pernah diaplikasi tetapi ia membataskan persembahan aktor.

Selain daripada itu, mereka juga lebih tinggi berbanding manusia. Solekan biru juga tidak boleh menghasilkan kulit lutsinar yang bertindak seakan kulit manusia seperti CGI. James mahu menghasilkan makhluk asing yang mewakili abad ke-21.

"Bagi merakamkan imej baru menerusi persembahan muka, satu kamera kecil diperlukan untuk merakamkan pergerakan muka pelakon secara mendalam terutama pergerakan otot. Apa yang paling utama, kamera itu merakamkan pergerakan mata, satu teknologi yang tJames.

Teknik rakaman pergerakan yang digunakan oleh krew Avatar juga mampu meliputi enam kali ganda kawasan sekeliling berbanding rakaman biasa. Merakamkan sekumpulan kuda, babak pergaduhan anjing serta makhluk terbang, semuanya mempamerkan kecanggihan filem ini. Selain daripada itu, satu lagi inovasi yang dicipta khas untuk Avatar adalah kamera visual.

"Kamera ini membenarkan saya merakam seperti berada di studio bunyi Hollywood. Menerusi kamera itu, saya tidak akan melihat Zoe tetapi wataknya, Neytiri yang mempunyai ketinggian 10 kaki serta berkulit biru dan berekor. Saya juga tidak perlu menunggu berbulan-bulan lamanya untuk melihat hasil penggambaran untuk sebuah kawasan khatulistiwa Pandora," tambahnya yang dilahirkan di Kanada.


KESAN khas menjadi tunjang utama dalam filem-filem James namun apa yang ditawarkan oleh Avatar berjaya memukau ramai penontonnya.


Mungkin ada pihak yang keliru sama ada puak Na'vi dan Avatar itu adalah animasi. Sebenarnya anda tidak salah beranggapan sedemikian kerana ia adalah kombinasi pergerakan manusia serta animasi. Contohnya boleh dilihat menerusi pergerakan ekor dan telinga yang tidak boleh dilakukan oleh aktor sendiri.

"Pelakon ada bertanya sama ada kami akan cuba menggantikan mereka dengan animasi. Sebaliknya saya cuma untuk memperkayakan watak mereka. Kami mahu memberikan cara baru kepada mereka untuk meluahkan perasaan tanpa batasan.

"Apa yang cuba saya gantikan adalah masa lima jam di atas kerusi solek yang selalu digunakan untuk mencipta watak makhluk asing, serigala jadian, nenek kebayan dan banyak lagi. Kini anda boleh menjadi apa sahaja tanpa mengira usia atau jantina dan tidak memerlukan solekan kompleks," jelasnya mengenai filem yang turut dihasilkan dalam bentuk 3D.