Sunday, December 27, 2009

Indahnya dunia makhluk biru



SELEPAS menjalankan produksi selama empat tahun, Avatar, sebuah karya sarat dengan kesan khas generasi baru menawarkan revolusi teknologi membuatkan ia menjadi sebuah naskhah hebat dan indah di layar perak.

Ia mengambil latar belakang tahun 2154 di mana manusia memasuki planet makhluk asing bernama Pandora untuk mendapatkan galian unobtainium yang berharga jutaan dolar sekilogram. Namun, pencerobohan itu tidaklah mudah kerana syarikat korporat yang membuat penerokaan ke Pandora itu perlu berunding dengan makhluk pribumi di situ.

Ini kerana galian unobtainium yang berharga itu lebih banyak terdapat di bawah sebuah pohon raksasa yang menjadi tempat tinggal puak asli bernama Na'vi.


JAKE SULLY akhirnya jatuh cinta kepada Nyetiri dan dunia Pandora.

Syarikat tersebut turut menjalankan kajian dan eksperimen diketuai Dr. Grace yang berjaya menghasilkan klon tubuh orang Na'vi melalui program yang dinamakan Avatar.

Ketika itu seorang bekas tentera laut yang lumpuh, Jake Sully mendapat peluang mengemudi Avatar selepas adik kembarnya yang merupakan salah seorang saintis di bawah Dr. Grace mati dalam satu kejadian jenayah di bumi.

Jake terpilih kerana Avatar adik kembarnya itu hanya boleh dihidupkan oleh individu yang mempunyai genetik yang sama.

Pada awalnya Jake hanya ditugaskan sebagai pembantu keselamatan dalam operasi di Pandora, sebelum dia tiba-tiba sesat dan hampir dibunuh seorang gadis Na'vi, Nyetiri.


NYETIRI gadis puak Na'vi yang menjadi tonggak perjuangan mempertahankan hutan Pandora.

Diterima dalam puak Na'vi, misi Jake kemudian ditukar untuk memujuk puak Na'vi. Mempunyai masa tiga bulan bagaimanapun Jake akhirnya bukan sahaja jatuh cinta dengan kehijauan Pandora yang indah tetapi juga terpaut hati dengan Nyetiri.

Selepas itu, Jake berjuang habis-habisan untuk mempertahankan hutan Pandora daripada ditarah syarikat korporat. Akhirnya dengan menjadi Turok Macto iaitu penunggang sejenis haiwan yang paling digeruni di Pandora, Jake berjaya mengumpulkan ribuan orang Asli untuk berjuang mempertahankan planet itu.

Mencipta Pandora

Memandangkan Pandora menjadi lokasi utama filem ini, setiap benda atau manusia telah dilakar terlebih dahulu. Pandora bagi pengarahnya, James Cameron ialah Garden of Eden yang mempunyai 'gigi' dan 'kuku tajam'.

Pasukan pereka mengambil masa dua tahun untuk mereka cipta sebelum memulakan penggambaran filem. James telah memilih pereka kelas A untuk mencipta setiap watak, makhluk, tumbuh-tumbuhan, kostum, senjata, kenderaan serta yang utama persekitaran Pandora.

Mereka mencipta bukan satu budaya tetapi dua - koloni manusia yang berteknologi tinggi dan masyarakat Na'vi yang hidup dalam hutan. Seperti yang dilakukan ke atas Na'vi, Pandora dicipta dengan eksotik serta klasik.


MAMPUKAH Avatar menyaingi kehebatan Titanic?

"Kami tidak mahu manusia serta flora yang boleh didapati di muka bumi tetapi pada masa yang sama ia dekat dengan hati penonton. Pokok dengan ketinggian lebih 300 meter dan gunung yang seakan-akan terapung adalah antara rekaan ikonik menjangkaui pemikiran manusia biasa tetapi pada masa yang sama tidak terlalu asing," katanya James.

Menilai Avatar sememangnya ramai yang memuji kehebatan filem itu. Walaupun hakikatnya jika dibuang dunia Pandora dan digantikan dengan Bumi ia tidak lebih sekadar perjuangan orang Asli, orang kampung atau pencinta alam yang mahu menyelamatkan hutan. Namun imaginasi James menyebabkan Avatar berakhir dengan sebuah kisah luar biasa.

Filem itu mengambil durasi dua jam 43 minit, namun dalam satu bahagian di mana James memperkenalkan dunia Pandora, ia agak panjang dan mendatar membuatkan kita seperti sedang menonton sebuah dokumentari.


PENGGAMBARAN filem ini dijalankan di Los Angeles dan New Zealand selama dua bulan.

Mujur panorama Pandora begitu indah dan berjaya menyingkir sedikit rasa bosan. Hanya selepas timbul konflik dan peperangan puak Na'vi dengan tentera syarikat korporat, dinamik Avatar kembali memuncak.

Pujian seharusnya diberikan kepada pelakon Zoe Saldana yang memegang watak Nyetiri kerana berjaya mempamerkan pergerakan tubuh dan mimik muka yang sangat berkesan.

Tidak dapat lari daripada stereotaip bahawa kemenangan akan sentiasa berpihak kepada mereka yang ditindas dan baik, namun mesej hijau James menjadi satu lagi token menambahkan pujian buat Avatar.

Biarpun ada yang menyatakan 2012 adalah filem blockbuster wajib tonton tahun ini, hakikatnya Avatar juga seharusnya berada dalam catatan diari hujung tahun anda.

Sudah ramai yang jatuh cinta dengan keindahan Avatar, bagaimana pula dengan anda?

No comments:

Post a Comment