Wednesday, November 25, 2009


SEJARAH PETA AJAIB PIRI REIS


Pada tahun 1929, sekumpulan pengkaji sejarah telah membuat penyelidikan di istana Topkapi yang terletak di Konstantinopel, Turki. Di dalam istana itu, mereka telah menemui segulung peta yang berusia ratusan tahun, yang diperbuat dari kulit rusa berukuran 90 x 65 cm. Peta tersebut bertarikh Muharam 919 bersamaan 9 Mac-7 April 1513.

Di atas peta itu, mereka telah menemui beberapa perkara yang aneh dan menakjubkan. Peta tersebut memaparkan outline pantai Amerika Utara dan Selatan dengan pengukuran yang amat tepat. Peta itu juga memuatkan maklumat yang sangat terperinci mengenai Amerika, Lautan Atlantik, Eropah dan pantai-pantai Afrika yang belum dijelajah oleh penjelajah Eropah pada masanya! Satu lagi perkara yang menghairankan para pengkaji tersebut, ia juga memaparkan benua Antartika, padahal wilayah itu belum ditemukan hingga tahun 1818!

Mereka mengkaji lagi. Mereka membuat perbandingan antara jarak pantai timur Amerika dengan pantai barat Afrika pada peta kuno itu dengan jarak yang sama pada peta yang termoden sekali. Sekali lagi mereka tercengang!Sangat tepat dan ini mustahil dibuat oleh pelaut zaman itu kerana kelengkapan dan teknologi mereka umumnya diketahui sangat terhad untuk membuat kerja-kerja kartografi dan pemetaan. Adakah ini mencukupi untuk mengatakan peta kuno ini benar-benar menakjubkan? Tidak. Sebenarnya ada lagi perkara lain yang begitu aneh dan tersangat luar biasa. Tersangat luar biasa bagi sebuah peta kuno yang diperbuat dari kulit rusa.

Peta aneh tersebut ditunjukkan kepada Arlington T. Mallerey, seorang pakar peta kuno. Setelah beberapa lama membuat kajian, beliau akhirnya merasa bingung dengan peta aneh tersebut. Mengapa? Ini adalah kerana data geografi pada peta tersebut tidak berada dalam posisi yang tepat.

Orang-orang disekelilingnya mula 'lega' kerana akhirnya peta tersebut mempunyai kelemahannya. Sudah pasti ada kelemahan kerana peta itu dibuat oleh pelaut-pelaut kuno yang dikatakan hanya mengenal kompas dan bintang-bintang!Jadi apa nak dihairankan, walaupun mereka sedar persoalan bagaimana peta tersebut boleh memaparkan Antartika masih menjadi misteri. Tetapi Mallerey masih sangsi dengan peta itu. Beliau merasakan ada yang tidak kena dengan peta itu. Seakan-akan ada sesuatu yang lebih luar biasa yang ingin ditunjukkan oleh helaian kulit rusa yang berbau hamis itu.

Akhirnya dengan bantuan US Navy Hydrographic Bureau, Mallerey membuat sebuah grid dan memindahkan peta itu ke dalam sebuah glob. Betapa terkejutnya Mallerey karena peta tersebut ternyata sangat tepat!

Kajian demi kajian terus dilakukan ke atas peta yang menghairankan ramai cendekiawan itu.

Kajian lanjutan dilakukan oleh Professor Charles H Hapgood dan Richard W Strachan. Mereka telah mengkaji peta ini berkali-kali dan akhirnya menjumpai satu aspek yang tidak diketahui para pengkaji sebelum mereka. Suatu perkara yang benar-benar mustahil dan luar biasa. Mereka menemukan bahwa peta kuno itu kemungkinan merupakan gambar aerial yang difotokan dari suatu ketinggian tertentu. Sungai, lembah, pegunungan, pulau dan padang pasir, digambarkan dengan ketepatan fotografi yang amat tinggi. Dan tahap fotografi yang tinggi ini hanya dapat dicapai dengan menggunakan satelit!!

Siapakah yang membuat peta yang menakjubkan itu? Bagaimana beliau dapat membuat peta yang begitu tepat dan canggih, yang pada masa kini hanya dapat dilakukan dengan menggunakan satelit? Adakah beliau berasal dari puak Viking, yang terkenal sebagai pelaut yang handal? Atau setidak-tidaknya penjelajah Sepanyol atau Portugis yang mendabik dada kononnya merekalah orang pertama yang mengelilingi dunia? (walaupun sebenarnya Ferdinand Magellan tidak pernah menghabiskan pelayarannya kerana terbunuh di Filipina, tetapi dihabiskan oleh Henry The Black atau Enrique dalam dialek Sepanyol yang nama sebenarnya Hitam berasal dari kepulauan Melayu dan sememangnya orang Melayu!)

Tidak, si pembuat peta ini bukanlah dari kalangan orang Eropah yang kononnya amat pandai dari semua bidang.

Peta itu adalah karya Muhiddin Piri Reis. Beliau ialah seorang pelaut, laksamana angkatan tentera laut Turki dan kartografer Muslim terkemuka dari abad ke-16.

RIWAYAT MUHIDDIN PIRI REIS

Piri Reis lahir pada 1465, di Gallipoli, Turki, yang merupakan wilayah pantai. Ayahnya bernama Haci Mehmet, sedangkan bapa saudaranya merupakan seorang laksamana terkenal ketika itu, Kemal Reis.

Seperti anak-anak yang pada umumnya yang dipengaruhi suasana sekelilingnya, sejak kecil lagi beliau bergelut dengan pantai dan kebiasaan untuk berlayar. Tidak menghairankan ketika umurnya baru 12 tahun, beliau telah bergabung bersama bapa saudaranya, Kemal Reis.

Meskipun masih remaja, rupanya beliau sarat dengan pengetahuan. Beliau tidak merasa kekok berlayar bersama bapa saudaranya. Dan masa itu menjadi awal kepada kerjayanya mengharungi lautan dan samudera bersama Kemal Reis. Selama 14 tahun Kemal Reis memberi bimbingan kepada anak saudaranya itu.

Sepak terjang Kemal Reis di laut lepas, membuatkan Kesultanan Uthmaniyyah memberinya kedudukan terhormat di Angkatan Laut Diraja pada tahun 1494. Tambahan pula tenaganya membuatkan angkatan laut Kesultanan Uthmaniyyah semakin kuat. Mereka terkenal, dengan perjuangan tanpa akhir bagi tegaknya Islam.

Bergabungnya, Kemal Reis di angkatan laut kesultanan, membuat Piri pun akhirnya bergabung pula beberapa saat kemudian. Ia tetap berada di bawah arahan bapa saudaranya, walaupun beliau telah mula dipercayai untuk memimpin pasukan kecil.

Setiap selang waktu, Piri seringkali pulang ke kampung halamannya. Di sana beliau tidak tinggal diam, namun mencatatkan setiap apa yang dilihatnya dari perjalanannya selama ini ke dalam sebuah karya; peta. Terbukti, pada 1513 ia mampu menghasilkan sebuah peta dunia. Dalam karyanya itu, ia memetakan Laut Atlantik serta pantai-pantai di Eropa, karyanya diberi tajuk I-Bahriye.

Pada 1516-1517 Piri Reis mendapat mandat untuk memimpin pasukan Uthmaniyyah melawan Mesir. Dalam kesempatan ini Piri berlayar ke Kaherah melalui Nil dan kemudian menggambarkan sebuah peta dan memberikan maklumat yang terperinci tentang wilayah tersebut.

Setelah Mesir bergabung dengan kesultanan Uthmaniyyah, Piri memiliki kesempatan melakukan hubungan peribadi dengan pemegang tampuk kekuasaan di sana, Yavuz Selim. Beliau memperlihatkan peta hasil buatannya kepada sang sultan. Hasil karyanya itu juga ditambahkan ke dalam Bahriye.

Pertempuran dahsyat Piri alami juga bersama bapa saudaranya ketika melawan pasukan dari Venesia pada 1520. Dan pasukan Uthmaniyyah saat itu mampu memukul mundur pasukan musuh. Hal ini merupakan kemenangan yang besar bagi Uthmaniyyah.

Kegembiraan yang beliau rasakan beberapa saat kemudian berubah menjadi duka. Bapa saudaranya yang dikasihi, Kemal Reis, gugur akhirnya. Untuk menggantikan posisi Kemal Reis, pihak pemerintah kemudian malantik Piri Reis menjadi laksamana Kesultanan Uthmaniyyah.

Meskipun Piri telah menjadi laksamana yang begitu padat kegiatannya, beliau tetap meluangkan masanya untuk menuliskan catatan perjalanannya selama ini. Pada 1528 sampai 1529, Piri melengkapi peta pertamanya yang tercantum dalam I-Bahriye.

Kali ini, beliau berhasil memetakan wilayah Barat Daya Atlantik, sebuah wilayah yang disebut dunia baru yang terletak dari Venezuela hingga bagian selatan Greenland. Jadi tidak hanya kemenangan di laut yang beliau rasakan.

Dengan kenyataan ini, Piri Reis juga telah memberikan sumbangan bagi ilmu pengetahuan, terutama Geografi dan Nautika atau Ilmu Pelayaran. Ilmu yang mereka kembangkan tidak hanya berguna bagi kalangan Islam, namun kepada seluruh dunia.

Sang waktu terus merambat. Piri Reis, sang laksamana, telah memberikan sumbangan bagi kebesaran Kesultanan Uthmaniyyah, juga keharuman Islam. Ia telah melakarkan prestasi besar dengan karyanya I-Bahriye yang menjadi panduan bagi orang-orang setelahnya, dalam berlayar. Beliau akhirnya meninggal dunia pada tahun 1554.

Semua karyanya akhirnya dijumpai oleh dunia moden. Itulah yang diceritakan pada awal artikel ini. Ketepatannya dan bagaimana ia difoto dari pandangan atas amat menghairankan ramai orang. Sehingga ada pendapat yang mengatakan ia menggunakan teknologi makhluk asing!Ada juga pendapat yang mengatakan ia adalah peta yang dibuat oleh bangsa-bangsa yang hilang seperti Atlantis ataupun Lemuria. Bangsa-bangsa ini dikatakan mempunyai tamadun dan teknologi yang tinggi.

Bagaimana Piri Reis membuat peta yang begitu tepat? Mujurlah Piri Reis bukanlah seorang yang kedekut ilmu, tidak seperti sesetengah puak seperti Illuminati yang baru dapat secubit ilmu sudah berlagak sombong dan mengaku Tuhan. Piri menyatakan bahawa peta itu dibuat berdasarkan 34 sumber yang berbeza-beza. Ada 20 peta dari zaman Alexander yang Agung, 8 peta karya ahli geografi Muslim, 4 peta Portugis, dan 1 peta hasil karya Columbus.

Kemudian peta itu disaring, dikaji ketepatannya dan diubahsuai mengikut kepakaran kartografi Piri yang sememangnya banyak pengalaman dan akhirnya kesemua peta tadi diringkas menjadi satu peta dunia. Ini sesuai pengakuan Piri Reis, ''Di dalam abad ini (Pada masa Piri hidup), tidak ada peta seperti peta ini sebelumnya, '' kata Piri Reis lagi, ''Dibuat dengan cara menggabungkan keseluruhan peta menjadi satu skala peta ... maka hadirlah peta yang benar dan yang dapat dipercayai ...''

Walaupun begitu, bagaimana Piri membuat pengubahsuaian sehingga menghasilkan peta yang begitu tepat dan benar melampaui kronologi sejarah amat mengkagumkan. Malah sangat tepat jika ditinjau dari segi kronologi geografi.

Contohnya, Greenland digambarkan sebagai dua pulau yang berbeza. Kejanggalan ini akhirnya pupus setelah ada penyelidikan yang dilakukan ekspedisi kutub yang dilakukan ilmuwan Perancis. Mereka menyatakan bahwa ketika itu terjadi gempa yang membuat lapisan ais merekah dan menghasilkan ruang pemisah.

Pada Januari 1966, di majalah Fate, Profesor Charles H Hapgood menjelaskan penemuan yang mengagumkan tersebut. Ini merupakan hal yang luar biasa, Piri dapat memetakan tempat di mana seorang pun tidak dapat menemukan Antartika hingga 1818.

Menariknya, Hapgood benar-benar tercengang, betapa lengkapnya peta tersebut dan langsung mengubah anggapannya selama ini bahwa orang-orang Islam tidak memiliki ilmu kartografi yang baik!. Ilmuwan Jerman, P Kahle, melakukan analisis dan mengiktiraf bahwa Piri merupakan seorang ahli kartografi yang handal dan terhebat sepanjang zaman.

Jadi bagaimana dengan kita sebagai umat Islam?Adakah kita masih memikirkan bahawa Islamlah pembawa kemunduran, kolot dan ketinggalan zaman? (atau agama keganasan?-ini adalah pandangan paling primitif pada masa kini). Kita diajar di sekolah tentang sumbangan tokoh-tokoh Barat kepada kemajuan dunia, sehingga tergenggam ijazah di tangan pun masih manis mulut memuji-muji kecerdikan tokoh-tokoh Barat.

Tahukah anda para sarjana Barat benar-benar mengagumi para ilmuwan Islam dahulukala?Tahukah anda bahawa untuk membina superkomputer Blue Gene/L (ini adalah superkomputer yang terpantas di dunia, selaju 136.8 teraflop persaat-trillion pengiraan titik perpuluhan persaat) nenek moyang para jurutera IBM yang hidup pada zaman kegelapan Eropah terpaksa melutut meminta secebis ilmu daripada pensyarah-pensyarah mereka yang beragama Islam di universiti-universiti seluruh empayar Islam. Para cendekiawan Barat hari ini telah menulis banyak buku yang merakam sumbangan dunia Islam kepada dunia. Tetapi buku-buku seperti ini cuba digam, diharamkan atau disabotaj oleh pihak-pihak tertentu.

Ini yang berlaku kepada Pengurus Besar Syarikat Hewlett Packard, Minnesota di Amerika Syarikat iaitu Carly Florina, di dalam ucaptamanya ketika pelancaran produk syarikat komputernya, pada 26 September 2001, merakamkan pandangan ikhlas seperti berikut:

"at this civilisation was driven more than anything by invention. Its architect designed buildings that defied gravity. Its matematicians created the algebra and logarithms that would enable the building of computers, and the creation of encryption. Its doctors examined the human body, and found new cures for disease. Its astronomers looked into the heavens, named the stars, and paved the way for the travel and exploration.

While other nation were afraid of ideas, this civilisation thrived on them and kept them alive. When censors threated to wipe out knowledge from past civilisations, this civilisation kept the knowledge alive, and pass it on to others.

The civilisation I'm talking about was the Islamic World, from the year 800 to 1600 which included Ottoman Empire, and the court of Baghdad, Damascus and Cairo, and elightened rulers like Sulaiman the Magnificent"


maksudnya:

"Tamadun ini digerakkan menerusi penciptaan melebihi daripada yang lain. Arkiteknya mereka bangunan menentang graviti. Ahli matematiknya mengasaskan algebra dan logaritma yang membolehkan pembinaan komputer, dan penciptaan kod rahsia. Doktornya menyelidiki tubuh manusia lalu menemui ubat baru untuk penyakit. Ahli astronominya menyelidiki langit dan menamakan bintang-bintang, membuka kearah perjalanan dan pengembaraan. Sementara bangsa lain takutkan idea, tamadun ini terus ke hadapan memajukannya. Apabila halangan mengancam ilmu daripada tamadun silam, tamadun ini menghidupkan ilmu dan mengembangkannya kepada tamadun lain.

Tamadun yang saya maksudkan ialah tamadun Islam dari tahun 800 hingga 1600 yang merangkumi kerajaan Uthmaniyyah dan kerajaan Baghdad, Damsyik dan Kaherah serta pemimpin yang cemerlang seperti Sulaiman yang Agung"

Demikianlah seorang pengurus syarikat komputer yang terkenal, memberikan pendapat ikhlasnya dan meletakkan penghargaan yang begitu tinggi kepada tamadun Islam. Hanya orang yang berfikiran sempit sahaja yang berangan-angan mahu murtad dengan segera kerana menganggap Islam adalah agama kampungan, jumud, kolot dan ketinggalan zaman. Sedangkan orang-orang Barat yang berpendidikan tinggi secara peribadinya (walaupun mereka berusaha menyorokkan pendapat mereka) mengakui peranan Islam terhadap ketamadunan dunia. Namun masih ada segelintir dari mereka yang berani mengakuinya di khalayak ramai, walaupun selepas itu mereka dikenakan pelbagai tindakan dan hukuman.

Tidak lama selepas Carly Florina membuat ucaptama tersebut, beliau telah dipecat dari jawatannya...

Inilah Barat, masih angkuh, sombong dan tetap mahu mengubah sejarah...


>>SUMBER :http://mistisfiles.blogspot.com

Tuesday, November 17, 2009

Jeli kon inspirasi daripada gunung





ANTARA personaliti yang menyertai bengkel membuat jeli anjuran Royal Selangor ialah Khairy Jamaluddin (empat dari kiri), Khoon Hoi (enam dari kiri) dan Owen Yap (paling kanan).

SATU bengkel membuat jeli telah diadakan baru-baru ini khusus untuk kaum lelaki bagi mempertingkatkan kesedaran terhadap kanser payu dara. Ia juga bertujuan untuk menyumbang dana kepada Persatuan Kebajikan Kanser Payudara (BCWA), Malaysia.

Acara yang dikenali sebagai Jelly Good Time anjuran Royal Selangor itu menghimpunkan pemimpin korporat, pereka fesyen dan selebriti.

Antaranya termasuklah Khoon Hooi, Owen Yap, Tunku Ali Muhriz, Khairy Jamaluddin, Justin Leong dan Charlz Chan. Mereka meluangkan masa untuk menghasilkan jeli dengan menggunakan acuan berbentuk kon Royal Selangor yang diinspirasi daripada bentuk gunung, hasil ciptaan pereka Britain, Nick Munro.


BAKAT terpendam. Para peserta begitu tekun membuat jeli.


Acara membuat jeli yang hanya disertai oleh kaum lelaki itu dianjurkan bagi mengenengahkan peranan lelaki untuk menyokong wanita yang menghidap penyakit kanser payu dara.

Pengurus Besar Pemasaran Royal Selangor, Chen Tien Yue berkata, syarikatnya berusaha memberikan kesedaran dan mengumpul dana bagi kanser payu dara sejak 2006.

"Kami menganggap kesedaran terhadap kanser payu dara memerlukan lebih banyak sokongan dan kami melihat peluang ini untuk menyumbangkan sesuatu melalui kepakaran kami.

"Kami amat berterima kasih atas sokongan rakan-rakan yang hadir hari ini. Mereka semuanya mempunyai jadual yang padat tetapi mereka bersetuju untuk menyumbangkan masa untk kempen kesedaran ini bagi memastikan kaum lelaki mampu memberikan sokongan padu di samping menambah ilmu mengenai kanser payu dara," katanya.


INILAH jeli berbentuk kon Royal Selangor yang dihasilkan oleh para peserta.

Yuran penyertaan sebanyak RM200 dikenakan setiap seorang yang merangkumi bengkel membuat jeli, acuan jeli dan minum petang di Kafe Pusat Pelawat Royal Selangor. Bagi setiap penyertaan, Royal Selangor akan menyumbangkan RM70 kepada BCWA.

Acuan jeli piuter yang diberikan dalam kotak berwarna merah jambu terang itu turut memuatkan resipi chef-chef dari seluruh dunia. Mereka terdiri daripada Emmanuel Stroobant, Ken Hoh, Yvan Cadiou, Jean-Pierre Wybauw, Stefano Deiuri dan chef dari Kafe Royal Selangor Visitor Centre.

Laman web serba guna


LAMAN web ini menyediakan pelbagai maklumat untuk anda yang ingin mempelajari sulaman manik.

MANIK dan labuci merupakan trend fesyen pakaian wanita yang tidak pernah ditelan zaman. Malah, trend fesyen manik semakin mewah apabila material-material kristal digunakan untuk menghasilkan baju yang menarik.

Laman sesawang http://www.sri2u.com menyediakan pelbagai maklumat untuk anda yang ingin mempelajari mengenai kepelbagaian sulaman manik. Tidak terkecuali pelbagai teknik sulaman tangan dan kerawang. Bagi yang berminat, anda boleh menempah dan membeli sulaman-sulaman tersebut.

Sulaman Sri Classic Collection yang bertanggungjawab membangunkan laman sesawang itu juga ada menyediakan pelbagai jenis perkhidmatan berasaskan sulaman, manik dan seni kemahiran tangan. Ia turut merangkumi perkhidmatan runding cara dan tempahan jahitan.

Kebanyakan produk-produk video tutorial sulaman yang dihasilkan Sri Classic Collection telah menjadi rujukan untuk semua cawangan Kraftangan Malaysia di seluruh negara serta institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Untuk perkhidmatan runding cara yang berada di bawah Akademi Sulaman Sri Classic, pelbagai jenis bengkel dan modul-modul kemahiran disediakan. Ia meliputi bengkel jahitan manik, labuci, bengkel sulaman kerawang, bengkel sulaman tangan, bengkel ikatan tudung dan bengkel keusahawanan.

Pada tahun ini, anda berpeluang mempelajari kemahiran jahitan eksklusif untuk sut, kot, jubah dan telekung.



Bagi perkhidmatan tempahan jahitan yang dikategorikan sebagai Butik Sulaman Sri Classic, mereka menerima tempahan jahitan dan sulaman pelbagai fesyen yang eksklusif untuk wanita. Perkhidmatan itu merangkumi tempahan jahitan manik, sulaman kerawang dan sulaman tangan.

Di samping itu, Sri Classic Collection menerusi e-ShopFesyen pula menjual beberapa jenis produk lain berasaskan sulaman yang terdiri daripada video, buku dan penerbitan interaktif. Peralatan jahitan untuk sulaman manik, sulaman tangan serta sulaman kerawang juga ada dijual.

Tatu lambang gengsterisme?

Ia mungkin berfungsi sebagai tangkal, untuk tujuan magik atau bagi menggambarkan status sosial.



DI Muzium Arkeologi Tyrol Selatan di Bolzano, utara Itali, dipaparkan satu mumia yang digelar Ötzi the Iceman atau Similaun Man. Ia dilaporkan ditemui di dalam glasier Schnalstal di Pergunungan Ötztal, berdekatan Hauslabjoch di sempadan Austria dan Itali pada September 1991.

Mumia manusia tertua Eropah yang terawet secara semula jadi itu dipercayai berusia 5,300 tahun.

Pada tubuhnya ditemui 57 tatu karbon yang terdiri daripada titik dan garisan ringkas pada bahagian bawah belakang badan, di belakang lutut kiri dan pada buku lali kanan.

Bagaimanapun, selepas diimbas dengan sinaran X, pengkaji mendapati lelaki itu menghidap artritis pada bahagian-bahagian itu. Tatu itu kemudiannya disimpulkan sebagai mempunyai kaitan dengan rawatan akupuntur.


PEMINAT tempatan masih malu- malu melukis tatu berunsur kreatif.

Kepuasan peribadi

Profesor Konrad Spindler dari Universiti Innsbruck bagaimanapun mengatakan ia mungkin berfungsi sebagai tangkal, untuk tujuan magik atau bagi menggambarkan status sosialnya.

Mumia popular lain yang turut ditemui dengan tatu ialah mumia Amunet, dewi udara dari Mesir Kuno dan mumia sekumpulan penduduk Pazyryk di Ukok Platea, di sempadan antara China dan Rusia, yang diyakini merupakan golongan pahlawan.

Berbeza pada era 1960-an, amalan mencacah tatu menjadi begitu sinonim dengan pejuang muzik rock dan pengambilan dadah.


ALAT pencacah tatu.

Susulan daripada itu, penyanyi genre rap seperti Tupac pula menggunakan tatu untuk mewakili gaya hidup ‘gangsta’ dengan mencacah tatu yang menggalakkan kehidupan yang ganas.

Namun, sejak akhir-akhir ini, pemandangan seorang lelaki berkulit putih berseluar jean dan berkemeja putih dengan potongan rambut yang kemas melintas jalan bukan lagi satu pemandangan yang menggerunkan.

Memiliki tatu, kata pelukis tatu, Gunner Einarsson, 42, tidak melambangkan sisi ganas atau hitam seseorang. Sebaliknya, jelas artis yang datang dari Iceland itu, ia hanyalah tentang kepuasan peribadi.

‘Pakaian’ samseng

“Dahulu memang tatu sangat sinonim dengan keganasan kerana ia sering menjadi ‘pakaian’ samseng dan gengster.

“Atau sekurang-kurangnya begitulah mereka sering ditampilkan dalam filem dan sebagainya,” ujarnya yang merupakan pemilik bersama Two Thumb Tattoo Studio di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur.

“Tidak ada pula yang datang ke sini mengatakan mereka dari kumpulan samseng.

“Pelanggan yang berkunjung ke kedai ini rata-ratanya mempunyai latar belakang yang berbeza. Daripada pelajar, penunggang motosikal sehinggalah kepada peguam, juruterbang, ahli perniagaan dan sebagainya.

“Boleh dikatakan tatu bukan lagi simbol kuasa seperti yang digunakan pahlawan dahulukala. Sebaliknya, sekarang ia lebih kepada satu lagi aktiviti yang mahu dilakukan. Sama seperti hobi,” katanya yang turut memiliki tatu pada lengan, bahu dan belakang badan.



Sudah 11 tahun studio itu beroperasi, bilangan pelanggan yang datang berkunjung juga tidak pernah berkurangan.

Penerimaan yang semakin baik terhadap amalan bertatu, ulas Einarsson, disumbangkan oleh perkembangan alatan yang digunakan untuk mencacah tatu.

“Kami menggunakan mesin penstrilan autoclave yang amat selamat. Malah setiap peralatan yang sudah disteril akan disimpan di dalam pembungkus berasingan.


TATU turut melambangkan personaliti pemiliknya.

“Bahkan jarum dan pewarna yang digunakan tidak akan diulang pakai pada pelanggan yang lain,” kongsi Einarsson. Tambah beliau, kesedaran pelukis tatu hari ini tentang risiko jangkitan penyakit berjangkit seperti AIDS adalah tinggi.

Orang tempatan, kata Einarsson, masih malu-malu untuk melukis tatu berunsur kreatif.


EINARSSON mampu mencacah tatu ditubuh pelanggan 11 jam tanpa henti.

“Mereka lebih cenderung memilih tatu bermotif tradisional atau ringkas seperti bunga-bungaan, pari-pari, tarikh lahir dan sebagainya,” ujarnya.

“Paling lama saya mampu bertahan untuk menyudahkan satu-satu tatu ialah 11 jam. Ada juga tatu yang terpaksa mengambil masa berhari-hari lamanya, bergantung kepada darjah kesukaran satu-satu rekaan,” dedah Einarsson.

http://www.kosmo.com.my

Thursday, November 5, 2009

ALAM DAMAI

http://www.kosmo.com.my


Tinggalan Loke Chow Kit



MASIH kukuh berdiri dan kekal dengan fizikal asalnya, bangunan ini pada mulanya merupakan milik Loke Chow Kit.

BANGUNAN yang didiami Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) di Jalan Tangsi, Kuala Lumpur, pada hari ini pada asalnya merupakan rumah agam orang kaya Kuala Lumpur, Loke Chow Kit.

Dibina pada 1907 di kawasan perumahan mewah warga Inggeris ketika era penjajahan British, bangunan dua tingkat yang pernah dikenali sebagai Dewan Loke itu dikatakan satu-satunya bangunan milik warga tempatan di kawasan yang dikenali sebagai European Quarter itu.

"Inilah satu-satunya rumah milik orang tempatan di kawasan ini. Selebihnya ialah milik warga Inggeris.

"Bukan saja untuk didiami, rumah ini juga dijadikan pejabat untuk kerja-kerja perusahaan bijih timah.

"Bagaimanapun, Loke menjual rumah ini pada tahun 1909 dan kemudian ia dijadikan Hotel Empire diikuti Hotel Peninsular," kongsi Pengerusi Jawatankuasa Warisan dan Konservasi PAM, Ar. Mohd. Zulhemlee An.

PAM menjadi penghuni keempat bangunan itu sejak 1973.

"PAM memilih untuk 'mendiami' bangunan ini kerana reka bentuknya yang unik, yang tidak dapat dihasilkan semula dalam era lain.

Tambahan ia terletak di kawasan utama. Faktor itu membuatkannya sesuai dijadikan bangunan rujukan untuk ilmu seni bina," jelas Zulhemlee.


TERSERLAH gaya Inggeris atau Eropah.

Dilengkapi dengan laman terbuka di tengah-tengah bangunan, kata Zulhemlee, ciri ketara seperti itu kini juga hanya dapat dilihat pada rumah-rumah lama Melaka dan Rumah Agam Cheong Fatt Ze di Pulau Pinang.

"Rumah-rumah lama di China juga menerapkan konsep laman terbuka seperti ini.

"Jadi kita tidak dapat menetapkan sama ada idea rekaan seperti ini datang dari negara tertentu," ujarnya.

Tidak mustahil, kata Zulhemlee, rekabentuk baluster atau susur tangan pada pagar di sekeliling laman terbuka di aras atas bangunan itu datang dari kedua-dua negara, China dan Eropah, kerana rekabentuk yang sama turut dapat ditemui di Eropah.

"Malah, rumah ini dibina selepas Loke pulang dari melawat negara-negara Eropah bersama usahawan ternama, Wong Loke Yew," jelas Zulhemlee.

Kepala tiangnya yang berkerawang jelas sekali menunjukkan pengaruh Eropah, begitu juga gable end atau tebar layar pada bahagian hujung bumbungnya.

Biarpun sudah mengalami tiga kali perubahan fizikal kerana empat kali bertukar penghuni, struktur dan kebanyakan bahagian utama asal bangunan itu masih kekal.

"Kebanyakan bahagian bangunan yang diperbuat daripada kayu terpaksa kami ganti dengan material lain kerana ia diserang anai-anai dengan teruk sekali.

"Tetapi yang masih terselamat, kami kekalkan," katanya yang mendedahkan lantai kayu di aras atas sebahagian besarnya digantikan kepingan besi tebal.


AMAN terbuka yang unik di tengah-tengah bangunan binaan 1907 ini


Ciri tradisional Melayu, kongsi Zulhemlee, dapat dikesan pada bahagian depan rumah itu. Dari pintu pagar, satu set anak tangga membawa tetamu ke 'anjung' sebelum sampai ke pintu utama rumah.

Darjah perbezaan antara seni bina lama dengan baru sangat ketara dari segi reka bentuk sesebuah bangunan.

Namun, siapa sangka, teori pembinaannya juga ada kelainan?

Dinding jauh lebih tebal

"Rumah-rumah sekarang ditampung beratnya oleh tiang dan rasuk, sedangkan rumah dahulukala ditampung oleh dindingnya.

"Disebabkan itulah dinding rumah lama jauh lebih tebal berbanding dinding rumah sekarang.

"Dinding yang diperbuat pada zaman dahulu juga bersifat menyerap dan melepaskan lembapan ke ruang dalaman, membuatkan rumah tidak panas.

"Cat yang digunakan juga daripada jenis yang membolehkan dinding bernafas (breathable)," terangnya.

Namun, dengan penggunaan pendingin hawa, cat yang digunakan pada hari ini bukan lagi daripada jenis itu.

"Cat 'boleh bernafas' masih lagi dihasilkan tetapi sudah tidak ramai yang menggunakannya kerana penggunaan pendingin hawa memerlukan tiada pengaliran udara keluar dan masuk.

"Tetapi penggunaan cat tidak boleh bernafaslah yang menyebabkan pembentukan kulat pada dinding bangunan lama yang serupa kerana lembapan dalam dinding tidak dapat keluar dengan baik," tambah Zulhemlee.


MASIH yang asal. Kebanyakan bahagian yang dibina daripada kayu terpaksa dirombak dan digantikan dengan kepingan besi kecuali tangga ini.


Impian PAM kini ialah untuk mendapatkan hak milik ke atas bangunan itu daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sepenuhnya.

"Disebabkan kami sekadar bertindak sebagai penjaga bangunan ini, pergerakan kami untuk melakukan sebarang pengubahsuaian pada bangunan ini sangat terhad.

"Sedangkan sebagai sebuah pertubuhan yang menghimpunkan arkitek bertauliah dari seluruh negara, kami mempunyai banyak aktiviti untuk dilakukan seperti seminar, mesyuarat dan sebagainya," ujarnya.

Bangunan seluas 1,588 meter persegi itu kini menempatkan sebuah pusat sumber tentang seni bina yang turut dibuka kepada orang awam dan menjadi pusat rujukan kepada 1,600 arkitek berdaftar.

PAM juga, kata Zulhemlee, berhasrat untuk mengembalikan bentuk asal bangunan yang masih berdiri teguh bersetentang dengan Bank Rakyat di Jalan Parlimen itu.

"Kami telah mencalonkan bangunan ini kepada Jabatan Warisan Negara agar ia dapat digazetkan supaya terus dipelihara sebagai tinggalan sejarah negara.

"Kita memerlukan sekurang-kurangnya satu bangunan untuk rujukan daripada setiap zaman dan Loke Chow Kit bukan nama asing lagi di negara kita," kata Zulhemlee.


Melahirkan anak cerdas


PESONA

http://www.kosmo.com.my


WARNA, bentuk, orang di sekeliling dan suasana yang berbeza lebih mudah merangsang fungsi otak anak-anak.

SIAPA yang tidak mahu melihat anak yang sedang membesar menjadi individu yang bijak dan boleh menggunakan setiap bahagian otaknya dengan baik.

Selain boleh berlari, ibu bapa juga pasti mahu melihat anak mereka boleh mengimbangi sesuatu yang bersifat rasional dan emosi.

Sehubungan itu, berikut beberapa tip untuk melahirkan anak yang memiliki minda cerdas.

Makanan

Anak-anak yang kekurangan gizi secara umumnya memiliki otak yang kurang berkembang. Pengambilan makanan seperti ikan, vitamin dan mineral secukupnya merupakan cara terbaik untuk perkembangan otak.

Pergaulan

Semakin besar pergaulan hidup anak anda, semakin baik perkembangan otaknya. Warna, bentuk, orang di sekeliling dan suasana yang berbeza lebih mudah merangsang fungsi otak berbanding anak-anak yang hidup bersendiri.

Pengalaman emosional

Anak-anak sangat peka terhadap rangsangan dan pengalaman emosi. Semua pengalaman emosi yang berlaku dalam lingkungan awal usia mempengaruhi proses pembentukan jalinan antara sel saraf.

Pada usia tersebut, ciri-ciri seperti kawalan diri, kesabaran, kerjasama, empati dan sebagainya lebih mudah dilatih dan tertanam kuat dalam otak berbanding kemahiran mengira, membaca atau kegiatan-kegiatan lain.

Stimulasi rasional

Perkara-perkara baru lebih cepat mempengaruhi otak. Justeru, anda harus memperkenalkan perkataan-perkataan, teknik dan tugasan baru kepada anak-anak setiap hari.

Origami iaitu seni melipat kertas adalah salah satu cara memperbanyak hubungan sel saraf. Minta anak untuk memerhatikan alur, warna, bentuk dan ciri-ciri lain yang tidak jelas jika hanya dilihat sepintas lalu.

Perhatian ke atas perkara-perkara kecil seperti bentuk dan warna boleh membuatkan cabang saraf bertambah banyak.

Aktiviti fizikal

Aktiviti fizikal mempengaruhi otak dengan tiga cara iaitu meningkatkan pengedaran darah ke otak, mempengaruhi pengeluaran hormon NGF (faktor pertumbuhan saraf) dan merangsang penghasilan dopamin.

Anda disarankan melatih emosi anak lebih dulu.

Kematangan emosi memerlukan waktu tertentu untuk berkembang, sedangkan kecerdasan rasional dapat ditingkatkan pada bila-bila sahaja.

Kuasa sokongan seorang lelaki


http://www.kosmo.com.my/

Penghidap kanser payu dara, Sugunawathy dan Tammy menceritakan sokongan seorang lelaki mampu membangkitkan semangat mereka.



SUGUNAWATHY Kanapathy, 52, mungkin sudah tiada lagi hari ini jika bukan kerana sokongan moral daripada suaminya. Hampir sedekad lalu, niat untuk menamatkan hidup terlintas di fikiran. Semuanya gara-gara dia didiagnosis dengan kanser payu dara.

Selepas menjalani beberapa sesi rawatan kemoterapi, dia mulai melihat kesan perubahan fizikal yang bukan sahaja hodoh tetapi turut melemahkan semangatnya.

"Setiap tiga minggu, saya perlu menjalani rawatan kemoterapi. Dalam sebulan, hanya seminggu yang saya ada selera makan.

"Selalu juga terasa hendak muntah. Jadi, saya perlu duduk dekat dengan tandas pada setiap masa. Saya beritahu ibu dan suami, kalau boleh tidak mahu teruskan rawatan. Lagi baik mati," katanya kepada Kosmo! dalam satu pertemuan di ibu negara baru-baru ini.

Ibu kepada lima orang anak itu telah didiagnosis menghidap kanser payu dara tahap kedua. Faktanya, Sugunawathy sebenarnya tidak mempunyai sejarah keluarga yang menghidap penyakit tersebut. Bahkan, dia juga jarang jatuh sakit.

Sebak

Maka, berita diagnosis itu tidak disambut dengan hati yang terbuka. Malah suaminya, Paneer Selvam, 52, juga sukar menahan sebak di hati saat mengetahui berita itu.

Namun, kesedihan itu tidak semestinya bersifat negatif. Di sebalik realiti pahit yang perlu ditelan Sugunawathy, dia sebenarnya mendapat sokongan yang tidak berbelah bagi daripada suaminya.

"Memang pun awalnya saya menangis bila tahu isteri menghidap kanser. Tetapi situasi ini mengingatkan saya agar tidak memarahinya lagi. Saya benarkan dia ke mana-mana yang dia suka," kata Paneer dalam satu sesi berkongsi cerita sempena pelancaran buku His Her Story baru-baru ini.

Sepanjang tempoh sukar itu, Paneer banyak menghabiskan masa bersama isterinya. Tidak hanya menjadi 'tiang' pemberi sokongan dari segi mental, dia turut membantu meringankan beban isterinya di rumah.

Di rumah, Paneer bagaimanapun bukan satu-satunya lelaki tunggal dalam keluarga Sugunawathy yang mengambil berat terhadap tahap kesihatannya.

"Waktu saya kata hendak mati, saya kena marah. Ibu, suami dan adik lelaki juga bertekad mahu 'angkat' saya ke hospital," ujar Sugunawathy yang bersyukur dengan sokongan ahli keluarganya.

Sebenarnya, Sugunawathy bukan satu-satunya pesakit kanser payu dara yang berjaya berdiri semula berikutan sokongan daripada insan bergelar lelaki.


KUMPULAN suami yang memberi sokongan sepanjang isteri menderita kanser payu dara.

Reaksi suami

Hakikatnya, salah satu ketakutan dan keresahan utama pesakit kanser payu dara ialah mengetahui reaksi si suami. Pendapat terhadap kebarangkalian ditinggalkan suami hampir setiap masa bermain di fikiran mereka.

Tetapi kepada Ray Walker, dia tidak sekadar mencurahkan sokongan kepada isterinya, Tammy. Ray menyakinkan Tammy bahawa dialah satu-satunya isteri ketika suka dan duka. Kata-kata itu dibuktikan menerusi tindakannya.

"Saya telah berjanji akan berada di sisinya," kata Ray.

Ray sendiri pernah berdepan dengan episod hitam kerana kehilangan ibu akibat kanser tekak. Biarpun sedar diagnosis kanser itu sesuatu yang menakutkan, dia rasional tentang sinar harapan untuk isterinya kembali sihat.

Tammy yang didiagnosis telah menjalani lumpektomi dan 15 sesi terapi radiasi, selain pengambilan ubat-ubatan tambahan.

Hari ini, Tammy mengetuai kumpulan protesis (anggota-anggota palsu) payu dara untuk membantu pesakit kanser yang memerlukan bantuan.


HIMPUNAN testimoni penghidap kanser payu dara yang terdapat dalam buku His Her Story diharap dapat menyuntik sokongan daripada kaum lelaki.

Kisah dua keluarga itu menunjukkan betapa kanser payu dara bukan hanya isu wanita. Ia sepatutnya satu beban yang harus dipikul bersama oleh lelaki bernama suami, abang, adik mahupun teman.

Justeru, himpunan testimoni edisi bahasa vernakular, His Her Story diyakini menjadi satu 'peralatan' penting. Ini kerana buku yang boleh didapati dalam empat bahasa iaitu bahasa Inggeris, Melayu, Cina dan Tamil itu mampu menyuntik sokongan golongan lelaki terhadap wanita kesayangan mereka bagi menjalani imbasan kanser payu dara.

Kompilasi testimoni itu diambil daripada para peserta program MENCARE yang merupakan satu projek kolaborasi antara syarikat farmaseutikal, Pfizer dan sebuah badan bukan kerajaan, National Council of Women's Organisations (NCWO) sejak tiga tahun lalu.

Peranan suami

Timbalan Presiden NCWO, Datuk Ramani Gurusamy berkata, MENCARE menekankan betapa pentingnya kerjasama lelaki dalam menangani isu dan stigma yang dihadapi oleh pesakit penyakit maut itu.

"Mengapa wanita-wanita Malaysia malu dan enggan untuk menjalani imbasan kanser payu dara secara kerap? Terdapat pelbagai sebab sama ada kurangnya kesedaran dan maklumat sehinggalah takut jika mengetahui kebenarannya.

"Jadi, peranan seorang suami ialah mengambil berat terhadap wanita yang dia sayangi. Ia amat penting sepanjang tempoh kritikal si isteri," katanya.

Sebanyak 251 kes kematian akibat kanser payu dara dilaporkan pada tahun 1991. Angka tersebut meningkat kepada 321 kes empat tahun berikutnya.

Pada tahun 2000, jumlah itu melonjak kepada 420 kes. Berdasarkan perangkaan Pendaftar Kanser Kebangsaan, sebanyak 3,738 kes kanser payu dara baru dilaporkan pada tahun 2003.

MENCARE merupakan satu program latihan komprehensif yang dijalankan di serata negara untuk menggalakkan lelaki supaya prihatin terhadap isu kanser payu dara.


PANEER SELVAM dan isterinya, Sugunawathy Kanapathy.

Tambahnya, pengesanan awal penyakit kanser perlu bermula daripada hubungan sesama pasangan atau keluarga. Jadi, lelaki juga harus sedar peranan mereka terhadap pasangan masing-masing.

"Saya berharap His Her Story akan membuka mata mereka. Besar jugalah harapan kami agar suatu hari nanti, program MENCARE akan disepadukan dalam setiap peringkat masyarakat menerusi kerjasama semua pihak," kata Pengarah Urusan Pfizer, Ahmet Genel.

Sementara itu, Koordinator Projek MENCARE, Dr. Ang Eng Suan dalam buku His Her Story pula berkongsi sepuluh tip yang boleh dipraktikkan oleh golongan lelaki.

Katanya, wanita perlu diyakini bahawa pengesanan kanser awal dapat mencegah pembuangan keseluruhan payu dara.

Selain sokongan dalam bentuk kata-kata, suami juga digalakkan berterus-terang tentang kerelaannya menemani isteri ketika saat-saat sukar.

"Yakinkan dia yang anda masih mencintai dan menyayanginya lebih-lebih lagi sepanjang tempoh rawatan berlangsung," katanya seperti yang dipetik daripada buku His Her Story.

Kepada yang berminat untuk mendapatkan His Her Story, sila hubungi NCWO di talian 03-7943 3008 atau e-mel ke alamat: ncwohq@yahoo.com.


Berita palsu kewafatan Rasulullah



Dalam keadaan huru hara itu tentera Muslimin tidak dapat dikawal lagi. Banyak tentera Muslimin mati dalam serangan tentera Quraisy. Rasulullah sendiri berada dalam keadaan yang sangat bahaya.

Tentera Quraisy pula telah menghebahkan perkhabaran palsu mengatakan baginda telah terbunuh dalam peperangan itu. Keadaan inilah yang menyebabkan tentera Muslimin bertambah kucar-kacir.

Ramai di antara orang Islam yang mula berputus asa apabila mendengar khabar angin tersebut. Tetapi mereka terus berhadapan dengan musuh sehingga ke saat akhir.

Sesetengah daripada tentera Muslimin yang mengetahui kedudukan sebenar hanya bertahan semata-mata untuk menjaga keselamatan Rasulullah.

Berita palsu itu jugalah yang menyebabkan tentera Quraisy menghentikan serangan terhadap tentera Muslimin. Mereka berasakan cita-cita mereka sudah berjaya kerana Rasulullah sudah dibunuh. Manakala baginda telah melarang seorang sahabatnya daripada memberitahu tentera Muslimin bahawa baginda masih hidup.

Baginda berbuat demikian dengan tujuan supaya tentera Quraisy percaya kepada perkhabaran itu dan berundur dari medan peperangan.

Ramai tentera Muslimin yang terkorban, iaitu lebih daripada 70 orang. Rasulullah bersama sahabat-sahabatnya seperti Abu Bakar, Umar dan Ali telah berjuang bermati-matian.

Baginda sendiri mendapat luka dan sebatang gigi baginda telah patah. Mereka telah menunjukkan keberanian dalam peperangan itu. Kota Madinah akhirnya tidak berjaya ditawan oleh tentera Quraisy.

Setelah selesai peperangan itu, mayat tentera-tentera Islam yang gugur dalam peperangan tersebut dikumpulkan di suatu tempat. Rasulullah sendiri menyembahyangkan mayat-mayat itu dan baginda kemudiannya memerintahkan tentera Muslimin mengkebumikan mayat-mayat tersebut.

Peristiwa kekalahan dalam peperangan Uhud ini menyebabkan tentera-tentera Muslimin lebih berhati-hati apabila berhadapan dengan musuh terutamanya kaum Quraisy yang menentang Islam.

lPetikan daripada buku 366 Kisah-kisah daripada Al-Quran terbitan Edusystem Sdn. Bhd.


http://www.utusan.com.my