Showing posts with label rumahtangga. Show all posts
Showing posts with label rumahtangga. Show all posts

Monday, February 15, 2010

Terangsang tengok gambar perempuan seksi



DOKTOR SAKIT TUAN bersama Dr.Ismail Thamby

JIKA anda menghadapi masalah kesihatan berkaitan perkara sulit yang sukar diselesaikan, Pakar Sakit Tuan, Dr Ismail Thamby sedia membantu. Hantarkan masalah anda lengkap dengan nama, alamat penuh dan nombor telefon kepada :

Pengelola Ruangan Sakit Tuan, Harian Metro, 31, Balai Berita Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur.
Faksimili:03-22848390
E-mel: sakittuan@hmetro.com.my


SAYA bermasalah rangsangan seks yang terlampau. Jika melihat gambar atau video perempuan seksi, saya akan terangsang dan melakukan onani. Bolehkah doktor memberi panduan cara melegakan rangsangan seks itu selain daripada onani kerana saya masih bujang?

ZUL


Kuala Lumpur


Anda jenis lelaki mudah terangsang seksual. Ini bukan kelemahan anda dan fitrah semula jadi semua makhluk Tuhan. Tahukah anda, bukan anda seorang yang mudah mencapai rangsangan seksual dan langsung melepaskan perasaan dengan melakukan onani.

Ramai lelaki dan perempuan muda seperti anda melakukan perbuatan itu, lebih-lebih lagi jika mereka terbabit pergaulan bebas dan tonton cakera padat video atau laman web lucah.

Anda mungkin boleh jangka jika anda teruskan perbuatan itu, satu hari nanti anda akan teringin untuk lakukan sesuatu yang lebih hebat atau terlampau seperti melakukan seks rambang.

Jika sampai ke tahap itu, anda tidak akan teragak-agak untuk meneruskan perbuatan itu. Anda akan menjadi ketagih dengan perbuatan itu jika tidak ketagih kepada amalan onani dan akhirnya anda akan terjebak kepada hubungan seks rambang walaupun sudah berkahwin atau jika anda kaki onani.

Jika anda hanya tahu onani sebagai cara melegakan perasaan rangsangan seksual, tiada cara yang lebih seronok daripada itu.

Cara lain seperti mandi air sejuk di perigi seperti zaman dulu dan puasa seperti yang disyorkan Islam mungkin tidak menjadi pilihan untuk anda dan orang muda macam anda. Cara yang baik mungkin ialah untuk anda berkahwin.

Sunday, January 31, 2010

Awas suami curang



Tuntutan fasakh oleh isteri kini selesai lebih cepat.



MASTURA BAKAR, 24, sah bergelar janda pada 28 Januari lalu setelah tuntutan fasakh terhadap suaminya, seorang ahli politik yang juga tokoh perniagaan berusia 54 tahun, diluluskan Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur.

Ibu kepada tiga puteri yang berumur antara dua hingga lima tahun itu sekadar tersenyum hambar ketika keputusan itu dibacakan Hakim Syarie, Mohd. Yunus Mohamad Zin. Mastura memfailkan tuntutan fasakh pada April tahun lalu.

Kes Mastura mendapat perhatian ramai kerana bekas madu penyanyi Noraniza Idris itu mendakwa suaminya seorang yang gila seks dan tidak bertanggungjawab.

Mengikut fakta kes, Mastura mendakwa beliau hanya mengetahui dirinya isteri keempat kepada suaminya itu hanya selepas melahirkan anak sulung. Suaminya itu kemudian mengaku bahawa dia telah berkahwin dengan Noraniza dan dua wanita lain.




Lelaki itu juga didakwa gemar berfoya-foya dan pernah memiliki lebih 10 orang teman wanita yang ditiduri dalam satu-satu masa walaupun telah beristeri empat.

Kahwin muda

Bertubuh kecil dan berkulit putih gebu, Mastura mengakui beliau tidak dapat menjangka bagaimana rasanya hidup sebagai seorang ibu tunggal.

“Saya sendiri tidak tahu apa yang patut saya rasa. Saya berasa amat penat. Lagipun sekarang saya sudah kembali bekerja,” balasnya yang kini bertugas di bahagian pentadbiran sebuah firma seni bina di Cheras, Kuala Lumpur.

Anak ketujuh daripada sembilan adik-beradik itu kelihatan lesu ketika ditemui di sebuah restoran di Kuala Lumpur Jumaat lalu. Menatap wajahnya, terasa ada kecamuk dalam fikirannya.

“Sekarang fikiran saya ialah tentang meneruskan hidup bersama anak-anak. Tetapi disebabkan pengalaman daripada perkahwinan itu, saya berasa keadaan masih tidak selamat untuk kami.

“Dia pernah melarikan anak kami satu ketika dulu dalam satu pergaduhan besar, melanggar saya dengan kereta dan saya ada menerima pesanan ringkas (SMS) yang berbaur ugutan susulan daripada tuntutan fasakh ini. Saya masih belum berani hendak membawa anak-anak bermain di taman permainan,” luah Mastura.

Jika ada yang berpendapat Mastura menerima padah atas silapnya sendiri menikahi lelaki berusia yang berpangkat dan berharta, nampaknya pemikiran itu jauh tersasar.

“Kami berkahwin bukan atas dasar cinta. Ia lebih kepada pilihan ibu dan ayah saya. Kami berkenalan tidak lama, iaitu kira-kira enam bulan.

“Itu pun melalui teman-teman. Kali pertama ibu melihatnya bersolat dan mengaji al-Quran di rumah di kampung, ibu menangis kegembiraan.

“Setelah dia berjumpa ibu dan ayah buat kali kedua, dia terus masuk meminang dan lamaran itu diterima. Kami bernikah pada 3 Jun 2005 di Masjid Pengkalan Hulu, Perak.

“Pada waktu itu saya baru berumur 18 tahun. Ketika kami berkahwin, dia masih belum bergelar Datuk,” kongsinya.

Segalanya, kata Mastura, berlaku terlalu pantas. Perasaan sayang kepada suaminya hanya wujud selepas mereka berkahwin.

“Pada awalnya dia sering mengajak saya solat berjemaah, mengaji al-Quran dan melakukan kerja rumah bersama. Dia juga baik terhadap saya.

“Tetapi semua itu sekejap saja. Lama-kelamaan dia lebih banyak membiarkan saya solat dan melakukan segala-galanya bersendirian,” dedahnya.

Mastura mengakui bekas suaminya itu mempunyai ilmu agama yang baik.


KES tuntutan cerai Aida Melly Tan Mutalib pada tahun 2002 yang berlarutan selama tujuh tahun menyebabkan pelbagai kritikan dilemparkan terhadap mahkamah syariah.


“Pengetahuan agamanya agak tinggi. Mungkin kerana latar belakang dan kerjaya keluarganya yang sememangnya menjurus ke arah keagamaan.

“Entah di mana silapnya, dia menjadi seorang lelaki yang gemar berfoya-foya,” kata Mastura.

Sebenarnya, ujar Mastura, beliau dan suami tidak banyak masalah. Cuma lelaki itu dikatakan banyak helah.

Kes Aida Melly

“Sebelum ini saya sudah dua kali hendak membuat tuntutan fasakh. Kali pertama saya batalkan kerana sedang hamil anak kedua. Kali kedua, Noraniza sendiri memujuk saya dan meminta saya memikirkan masa depan anak-anak. Walaupun kami tidak pernah berjumpa, kami tidak ada masalah.

“Tentang dakwaan bahawa dia mahu menyaman saya, saya percaya ia tidak akan berlaku kerana saya percaya dia membuat kenyataan itu kerana tertekan,” ujarnya.

Selepas melalui kehidupan berumah tangga yang banyak onarnya, justeru perceraian menerusi kaedah fasakh itu umpama satu titik perubahan yang besar dalam hidup Mastura.

“Saya mendapat sokongan yang kukuh daripada madu dan bekas madu yang lain selain memiliki bahan-bahan rakaman yang berkaitan dengan kecurangan dan aktiviti berfoya-foyanya.

“Mungkin itu banyak membantu mempercepatkan kes ini. Lagipun bekas suami tidak pernah datang ke mahkamah untuk membuat sebarang bantahan,” jelas Mastura tentang kesnya yang dapat diselesaikan agak cepat.

Kes tuntutan perceraian oleh isteri seperti fasakh yang berlarutan lama pernah menjadi polemik pada awal abad ini. Pasti ramai yang masih ingat kes Aida Melly Tan Mutalib pada tahun 2002 yang terpaksa menderita selama tujuh tahun untuk bebas daripada ‘gantungan yang tak bertali’: Sudah berpisah atau masih isteri yang sah?

Meraih liputan meluas media seiring hujanan kritikan, kes itu juga bagai menjadi titik tolak kepada perubahan landskap pentadbiran mahkamah syariah berhubung isu perceraian khasnya.

Jika sebelum itu banyak rungutan oleh para isteri mengenai kes permohonan cerai atau fasakh mereka yang lambat diputuskan, namun tahun demi tahun kemudian, rungutan dan keluhan seumpamanya makin kurang kedengaran.

Kes terbaru Mastura itu, misalnya, dapat diselesaikan dalam tempoh tidak sampai setahun.

“Dahulu memang ketara kelewatannya. Secara umumnya, boleh dikatakan, kes-kes permohonan cerai oleh isteri seperti fasakh dan rayuan kini telah dapat diselesaikan dengan cepat.

“Berdasarkan pengalaman saya, kes fasakh lazim dapat diselesaikan antara enam bulan hingga setahun. Paling cepat, hanya dalam tempoh sebulan.

“Proses yang mengambil masa dua tahun pun sudah dianggap sebagai tempoh yang lama,” kata peguam syarie, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Zain ketika ditemu bual Jurnal baru-baru ini.


MEMILIKI bukti kukuh ialah antara punca kes fasakh Mastura dapat diselesaikan dengan segera.

Katanya, ini banyak disumbangkan oleh beberapa pindaan pada enakmen-enakmen undang-undang keluarga Islam di negeri-negeri bermula pada tahun 2003.

“Antaranya ialah penyeragaman peruntukan mengenai fasakh antara negeri-negeri dan membenarkan memulakan tuntutan fasakh di mahkamah yang lebih tinggi bagi mengurangkan tempoh penangguhan sekiranya pihak menentang, lazimnya suami, mahu melakukan rayuan dan sebagainya,” katanya.

Tertangguh

Tidak dinafikan memang masih kedapatan kes tuntutan fasakh yang berlarutan lama selepas tahun 2002, tetapi ia hanyalah kes terpencil.

Zaidi menerangkan, sesuatu proses permohonan fasakh itu dapat dipercepatkan jika plaintif atau isteri yang mengemukakan tuntutan itu mempunyai persediaan yang lengkap.

“Dalam kes fasakh, beban pembuktian adalah terletak pada pihak plaintif iaitu isteri yang memohon. Kukuhnya bukti yang dikemukakan akan mempercepatkan pihak mahkamah membuat keputusan. Air mata sahaja tidak boleh menjadi bukti,” katanya.

Jika dahulu, kelewatan atau penangguhan banyak disumbangkan kerana suami yang tidak muncul-muncul ke mahkamah, kini, mahkamah syariah mengambil sikap meneruskan prosiding dan boleh mengeluarkan arahan cerai walaupun tanpa kehadiran suami seperti yang diperuntukkan dalam undang-undang.

Kes Mastura ialah salah satu kes yang menunjukkan prosiding tanpa kehadiran suami atau prosiding sebelah pihak sudah boleh diterima.

“Jika mahkamah berpuas hati bahawa saman telah disampaikan dengan sempurna kepada pihak suami, namun mereka masih tidak muncul, mahkamah boleh meneruskannya dan mengeluarkan arahan cerai walaupun tanpa persetujuan suami.

“Lagipun fasakh itu sendiri ialah tuntutan cerai tanpa lafaz talak diperlukan. Kuasa fasakh ialah kuasa hakim.

“Prosiding sebelah pihak biasanya lebih cepat berbanding suami hadir dan mengemukakan pembelaannya,” katanya sambil menjelaskan perbicaraan akan diteruskan setelah dua kali sebutan kes.

Thursday, January 7, 2010

Suami hilang naluri

DOKTOR SAKIT TUAN bersama Dr.Ismail Thamby

JIKA anda menghadapi masalah kesihatan berkaitan perkara sulit yang sukar diselesaikan, Pakar Sakit Tuan, Dr Ismail Thamby sedia membantu. Hantarkan masalah anda lengkap dengan nama, alamat penuh dan nombor telefon kepada :

Pengelola Ruangan Sakit Tuan, Harian Metro, 31, Balai Berita Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur.
Faksimili:03-22848390
E-mel: sakittuan@hmetro.com.my

SEKARANG ini masuk musim cuti sekolah dan ketika ini ramai mengambil kesempatan untuk mengadakan kenduri bagi meraikan pasangan pengantin baru, membuatkan deretan jemputan kahwin diterima hingga ada yang terpaksa pergi selepas majlis kenduri berlangsung.

Saya tidak salahkan pihak yang mengadakannya kerana sememangnya tepat untuk mengadakan kenduri pada waktu sebegini kerana saudara mara dan rakan yang tinggal jauh boleh hadir.


Begitu juga bagi pasangan pengantin, tentu mereka mahukan majlis kenduri dan persandingannya kelihatan meriah dengan kehadiran ramai saudara dan rakan.

Namun kali ini saya bukan mahu bercerita panjang mengenai kenduri tetapi persediaan seseorang itu yang bakal mendirikan rumah tangga.

Bagi saya, mana-mana lelaki yang mahu mendirikan rumah tangga sedikit sebanyak tahu kewajipan mereka daripada aspek memberi nafkah batin, iaitu mampu melakukan hubungan seksual dan yakin dengan kemampuan seksualnya.

Jika tidak, saya pasti mereka tidak akan terfikir untuk berkahwin, lebih-lebih lagi jika kurang yakin dengan kemampuan seksual mereka.

Sebilangan lelaki yang biasa dengan amalan onani dengan cara tersendiri akan dapati mereka hanya dapat mencapai klimaks atau kemuncak rangsangan seksual dengan cara itu dan cara lain tidak mendatangkan apa-apa perubahan, malah tidak lagi seronok.

Saya pernah mengendalikan kes seperti ini iaitu si lelaki hanya seronok dengan cara menggunakan tangannya untuk merangsang anggota sulitnya dan dia dapat mencapai kemuncak apabila memicit dan menarik zakarnya dengan kuat.

Sudah tentu cara dilakukannya tidak dapat memberi hasil sama jika dia melakukan hubungan seks penetratif dengan pasangannya.

Tanpa tarikan dan geselan kasar bila dia sangat perlukannya untuk mencapai kemuncak, geselan dalam faraj tidak dapat memberi kepuasan sebegitu, jadi sampai sudah dia tidak mencapai kemuncak. Sudah tentu dia rasa kecewa dan tanpa pengetahuan pasangannya, dia akan melakukan onani untuk melepaskan perasaan nafsunya.

Dia hanya lakukan seks penetratif tanpa mencapai klimaks semata-mata untuk menunaikan tanggungjawabnya. Secara kebetulan dia dan pasangannya jumpa saya kerana ‘masalah kesuburan’ dan selama ini pasangannya tidak tahu mengenai kesulitannya.

Untuk mengakhiri cerita, saya jelaskan kesulitannya kepada pasangan dan pasangan itu sanggup menerima keadaannya itu dan boleh terima cara yang membolehkan pasangannya hamil iaitu dia mengeluarkan air maninya dengan tangan dan sampel air mani itu dimasukkan ke dalam faraj isteri melalui alat picagari, ketika isteri dalam waktu subur.

Kesudahannya, isterinya hamil dan buat seketika kehidupan mereka tenteram walaupun keadaannya tidak berubah. Inilah risiko onani yang dilarang agama kita.

Bagi sesiapa yang mungkin mengalami perkara sama, iaitu mungkin terikat dengan amalan onani, perlu segera mengubah tabiat demi kepentingan rumah tangga dibina.

Hargailah kehadiran isteri, si suami perlu tunaikan tanggungjawab batin dan jangan biarkan pasangan ternanti-nanti belaian seorang suami.

Jika ada masalah, ia perlu dibincangkan bersama pasangan dan jangan dipendamkan. Jika mahu mendapatkan khidmat saya, boleh datang ke Damai Service Hospital di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. Lebih baik jika dibawa isteri bersama untuk bimbingan dan rawatan.

Thursday, December 24, 2009


Hubungan kelamin ketika isteri hamil



DOKTOR SAKIT TUAN bersama Dr.Ismail Thamby

JIKA anda menghadapi masalah kesihatan berkaitan perkara sulit yang sukar diselesaikan, Pakar Sakit Tuan, Dr Ismail Thamby sedia membantu. Hantarkan masalah anda lengkap dengan nama, alamat penuh dan nombor telefon kepada :

Pengelola Ruangan Sakit Tuan, Harian Metro, 31, Balai Berita Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur.
Faksimili:03-22848390
E-mel: sakittuan@hmetro.com.my


SOALAN

SAYA mendirikan rumah tangga enam bulan lalu dan kini isteri saya disahkan hamil dua bulan. Soalan saya, bolehkah kami melakukan hubungan kelamin untuk hari seterusnya? Apakah kesan yang timbul nanti?, terutama jika saya melepaskan air mani ke dalam farajnya?


EZAM
Sungai Buloh


JAWAPAN


Tahniah kerana isteri anda berbadan dua dalam masa yang cepat. Anda perlu tahu yang kehamilan itu biasa dan wanita yang hamil tidak perlu buat apa-apa perkara khusus semata-mata untuk menjaga kehamilannya.

Anda boleh melakukannya mengikut keselesaan isteri. Jika berlaku pendarahan atau tompok coklat keluar daripada faraj, itu petanda gangguan kepada janin dan anda perlu berhenti melakukan hubungan kelamin untuk sementara waktu dan meneruskannya selepas doktor sahkan janin dalam kandungan itu selamat.

Anda perlu bawa isteri ke klinik atau hospital untuk menjalani pemeriksaan. Sebenarnya ia jarang berlaku dan tidak semua suami tahu cara mengendalikannya.

Pernah terdengar suami tidak bertimbang rasa yang masih melakukan hubungan seks dengan isteri walaupun isteri ada tanda coklat atau darah keluar dari faraj selepas melakukan seks.

Ada juga isteri yang kesudahannya mengalami pendarahan yang banyak dan mengalami keguguran janin. Seperti yang saya nyatakan tadi, ini jarang berlaku.

Anda boleh melakukan hubungan seks sampai isteri sarat melahirkan bayi dan itu pun ikut keadaan kesihatannya dan juga keselesaannya!

Thursday, October 8, 2009

Bakal pengantin risau ada siflis



Pakar Sakit Puan PAKAR SAKIT PUAN bersama Dr. Adilah Ahmat




SAYA gadis berusia 25 tahun. Beberapa tahun lalu, saya menderma darah dan kemudian dipanggil oleh Pusat Darah Negara.

Seorang doktor kemudian memaklumkan saya ada penyakit sifIlis.

Saya tidak faham langsung bagaimana saya mendapat penyakit ini sedangkan saya tidak pernah membuat hubungan seks.

Saya bakal berkahwin akhir tahun ini dan hanya ibu yang mengetahui perkara ini.

Saya bimbang penyakit ini akan diketahui ketika melakukan ujian darah. Adakah berkemungkinan ia boleh bertukar menjadi HIV?

EZAH DILEMA

Petaling Jaya, Selangor


TERLEBIH dulu, anda dinasihatkan mendapatkan kaunseling daripada pakar perubatan dalaman mengenai sifilis memandangkan ia di luar bidang sakit puan.

Bagaimanapun, berikut adalah sedikit penerangan am mengenai masalah anda.

Apabila kita menderma darah, di samping ujian keserasian, sedikit sampel darah penderma lazimnya akan juga diuji terlebih dulu untuk beberapa saringan penyakit berjangkit sebelum didermakan ke atas orang lain.

Ini termasuk ujian HIV, hepatitis B, hepatitis C dan sifilis.

Bagi saringan sifilis, ujian Venereal Disease Research Laboratory (VDRL) lazimnya dilakukan.

Ujian VDRL ini sememangnya dilakukan secara rutin ke atas semua darah penderma dan wanita hamil, di samping ke atas mereka yang berisiko menghidapinya (contohnya, mereka yang dikesan HIV positif, hepatitis B, hepatitis C, berpenyakit seksual seperti herpes dan seumpamanya).

Anda perlu memahami bagaimana sifilis dikesan dan disahkan. Sifilis diketahui secara mengesan kehadiran bakteria ini (treponema pallidum) di dalam sampel dari ulser kelenjar limfa seseorang yang dapat dilihat menggunakan teknik mikroskopik khas atau inokulasi ke dalam haiwan.

Ini dapat dilakukan sekiranya seseorang sudah pun mempunyai ulser terbabit.

Selain itu, sífilis dapat diketahui secara ujian serologi iaitu mengesan kehadiran antibodi terhadap bakteria treponema ini.

Terdapat beberapa jenis ujian serologi. Namun, tidak semua ujian serologi ini pula semestinya bersifat sah atau spesifik, ada yang bersifat saringan saja seperti ujian VDRL dan ujian RPR yang lebih lazim dilakukan kerana ia lebih mudah dan murah.

Seseorang yang didapati positif VDRL pula lazimnya dinasihatkan menjalani pemeriksaan fizikal dan ujian treponema yang bersifat spesifik (tetapi lebih mahal) seperti ujian fluorescent treponemal antibody absorption (FTA-abs), treponema pallidum hemaglutinin assay (TPHA) dan seumpamanya.

Jika hasil menunjukkan reaktif, maka barulah seseorang disahkan mengidap sifilis. Ini kerana ujian saringan seperti VDRL bersifat tidak spesifik iaitu juga boleh positif dalam keadaan lain dan tidak semestinya sifilis saja.

Berkemungkinan anda sudah pun dipanggil untuk menghadiri penerangan lanjut, kaunseling, pemeriksaan dan ujian yang lebih spesifik seperti TPHA serta ujian tambahan lain oleh doktor di sana.

Untuk langkah keselamatan, darah yang didermakan dulu mungkin sudah dilupuskan iaitu tidak akan didermakan ke atas orang lain. Berjumpalah doktor anda semula untuk maklumat dan penerangan lanjut mengenai jenis ujian yang sudah serta akan dijalani serta langkah selanjutnya.

http://www.hmetro.com.my

Musibah cincin penambat


Doktor Sakit Tuan DOKTOR SAKIT TUAN bersama Dr.Ismail Thamby




KINI ada banyak peralatan berbentuk gelang dan cincin untuk ditambat kepada zakar yang kononnya dapat memberi tenaga, kekuatan dan kesihatan zakar.

Semua peralatan itu dijual dengan harga mahal. Ada juga peralatan sama yang dikatakan mengandungi azimat atau jampi serapah, kononnya membuatkan zakar ‘gagah’.

Di samping itu kita terdengar mengenai musibah yang berlaku kepada beberapa orang yang menggunakan cincin besi untuk menambat pangkal zakar dengan tujuan membesarkan zakar.

Kesudahannya, zakar bengkak dan berwarna biru kerana aliran darah di dalamnya tersekat, menyebabkan cincin itu terpaksa dipotong dalam pembedahan kecemasan.

Mungkin ada banyak lagi kes sebegitu tetapi tidak dilaporkan kerana mangsa malu. Persoalannya, benarkah cincin dan gelang untuk zakar benar-benar memberi manfaat seperti digembar-gemburkan itu?

Mereka yang menjadi ejen alat berkenaan sudah tentu memberi pelbagai testimoni dan ada juga yang menunjukkan gambar ‘zakar mereka’ yang pulih dan baik akibat penggunaan cincin berkenaan.

Itu sebenarnya hanya tipu helah dan taktik untuk mencari wang ringgit dengan senang. Mereka sanggup menjual maruah dan memberi derita kepada yang orang membeli alat itu.

Individu yang terdesak akan membeli tanpa usul periksa dan kemudian mengalami masalah.

Untuk makluman pembaca, cincin dan gelang yang keras apabila ditambat kepada pangkal zakar ketika zakar separa tegang akan menahan darah.

Jika kebetulan zakar membesar dan cincin atau gelang itu tertambat serta sukar ditanggalkan, ia memberi masalah kepada perjalanan darah ke dalam zakar. Apabila perjalanan darah tersekat, tisu dalaman akan mati dan zakar akan rosak selama-lamanya.

Jika cincin yang elastik dan yang mudah mengembang digunakan, cincin itu mengembang serta tidak memberi tekanan jika tiada benda keras dalamnya.

Maka cincin itu boleh digunakan jika mahu kekalkan ereksi untuk jangka masa lama atau memantapkan ereksi yang kurang tegang kepada lebih tegang. Namun cincin dan gelang itu perlu diuji dan bukan sekadar dibuat dan dijual.

Jika penambat cincin itu ketara, ia boleh menekan tisu zakar dan mengakibatkan keradangan serta kemunculan parutan jika digunakan untuk jangkamasa lama atau digunakan kerap.

Saya tidak syorkan mana-mana cincin penambat zakar yang tidak diuji kaji keberkesanannya. Hanya satu rekaan bentuk cincin penambat zakar yang diuji kaji dan hasil kajian juga turut dilaporkan dalam Jurnal Andrologi Asia 2006 pengeluaran isu Oktober.

Jadi anda semua perlu waspada dan jangan suka sangat membeli cincin yang bukan-bukan kerana ia dijual dengan menggunakan nama doktor.

Saya difahamkan, nama saya digunakan banyak syarikat yang menjual cincin. Dapatkan pengesahan dulu. Saya tiada produk cincin atau gelang zakar.

Saya pernah menjalankan ujian kepada sejenis cincin penambat zakar dan reka bentuk itu dipaten oleh pengusahanya. Bagi yang berminat boleh lihat rupa bentuk cincin itu dan manfaatnya dalam YouTube.


http://www.hmetro.com.my

Suami songsang

Doktor Sakit Tuan DOKTOR SAKIT TUAN bersama Dr.Ismail Thamby

RASANYA masih tidak terlambat untuk saya mengucapkan selamat menyambut Aidilfitri kepada semua dan diharap semua amalan sepanjang Ramadan lalu diberkati dan diterima Allah.

Bercakap mengenai Aidilfitri, biasanya ramai juga di kalangan kita mengambil kesempatan melangsungkan perkahwinan kerana ketika ini juga ramai sanak saudara berkumpul dan cuti juga panjang.


Mengenai alam berumah tangga, tentu banyak perkara baru dihadapi pasangan dan begitu juga dalam melakukan hubungan kelamin, mungkin kerana kurangnya pengetahuan.

Bagaimanapun, saya pasti semua pasangan yang mahu mendirikan rumah tangga akan menjalani kursus praperkahwinan dan tentu perkara mengenai nafkah zahir dan batin, termasuk aspek hubungan kelamin, diterangkan secara ringkas.

Jadi tiada sebab mengapa pasangan buat tidak tahu mengenai keperluan nafkah batin yang anda perlukan dan sekurang-kurangnya dia perlu tunaikan tanggungjawabnya.

Namun saya pasti ada ramai lagi wanita yang dibelenggu dan menderita dalam diam kerana masih tidak mendapat belaian daripada suami seperti sepatutnya.

Bagi saya, lelaki yang tidak melayan isterinya hanya mahukan teman hidupnya sebagai bahan tayangan atau ‘showcase wife’. Jadi kebanyakan daripada mereka memang baik daripada segi perangai tapi tidak berhati perut.

Sebilangan mereka sihat belaka dan mereka hanya ikut angin mereka. Jika nak buat, baru buat dan jika tidak, dia buat tidak tahu walaupun pasangan begitu inginkan hubungan intim.

Sudahlah begitu, mereka tidak suka pula bermesra dan jarang peluk atau mencium pasangan mereka. Jika pasangan tidak meminta, mereka akan buat tidak tahu saja.

Ada juga yang tidak dapat ‘berfungsi’ tapi besar hati mahu kahwin. Yang menjadi mangsa adalah isteri apabila terperangkap tanpa belaian seksual suami.

Suami terbabit hanya mencurahkan kekayaan dan kemewahan kerana sebahagian besar daripada golongan itu adalah orang kaya dan ternama.

Dalam situasi ini, sukar untuk buat sesuatu kecuali diri sendiri yang membuat pilihan, sama ada mahu laporkan perkara itu kepada pihak berkaitan atau membiarkannya.

Mungkin sebelum ini tidak ramai wanita terpelajar dan mudah dikongkong suami. Kini ramai wanita bijak pandai dan tahu hak mereka serta pantas bertindak.

Ada juga sebilangan kecil lelaki yang mahu melindungi sifat songsangnya dengan berkahwin, tapi sebaliknya lebih gemar beronani, menonton video lucah atau melakukan hubungan sumbang dengan lelaki lain.

Mereka hanya melayan isteri jika terdesak, dan itu pun secara paksaan. Saya terpaksa mendedahkan semua telatah lelaki yang sumbang ini supaya perempuan tidak mudah ‘terjerumus’ kepada lelaki bergelar suami yang tidak bertanggungjawab terbabit.

Suami terbabit perlu sedar apa yang mereka lakukan adalah penganiayaan terhadap perempuan. Saya syorkan isteri yang menghadapi situasi seperti itu supaya berdepan suami.

Minta suami ubah sikap yang mementingkan dirinya dan lakukan perkara baik demi keharmonian rumah tangga. Jangan biarkan dia fikir kerana sudah dapat, seseorang wanita itu tidak akan buat apa-apa.

Kini ada banyak khidmat kaunseling yang diberi badan kerajaan dan bukan kerajaan yang membolehkan mangsa mendapat bimbingan dan bantuan.

Saya harap sesiapa yang menghadapi masalah seperti itu dapat menemui jalan penyelesaian dan berdoa si suami dapat buka pintu hatinya untuk memberi kepuasan hidup kepada isteri.

http://www.hmetro.com.my

Sunday, February 22, 2009

Hadkan tempoh pertunangan

Tempoh bertunang bukan untuk mengenali hati budi masing-masing, tetapi sebenarnya ia satu persediaan dalam aspek mental, fizikal dan kewangan sebelum melangkah ke alam perkahwinan.


TEMPOH pertunangan yang pendek lebih selamat untuk dilalui. - Gambar hiasan

WAKTU bercinta adalah saat paling indah pernah dilalui oleh setiap pasangan yang memadu kasih. Janji untuk sehidup semati dan setia dengan pasangan akan dipahat di lubuk hati masing-masing.

Selepas melalui proses mengenali hati budi, pasangan akan mengambil keputusan untuk mengikat tali pertunangan, sebelum mendirikan rumah tangga yang diharap berkekalan hingga ke hembusan nafas terakhir.

Apabila menyentuh tentang alam pertunangan, ia sememangnya dipenuhi dengan kemanisan. Apatah lagi ikatan pertunangan juga boleh dianggap satu langkah akhir sebelum dua jiwa disatukan dalam hubungan suci perkahwinan.

Namun, di sebalik kemanisan itu, jangan lupa bahawa sepanjang tempoh itu juga mungkin terdapat 'hempedu' yang boleh muncul untuk menggugat hubungan tersebut.

Satu perkara paling penting yang harus diingat, alam pertunangan turut disertai dengan pelbagai dugaan untuk menguji sejauh mana bukti cinta dan kasih sayang yang diungkapkan sebelum ini.

Biasanya, tempoh pertunangan akan ditetapkan selama enam bulan atau setahun. Tetapi ada juga pasangan yang bertunang selama dua hingga empat tahun sebelum akhirnya membuat kata putus untuk berkahwin.

Kebanyakan yang berbuat demikian menganggap diri masih belum bersedia untuk terikat dengan komitmen dalam melayari bahtera kehidupan rumah tangga yang pasti ada pasang surutnya.

Selain itu, ada juga mengakui masalah kewangan untuk memenuhi jumlah hantaran yang ditetapkan pihak keluarga perempuan menjadi punca utama sesuatu perkahwinan tertangguh untuk tempoh masa yang panjang.

Ironinya, tempoh pertunangan yang diikat terlalu lama seringkali mengundang masalah. Ia boleh menyebabkan tali pertunangan antara pasangan yang sebelum itu asyik memadu kasih mungkin terlerai.


SETIAP pasangan perlu sepakat untuk mengehadkan tempoh pertunangan agar tidak terlalu lama. - Gambar hiasan

Alasannya, hubungan sewaktu alam pertunangan lebih banyak membawa kepada perselisihan, walaupun disebabkan perkara yang remeh-temeh.

Justeru, setelah keserasian yang dicari dalam tempoh pertunangan itu tidak ditemui, cara terbaik adalah memutuskan ikatan tersebut.

Itu adalah senario negatif yang banyak berlaku bukan sahaja di Malaysia, tetapi di negara-negara membangun yang lain.

Bagaimanapun, masalah itu sebenarnya boleh diatasi seandainya setiap pasangan sepakat untuk mengehadkan tempoh pertunangan agar tidak terlalu lama.

Apa yang penting, setiap pasangan yang ingin bertunang, pastikan diri anda telah bersedia dalam aspek mental, fizikal dan kewangan. Persediaan yang cukup akan membolehkan tempoh waktu bertunang dipendekkan.

Cara itu sekali gus mampu mengelakkan kejadian tidak diingini seperti putus tunang. Sebaliknya, hubungan yang terjalin akan kekal bahagia sehingga ke gerbang perkahwinan.

Tidak lupa juga, panjatkan doa ke hadrat Ilahi agar memelihara hubungan sepanjang tempoh pertunangan dan siram ia dengan limpahan kasih sayang yang suci. Akhir sekali bertawakal kepada Allah s.w.t kerana hanya Dia yang berhak menentukan segala-galanya.

Tuesday, February 17, 2009

Cemburu dan jenayah cinta

http://www.kosmo.com.my


MEREKA yang menderita masalah keganasan akibat cemburu lazimnya tidak mendapat rawatan psikologikal sewajarnya.

DALAM tempoh sebulan yang lalu, kita digemparkan dengan empat kes keganasan fizikal dan kematian akibat cemburu. Apa yang menarik satu daripada tiga kes keganasan membabitkan pasangan suami isteri warga emas.

Ketiga-tiga kes berpunca daripada rasa cemburu yang tidak dapat ditanggung oleh salah seorang pasangan. Dua daripada tiga kes yang dilaporkan akhbar menyatakan tindakan keganasan fizikal bahana cemburu dilakukan oleh isteri. Dua kes lagi oleh pasangan lelaki dengan menggunakan senjata tajam dan senjata api.

Isu cemburu yang membawa kepada perbalahan menjadi punca keganasan rumah tangga dan kalangan pasangan kekasih pada dasarnya ialah isu peribadi. Tetapi apabila perbalahan membawa kepada keganasan atau lebih tragis lagi dengan kematian, situasi itu bertukar status menjadi jenayah mengikut lunas-lunas perundangan.

Apa yang ketara kes-kes keganasan rumah tangga akibat cemburu bukan hanya daripada tiga kes minggu lalu. Kes-kes lain sebelum ini pun hanya diurus dari aspek perundangan, bukannya dari aspek psikologi.

Hukuman seperti dipenjarakan tidak menyelesaikan masalah jenayah cinta akibat cemburu. Hanya pasangan yang melakukan penderaan, pembunuhan dikenakan tindakan hukuman jika didapati bersalah. Pasangan yang cedera dalam pelbagai bentuk kecederaan fizikal hanya dirawat secara fizikal tetapi tidak kesakitan psikologikal. Keperitan, penderitaan akibat cemburu ditanggung sendirian tanpa ada sebarang intervensi psikologikal bagi merawat dan memulih kesakitan emosi, mental dan spiritual.

Kesakitan psikologikal yang tidak dapat dilihat dari mata kasar dalam bentuk trauma, tekanan, kesan daripada keganasan domestik tidak dikendalikan sewajarnya. Kelegaan dirasai oleh mangsa yang didera, diganasi atau waris ahli keluarga yang mati akibat keganasan bencana cemburu tidak berakhir di situ.

Kesan trauma, tekanan akibat post traumatic stress disorder akibat keganasan rumah tangga dan perhubungan percintaan romantik berlarutan, selain mengganggu mangsa secara psikologikal dalam jangka masa yang agak lama. Realiti memperlihatkan bahawa pasangan yang melakukan jenayah cinta akibat cemburu tidak diurus, dikendalikan kerana ia dilihat sebagai kes jenayah dan bukan kes psikologi yang meliputi kesan mental serta emosi.

Punca jenayah akibat cinta atau lazim dilabel sebagai crime of passion kerana cemburu membuatkan kebanyakan kita tertanya-tanya bagaimana cemburu yang dicetuskan oleh tingkah laku seperti meminta cerai, perhubungan dengan orang ketiga atau hanya syak wasangka wujud orang ketiga mendorong kepada keganasan, pembunuhan akibat hilang kewarasan dan pertimbangan?

Jawapan kepada persoalan itu berpunca daripada pelbagai gabungan isu psikologikal yang begitu kompleks. Ini termasuklah personaliti pelaku, sejarah kehidupan yang melibatkan latar belakang pelaku dan mangsa keganasan akibat cemburu. Corak perhubungan suami isteri mahupun antara pasangan kekasih perlu diketahui, difahami bagi memahami isu jenayah cinta kesan bahana cemburu.

Malangnya di Malaysia, kita tidak ada kaunselor yang mengkhusus dalam bidang kaunseling perkahwinan seperti di Amerika Syarikat (AS). Ia dikenali sebagai Marriage & Family Therapy atau kaunseling perkahwinan. Tumpuannya hanya mengurus permasalahan sosio emosi perhubungan suami isteri dalam kehidupan berumah-tangga. Di pejabat-pejabat agama di Malaysia, kaunseling perspektif Islam digunakan oleh kaunselor. Malangnya mereka tidak terlatih dalam kaunseling perkahwinan sepenuhnya.

Pendekatan kaunseling perkahwinan memerlukan kaedah tatacara yang tersendiri dalam mengurus isu-isu perkahwinan termasuk isu cemburu yang amat berkaitan dengan persoalan cinta, kasih sayang malah seksual. Isu cemburu dalam kerangka yang lebih luas perlu didalami, difahami sebelum tindakan susulan dalam apa jua bentuk intervensi dapat dilakukan, dilaksanakan bagi membantu pasangan yang berbalah ekoran daripada isu cemburu.

Tekanan kesan daripada cemburu berbeza-beza di antara pasangan suami isteri dan kekasih. Ada yang dapat mengendalikan isu cemburu bersendirian yang menekan minda, emosi dan tindakan. Ketidak upayaan mengurus tekanan akibat cemburu mengganggu aktiviti harian. Malah ada masalah rumah tangga terbawa-bawa ke tempat kerja hingga mengganggu tugas dan tanggungjawab sebagai pekerja. Ia kadang kala membuatkan majikan terpaksa mencelah sama ada secara langsung atau tidak.

Memang cemburu adalah permasalahan yang lazim dihadapi dalam kehidupan berumahtangga dan mereka yang bercinta. Bezanya adalah dari segi darjah keamatan cemburu yang dialami dan cara setiap individu mengendalikan isu cemburu masing-masing.

Perbalahan lisan, penderaan fizikal, mental dan emosi dalam suasana dramatik dan kritikal akibat cemburu dilihat sebagai sesuatu yang biasa.

Persepsi kesan daripada kelaziman biasa itu antara faktor yang menghalang diri daripada menikmati kesejahteraan dan kesihatan mental yang baik.