Thursday, October 8, 2009

Bakal pengantin risau ada siflis



Pakar Sakit Puan PAKAR SAKIT PUAN bersama Dr. Adilah Ahmat




SAYA gadis berusia 25 tahun. Beberapa tahun lalu, saya menderma darah dan kemudian dipanggil oleh Pusat Darah Negara.

Seorang doktor kemudian memaklumkan saya ada penyakit sifIlis.

Saya tidak faham langsung bagaimana saya mendapat penyakit ini sedangkan saya tidak pernah membuat hubungan seks.

Saya bakal berkahwin akhir tahun ini dan hanya ibu yang mengetahui perkara ini.

Saya bimbang penyakit ini akan diketahui ketika melakukan ujian darah. Adakah berkemungkinan ia boleh bertukar menjadi HIV?

EZAH DILEMA

Petaling Jaya, Selangor


TERLEBIH dulu, anda dinasihatkan mendapatkan kaunseling daripada pakar perubatan dalaman mengenai sifilis memandangkan ia di luar bidang sakit puan.

Bagaimanapun, berikut adalah sedikit penerangan am mengenai masalah anda.

Apabila kita menderma darah, di samping ujian keserasian, sedikit sampel darah penderma lazimnya akan juga diuji terlebih dulu untuk beberapa saringan penyakit berjangkit sebelum didermakan ke atas orang lain.

Ini termasuk ujian HIV, hepatitis B, hepatitis C dan sifilis.

Bagi saringan sifilis, ujian Venereal Disease Research Laboratory (VDRL) lazimnya dilakukan.

Ujian VDRL ini sememangnya dilakukan secara rutin ke atas semua darah penderma dan wanita hamil, di samping ke atas mereka yang berisiko menghidapinya (contohnya, mereka yang dikesan HIV positif, hepatitis B, hepatitis C, berpenyakit seksual seperti herpes dan seumpamanya).

Anda perlu memahami bagaimana sifilis dikesan dan disahkan. Sifilis diketahui secara mengesan kehadiran bakteria ini (treponema pallidum) di dalam sampel dari ulser kelenjar limfa seseorang yang dapat dilihat menggunakan teknik mikroskopik khas atau inokulasi ke dalam haiwan.

Ini dapat dilakukan sekiranya seseorang sudah pun mempunyai ulser terbabit.

Selain itu, sífilis dapat diketahui secara ujian serologi iaitu mengesan kehadiran antibodi terhadap bakteria treponema ini.

Terdapat beberapa jenis ujian serologi. Namun, tidak semua ujian serologi ini pula semestinya bersifat sah atau spesifik, ada yang bersifat saringan saja seperti ujian VDRL dan ujian RPR yang lebih lazim dilakukan kerana ia lebih mudah dan murah.

Seseorang yang didapati positif VDRL pula lazimnya dinasihatkan menjalani pemeriksaan fizikal dan ujian treponema yang bersifat spesifik (tetapi lebih mahal) seperti ujian fluorescent treponemal antibody absorption (FTA-abs), treponema pallidum hemaglutinin assay (TPHA) dan seumpamanya.

Jika hasil menunjukkan reaktif, maka barulah seseorang disahkan mengidap sifilis. Ini kerana ujian saringan seperti VDRL bersifat tidak spesifik iaitu juga boleh positif dalam keadaan lain dan tidak semestinya sifilis saja.

Berkemungkinan anda sudah pun dipanggil untuk menghadiri penerangan lanjut, kaunseling, pemeriksaan dan ujian yang lebih spesifik seperti TPHA serta ujian tambahan lain oleh doktor di sana.

Untuk langkah keselamatan, darah yang didermakan dulu mungkin sudah dilupuskan iaitu tidak akan didermakan ke atas orang lain. Berjumpalah doktor anda semula untuk maklumat dan penerangan lanjut mengenai jenis ujian yang sudah serta akan dijalani serta langkah selanjutnya.

http://www.hmetro.com.my

No comments:

Post a Comment