Menjamin visual normal
Terlalu muda untuk mengetahui sama ada apa yang dilihatnya itu normal atau sebaliknya, kanak-kanak lazimnya gagal mengesan apa yang tidak kena dengan mata mereka. Jadi, kepekaan ibu bapa amat penting bagi memastikan sebarang masalah boleh dikesan dan dirawat pada peringkat awal usia.

SI kecil anda mungkin dilahirkan normal, tanpa sebarang kecacatan fizikal. Tetapi, itu tidak bermakna ibu bapa atau penjaga boleh berasa lega.
Justeru, ibu bapa tidak harus memandang remeh kerana salah satu organ deria anak yang perlu diberi perhatian adalah mata. Sebarang gangguan atau kerosakan visual mampu memberi kesan kepada perkembangan pembelajaran anak.
Bak kata orang, mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. Jika terdapat sejarah keluarga tentang keperluan ibu atau bapa menggunakan cermin mata sejak awal usia mereka, maka si kecil mereka juga harus disyor untuk mendapatkan pemeriksaan awal.
Menurut Pakar Penglihatan Terhad dari Jabatan Optometri, Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu (FSKB), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) , Dr. Rokiah Omar, simptom-simptom gangguan visual seseorang anak boleh hadir dalam bentuk yang sangat ringkas.
Mungkin ada ibu bapa yang pernah mendengar keluhan anak yang berbunyi: "Mak, kaburlah apa yang saya lihat ini" atau "Mak, saya tak boleh nampak."
Apa yang dikeluhkan itu sudah memadai untuk memberi petunjuk kepada penjaga atau ibu bapa tentang tahap penglihatan si anak. Malangnya, sepanjang kerjaya Dr. Rokiah, beliau jarang menemui kanak-kanak dalam lingkungan usia empat hingga enam tahun, termasuk yang sudah berada di sekolah rendah bijak menyuarakan masalah penglihatan mereka kepada ibu bapa.
Sebabnya, anak-anak itu terlalu muda dan hanya menganggap apa yang dilihat itu betul. Namun, menerusi kepekaan ibu bapa atau penjaga, mereka boleh mengenal pasti gerak-geri anak yang mempunyai masalah penglihatan.

"Misalnya, anak mungkin melihat dalam keadaan mata juling atau dengan kepala senget sebelah sewaktu menonton televisyen.
"Ataupun, semasa membaca, anak sangat cenderung merapatkan buku pada muka. Inilah antara petanda mudah yang boleh ibu bapa perhatikan," jelasnya kepada Kosmo! di ibu negara baru-baru ini.
Begitu juga dengan kesilapan ketika menyalin kerja-kerja sekolah. Lebih-lebih lagi dalam kalangan kanak-kanak yang sudah memasuki kelas tadika.
Sewaktu lahir, mata manusia hanya 70 peratus matang. Itu bermakna, terdapat 30 peratus ruang lagi untuk mata berkembang menjadi satu organ deria yang normal.
Oleh itu, peringkat usia baru lahir hingga tujuh tahun disifatkan sebagai tempoh mata belum matang sepenuhnya. Jadi, tempoh tersebut amat kritikal untuk memastikan cahaya masuk dan merangsang bahagian fovea mata.
Masalah juling juga boleh berpunca daripada gangguan visual. Mata juling dalam kalangan kanak-kanak yang tidak diperbetulkan akan menjurus kepada masalah ambliopia atau mata malas.

"Keadaan ini berlaku apabila sebelah mata menjadi satu-satunya mata yang melihat. Manakala mata yang sebelah lagi gagal melihat dengan baik.
"Akibatnya, keupayaan penglihatan di dalam mata malas akan terencat. Jika keadaan ini dibiarkan berlarutan, masalah ambliopia berpotensi menjadi kekal. Kesannya, penglihatan di sebelah mata mungkin kurang bagus sepanjang hayat," ujarnya.
Atas sebab itu, diagnosis awal untuk gangguan visual dalam kalangan kanak-kanak prasekolah penting agar rawatan atau intervensi boleh disyorkan oleh pakar mata.
Sebabnya mudah. Jika gangguan visual dikenal pasti seawal mungkin, itu bermakna lebih banyak peluang wujud untuk mengatasi masalah tersebut.

Sepanjang Januari hingga Oktober 2007, pakar-pakar optometri dari UKM telah menjalankan satu kajian gangguan visual ke atas 479 kanak-kanak dari 21 buah tadika di Sitiawan, Perak. Kajian itu diketuai oleh Dr. Rokiah.
Kajian yang diluluskan oleh Jawatankuasa Penyelidikan dan Etika Penyelidikan Perubatan, Fakulti Perubatan UKM itu mendapati sejumlah 32 orang (6.7 peratus) kanak-kanak dalam lingkungan usia empat hingga enam tahun telah disahkan mengalami gangguan visual.
Sebanyak 5.8 peratus kanak-kanak itu didapati mengalami ralat refraksi yang menjadi dalang utama kepada gangguan visual. Jenis-jenis ralat refraksi yang ditemui termasuk miopia (rabun jauh), hiperopia (rabun dekat) dan emetropia (keadaan pembiasan mata yang normal).
Sekitar 35 peratus kanak-kanak berusia lima tahun pula didapati mengalami masalah miopia. Peratusan itu juga didapati meningkat kepada 50 peratus apabila usia mereka mencecah enam tahun.
Dalam kebanyakan masa, kanak-kanak prasekolah tidak mampu membezakan penglihatan yang normal dengan tidak normal. Ini amat difahami memandangkan si anak mungkin menganggap apa yang dilihat itu adalah normal. Ia sekali gus membuatkan kanak-kanak tidak berupaya memberitahu ibu bapa mereka.

Bercerita lanjut, Dr. Rokiah memberitahu, terdapat beberapa cara untuk mengesan ciri-ciri mata normal yang boleh dijadikan petunjuk untuk ibu bapa.
Pertama, kedudukan mata yang selari sewaktu melihat. Kedua, semasa sesuatu objek digerakkan, semua mata kanak-kanak normal seharusnya bergerak mengikut pergerakan objek itu. Apabila objek tersebut didekatkan, mata si anak sepatutnya mampu memberi fokus.
Tambahnya, ciri-ciri mata normal pada seseorang anak boleh dikesan oleh ibu bapa atau penjaga seawal usia sebulan.

Sewaktu lahir, bayi hanya melihat dalam keadaan ton kelabu. Dalam tempoh itu, penglihatan bayi agak kabur memandangkan jarak fokus bayi baru lahir adalah sekitar 20.3 sentimeter hingga 30.5 sentimeter jauhnya.
Dalam perkembangan penglihatan seorang anak yang normal, seseorang bayi mampu mengikut pergerakan objek atau manusia dengan mata sepanjang tempoh usia lapan hingga 12 minggu.
Pada awalnya, pergerakan bayi itu bermula dengan mengerakkan seluruh kepala sebelum mampu menggerakkan mata secara berdikari menjelang usia dua hingga empat bulan. Warna juga semakin jelas pada masa itu.
Selain ibu bapa, adik-beradik yang lebih dewasa, datuk dan nenek mahupun guru boleh memainkan peranan dalam aspek itu.
"Pemeriksaan mata yang menyeluruh harus dijadikan satu ujian wajib supaya lebih mudah untuk merawat mereka pada awal usia," tegasnya.