Sunday, February 15, 2009

Menulis tentang kucing


AU sememangnya nampak fotogenik dalam genggaman Whyte.

PERNAH sekali ketika duduk bersantai di sebuah pub tempatan, Kusar Cabana di Kuala Lumpur bersama suaminya, Ellen Whyte disapa oleh seorang lelaki.

"Awakkah wanita yang gilakan kucing itu?" tanya lelaki yang melangkah masuk ke dalam pub dan berhenti sejurus ternampak Whyte.

Whyte dengan selambanya mengiyakan soalan tadi sebelum lelaki tadi menoleh ke arah suami Whyte, Tom dan berkata: "Alamak!"

Reaksi dan nada lelaki itu cukup terkesan di minda Whyte. Sehinggakan dia tahu lelaki itu benar-benar menganggapnya gila!

Namun, tiada apa yang perlu disedihkan. Sekurang-kurangnya teguran lelaki itu bermakna Whyte telah popular. Terima kasih kepada kolum nukilannya, Katz Tales, yang disiarkan dalam sebuah akhbar bahasa Inggeris tempatan setiap minggu.

Telah menulis kolum tersebut sejak April 2006, wanita kelahiran Belanda ini sememangnya seorang pencinta haiwan. Pernah memiliki pelbagai haiwan peliharaan, sukar untuk saya tidak membayangkan kediaman Whyte sewaktu kecil seakan-akan sebuah zoo mini.

Anjing, angsa, arnab, tikus belanda, tikus dan beberapa haiwan istimewa lain ialah antara fauna miliknya sebelum ini.

Menerusi kolum Katz Tales, Whyte berkesempatan menjadi 'selebriti' dalam dunia tersendiri. Rangkaian rakan-rakan yang dibina melalui laman rangkaian sosial, Facebook sejak beberapa bulan lalu datang sejauh Rusia, Afrika Selatan dan juga Turki.

"Hakikatnya, pencinta kucing merentasi peringkat global. Sama ada orang Melayu, Cina, India, Bidayuh mahupun etnik lain dari luar negara, semuanya beriya-iya menunjukkan gambar kucing mereka," katanya dalam nada teruja ketika ditemui Kosmo! di kediamannya di Subang Jaya baru-baru ini.

Kucing pertama

Seperti sebilangan besar penulis, usaha awal Whyte dalam mengetengahkan subjek penulisannya gagal mendapat respons positif secara automatik. Sebabnya, belum ada pasaran untuk karya-karya bertemakan cerita harian mengenai kucing pada ketika itu.

Sedangkan idea untuk mendokumenkan kisah-kisah haiwan kesayanggannya itu telah lama terbit. Ia terbit seawal kehadiran kucing pertama Whyte, Scoop dalam kehidupannya di Kuching, Sarawak kira-kira 13 tahun lalu. Sehinggalah dia bertemu dengan seorang pengarang sisipan Weekender, akhbar bahasa Inggeris tempatan, The Star, Sharifah Intan, kira-kira tiga tahun lalu.

"Sharifah ada pandangan yang berbeza. Dia bagi saya peluang itu. Pada awalnya, hanya enam kolum tetapi respons yang saya terima sangat positif. Lalu, Katz Tales bertahan sehingga ke hari ini," ujarnya yang nyata gembira dengan tuah peluang tersebut sehingga mampu menerbitkan buku kompilasi Katz Tales.

Pernah membaca pelbagai buku bertemakan penganiayaan ke atas haiwan di pasaran, Whyte memberitahu, buku Katz Tales nukilannya lebih 'bercita rasa' Malaysia.

Tampil dengan bahasa yang mudah dibaca, ringan dan menghiburkan, buku Katz Tales berkisar tentang kerenah harian empat ekor kucing milik Whyte. Scoop dan Bones yang berasal dari Kuching, Sarawak, Au dari Melaka dan Target dari Subang Jaya. Semuanya merupakan kucing kampung yang seratus 100 peratus 'warga Malaysia'.

Biarpun sekadar bahan bacaan yang bertujuan menghiburkan pembaca, Whyte tidak lupa menyelitkan elemen-elemen praktikal ke dalamnya. Katz Tales hadir bersama satu senarai soalan dan jawapan serta nasihat-nasihat penting untuk masalah asas dalam penjagaan si manja anda.


DI tempat kerja whyte inilah Target melelapkan matanya.

Nama pena

Sebelum mencuba kerjaya dalam arena penulisan, Whyte menguruskan sebuah syarikat kejuruteraan. Wanita berusia 42 tahun itu mengakui, bukan mudah untuk melangkah ke dalam dunia penulisan.

"Bidang ini tinggi persaingannya. Jadi, saya pun ambil masa beberapa tahun sebelum mendapat projek penulisan secara tetap," katanya.

Whyte turut mengakui dunia penulisan bukan lubuk untuk mengaut keuntungan melainkan diri ialah penulis terkemuka seperti J.K. Rowling.

Akan tetapi, ada sebab dirinya berasa bertuah memandangkan dia kini mampu menyara hidup menerusi penulisan.

Menggunakan pelbagai nama pena dalam artikel yang diterbitkan di aneka penerbitan, dia telah menghasilkan sembilan buah buku setakat ini.

Artikel sains kanak-kanak

Selain menulis tentang subjek binatang dan pelbagai topik lain, Whyte juga gemar menghasilkan artikel-artikel sains untuk kanak-kanak.

"Saya dapat belajar sesuatu apabila menulis tentang sains. Begitu juga dengan kolum Logomania saya. Dalam kolum itu, saya berpeluang meneroka asal-usul ungkapan-ungkapan dalam bahasa Inggeris. Sangat mengagumkan bila melihat perubahan sesuatu ungkapan seiring dengan peredaran masa," katanya yang dalam proses menyiapkan sebuah buku kanak-kanak Mystery of the Demon Caves.

Buku Mystery of the Demon Caves.

yang berlatar belakangkan destinasi Sarawak dijangka keluar pada pertengahan 2010. Turut menghasilkan penulisan tentang subjek anjing sejak November 2007, Whyte berharap impian untuk menulis sebuah lagi buku, Katz and Dog Tales akan termakbul tahun hadapan.

24 jam dengan kucing

Sejujurnya, dia memberitahu, setiap tahun, dia akan menetapkan satu matlamat yang ingin dikecapi. Namun, ada kalanya kesungguhan manusia membawa kepada kejayaan tidak diduga.

"Tahun ini, saya ingin lancarkan sebuah buku. Tidak saya sangka, dua pula yang berjaya dikeluarkan, Katz Tales dan The Logomania. Jauh sekali menyangka akan berada dalam temuramah TV," ujar wanita yang sebenarnya Ellen Maria Whyte O'Daniel.

Wanita kelahiran Amsterdam, Belanda itu juga memberitahu, hakikatnya, terdapat ramai pencinta haiwan di Malaysia. Bilangan itu turut dilihat meningkat dewasa ini.

"Cuma, ada ramai juga yang tidak berhubung dengan alam semula jadi. Golongan inilah yang biasanya melayan haiwan seperti boneka.

"Ada sesetengah orang menganggap kucing sebagai haiwan yang 'dingin'. Sebenarnya, semua hubungan itu sama sahaja. Kita perlu luangkan masa bermain, bersembang atau pendek kata, berkomunikasi," jelasnya sambil memberitahu betapa pentingnya haiwan peliharaan dijaga dengan baik.

Hanya dengan berkomunikasi, sesuatu ikatan perhubungan akan tersimpul. Tidak sekadar manis di mulut, Whyte sememangnya meluangkan banyak masa bersama kucing-kucingnya.

Dengan nada teruja, dia memberitahu, si pemalu, Target berada di sisinya hampir 24 jam sehari. Bermanja di sekitar papan kekunci ketika Whyte berkarya atau sekadar duduk diam menonton televisyen bersama tuannya.

Merindui Scoop

Au yang lebih mesra pula ada agenda tersendiri. Gemar bermain sembunyi-sembunyi, kotak-kotak kad dan almari lazim menjadi destinasi persembunyiannya. Jika tidak, kedua-dua kucing itu akan bergusti sesama sendiri atau menjadikan tangan Whyte sebagai bantal penumbuk.

Selain Whyte, Au juga berkawan rapat dengan suaminya Tom. Jelas penulis sepenuh masa itu, 'barangan mainan' kegemaran Au ialah suratkhabar.

"Tom akan letak lapisan suratkhabar di atas Au dan kemudian ketuk 'khemah kertas' itu dengan gulungan kertas. Au jadi teruja dan melonjak keluar sebelum mencakar-cakar serta mengoyak suratkhabar itu kepada cebisan-cebisan kecil," tambahnya lagi.

Sudah menetap di serata dunia termasuk Sepanyol, Scotland dan Indonesia, Whyte nyata gembira jika ada yang menyayangi haiwan setelah membaca Katz Tales.

Merasakan Malaysia khasnya Kuching seakan-akan rumah sendiri sejak 13 tahun lalu, dia cukup marah apabila terlihat perbuatan kejam ke atas haiwan. Baginya, tiada hukuman penalti yang cukup tinggi untuk menghukum pesalah penganiayaan terhadap haiwan.

"Semua orang perlu melibatkan diri untuk membanteras penganiayaan atau penderaan terhadap haiwan. Jika semua orang boleh berfikir: "Apa rasanya kalau terjadi ke atas saya", ramai yang tidak akan mengurung, mencedera atau membunuh binatang secara kejam mahupun untuk tujuan bersukan," tegasnya memberi pendapat.

Mengakui masih merindui Scoop yang telah lama meninggal dunia, Whyte memberitahu, haiwan juga tahu bersedih. Malah, seorang pakar etologi yang berpangkalan di California, Dr. Penny Patterson pernah melaporkan gorila jagaannya menangis selepas terjaga dari mimpi lampau. Gorila itu telah menyaksikan sendiri ibunya dibunuh sewaktu dia masih kecil.

10 peratus daripada setiap jualan buku Katz Tales akan disalurkan kepada dana Friends Furry Farm. Untuk maklumat lanjut, sila layari blog Ellen Whyte di alamat http://www.lepak.com/.

No comments:

Post a Comment