Thursday, February 19, 2009

Evian sentuhan pereka British

http://www.kosmo.com.my



PAUL SMITH bersama rekaan baru botol minuman Evian yang berwarna-warni dan ceria.

PEREKA British, Paul Smith minum evian sejak usianya 12 tahun. Jadi, memang tidak memeranjatkan apabila jenama air botol bermutu tinggi yang terkenal di dunia itu menjemput beliau untuk memberikan sentuhan ceria dan optimistiknya kepada koleksi edisi terhad evian bagi tahun 2010.

Dalam kalangan peminat fesyen, pereka ranggi itu terkenal kerana sentuhan kepelbagaian dalam gaya tradisional British pada semua koleksinya.

Gaya 'klasik dengan sedikit kelainan' itu menjadikan Paul Smith salah seorang daripada sebilangan kecil pereka British yang menggabungkan kejayaan komersial dan kritikal. Dalam erti kata yang lebih mudah, rekaannya mencerminkan minat ingin tahu seperti kanak-kanak, selain aspek keremajaan dan keceriaan untuk mengecap nikmat hidup sepenuhnya.

Sebagai tanda penghargaan kepada jalur warna-warni yang menjadi tanda perdagangannya, corak grafik percikan bunga api dalam aneka warna yang menarik menghiasi botol evian. Warna-warni itu mencerminkan nilai-nilai penting kepada golongan muda dan mereka yang berhati muda - optimis, dinamik, unik dan moden. Botol lut sinar juga mencerminkan ketulenan evian.

Secara keseluruhannya, botol Evian Paul Smith edisi terhad itu merupakan satu penghormatan kepada anugerah alam yang sangat berharga kepada manusia, untuk menghilangkan dahaga.

Menurut Wong Wei Mun, Pengurus Danone Imported Waters (Asia) Pte Ltd bagi Malaysia, Indonesia, Brunei dan Filipina, koleksi terbaru sentuhan Paul Smith dengan rekaan yang kreatif dan menarik itu dijangka membawa arus keseronokan baru di pasaran. Ini selaras dengan wawasan Evian untuk menarik pengguna sasarnya dengan cara yang menggembirakan dan menyeronokkan.

"Jadi, kami yakin botol koleksi ini akan membantu mengukuhkan jenama Evian dalam hati dan fikiran pengguna Malaysia. evian pasti akan terus menunaikan janji jenama untuk menjadi sumber keremajaan bagi badan dan fikiran," katanya.

Untuk memahami asal usul Evian, anda perlu menggambarkan banjaran gunung Alps yang tersergam di Perancis, di mana setiap titis Evian melalui perjalanan selama 15 tahun, bermula sebagai titisan air hujan atau salji di atas puncaknya. Titisan air itu kemudian meresap jauh ke dalam gunung, melalui lapisan mineral sebelum keluar di kolam mata air Evian-Les Bains.

Tanpa sentuhan manusia, air ini dibotolkan terus di sumbernya dan dihantar ke seluruh dunia dalam keadaan semula jadi yang sempurna.

Kepada mereka yang berminat, edisi terhad Evian Paul Smith boleh didapati di pasar-pasar raya utama mulai Disember ini. Harganya tidak didedahkan memandangkan ia merupakan edisi terhad.

No comments:

Post a Comment